Anugerah Aidilfitri Awie



KENANGAN. Gambar bahagia Awie bersama isteri dan lima orang anak mereka termasuk dua anak Awie daripada perkahwinan terdahulu.

TIADA anugerah yang lebih bernilai dalam hidup seorang rockers bernama Awie melainkan anak-anaknya.

Isnin lalu, kira-kira seminggu sebelum takbir Aidilfitri berkumandang, Awie dianugerahi khabar gembira.

Biar diuji dengan bermacam-macam spekulasi bermula dengan dakwaan memukul isterinya Rozana Misbun, kejayaan mendapatkan hak penjagaan sementara ketiga-tiga anak hasil perkahwinan mereka dianggapnya satu kemenangan awal.

"Itulah yang boleh saya katakan. Hari raya tahun ini (esok), mungkin jadi hari kemenangan awal buat saya. Apa yang saya perjuangkan ialah anak-anak. Tiada yang lebih membahagiakan saya selain dapat bersama anak-anak.

"Merekalah harta dunia dan akhirat saya. Mereka jugalah kekuatan saya sepanjang menempuh Ramadan yang cukup berbeza tahun ini," ungkap penyanyi berusia 46 tahun itu terharu.

Selesa diajak berbual menerusi panggilan telefon, vokalis Wings itu bercerita tentang ikatan kasih seorang bapa yang harus menjaga lima orang anak dalam satu masa.

"Biarlah dia (Rozana) yang pergi tapi jangan ambil anak-anak saya. Sekarang barulah saya kembali merasa masuk dapur, siapkan makanan waktu berbuka dan bersahur serta buat persiapan hari raya untuk anak-anak.

"Walaupun tahu masak sambal tumis sardin sahaja, tapi merasalah anak-anak makan air tangan saya," seloroh Awie sambil memberitahu, segala kelengkapan raya anak-anak disediakan dengan bantuan pengurus peribadinya.

Tambah Awie: "Kalau ditakdirkan saya tidak mendapat hak penjagaan anak-anak dalam perbicaraan baru-baru ini, mahunya saya meraung.

"Tapi, anak-anak buat saya terkejut. Bukan sahaja kakak-kakak (Puteri Aleeya Antasha dan Puteri Aleefa Antasha) yang pandai beri kata-kata semangat, Merrah dan Qaseh juga boleh menangis apabila dengar berita pasal saya. Merrah peluk kaki saya dan cakap, dia tak mahu daddy (Awie) masuk penjara."

Hasil perkahwinan bersama Rozana pada 20 Jun 2005, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.

Puteri Aleeya Antasha dan Puteri Aleefa Antasha yang merupakan anak hasil perkahwinan Awie bersama Arni Nazira, juga tinggal bersama Awie.

"Setakat ini anak-anak gembira. Cuma Merrah yang macam orang dewasa sikit. Dia boleh termenung lepas tengok berita dan bertanya kalau saya masuk penjara, siapa nak jaga dia, adik dan kakaknya," hero filem Hantu Kak Limah Balik Rumah bercerita lanjut.

Sementara menunggu tarikh 6 Ogos untuk perbicaraan lanjut berhubung hak penjagaan anak, Awie bagaimanapun merasa cukup bertuah kerana ibu dan adik-beradiknya sanggup buat apa sahaja untuk membantunya meringankan masalah yang dihadapi.

"Hidup harus diteruskan. Lepas raya saya juga sibuk dengan penggambaran filem terbaharu, Warna Cinta Impian sebelum latihan untuk pementasan semula teater SuperMokh.

"Saya juga baru dapat satu tawaran berlakon sebuah filem Indonesia di Jakarta. Itu semua rezeki anak-anak," mohon Awie agar dia diberikan kesejahteraan sempena Syawal nanti.




Previous Post Next Post