Artis meriahkan acara Diandra Couture



MOHAMAD FADZIL (lima dari kiri) bersama barisan artis dan model yang menjayakan pertunjukan fesyen Diandra_Couture di Maju Junction, Kuala Lumpur baru-baru ini.

SETIAP individu pasti menginginkan busana yang cantik dan glamor sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi. Malah, kecantikan busana itu lebih menyerlah apabila ia digayakan oleh selebriti-selebriti terkenal tanah air.

Senario tersebut menyerlah di pusat beli-belah Maju Junction, Kuala Lumpur, baru-baru ini, apabila sebuah pertunjukan fesyen koleksi Aidilfitri Diandra_Couture yang membabitkan penyertaan ramai artis, selain barisan model telah dianjurkan.

Antara artis-artis yang terlibat muncul di pentas peragaan termasuk Aiman Hakim Ridza, Hanez Suraya, Johan As'ari, Aliff Aziz, Kaka Azraff dan Zahnita, sementara Alyah muncul membuat persembahan.

Bersyukur kerana ramai yang hadir termasuk rakan-rakan artis, pemilik dan juga pereka fesyen Diandra_Couture, Mohamad Fadzil Adnan memberitahu, dia menjemput beberapa artis yang pernah bekerjasama dengannya, selain yang pernah menerima baju tajaan daripadanya.

"Pertunjukan fesyen pada hari ini membabitkan ramai artis yang juga merupakan kenalan saya. Ada juga antara mereka yang sering mendapat baju tajaan saya ketika menghadiri majlis-majlis hiburan.

"Busana yang diperagakan kali ini memfokuskan koleksi sempena Aidilfitri. Namun, terdapat juga pertunjukan busana istimewa sempena perkahwinan yang digayakan pelakon Hanez dan juga Zahnita," jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai pertunjukan fesyen Diandra_Couture tersebut, ujar Fadzil, ia terdapat tiga bahagian iaitu busana glamor, baju Melayu dan jubah.

Jelas Fadzil, bahagian pertama pertunjukan fesyen tersebut memaparkan koleksi baju raya ringkas bagi sesiapa yang inginkan keselesaan.

"Bahagian kedua pula memaparkan koleksi baju raya berkonsepkan glamor. Ia sesuai digayakan ketika menghadiri majlis rumah terbuka. Malah, fesyen itu juga boleh digayakan sempena majlis pertunangan atau akad nikah," ujarnya.

Tidak hanya busana untuk kaum Hawa, Fadzil turut berkongsi koleksi baju Melayu rekaannya untuk bahagian ketiga pertunjukan fesyen tersebut. Lebih mengujakan, Fadzil turut bekerjasama dengan pelakon popular Aiman Hakim Ridza bagi koleksi jubah milik pelakon drama Vanila Coklat itu. Kerjasama itu terjalin disebabkan hubungan baik Fadzil dengan kekasih Aiman, pelakon jelita, Nur Fathia Abd. Latiff.

"Saya sememangnya rapat dengan Fathia selepas terbabit dalam beberapa buah acara. Saya diperkenalkan Fathia kepada Aiman selepas bertemu dengannya pada majlis anjuran Pantene. Daripada situ kami mula rapat. Kebetulan Aiman ada mengeluarkan koleksi jubah AHR sempena hari raya, jadi kami bekerjasama untuk majlis pertunjukan fesyen pada hari ini," ulasnya lagi.

Koleksi busana hari raya Diandra_Couture boleh didapati secara dalam talian pada harga RM149 hingga RM599.

Eksklusif

Dalam pada itu, menceritakan tentang koleksi jubah AHR, Aiman Hakim memberitahu, ia baru sahaja dihasilkan dua bulan lalu dengan kolaborasi bersama Diandra_Couture.

Ujarnya, koleksi jubahnya itu agak eksklusif memandangkan ia dihasilkan dalam kuantiti yang terhad dengan harga RM300 dan RM350.

"Jubah ini saya dan Fathia yang menghasilkannya, termasuk rekaan dan kain yang kami pilih sendiri.

"Sempena Aidilfitri ini kami perkenalkan jubah sahaja dulu dan selepas ini kami bakal mengeluarkan produk untuk pakaian lelaki pula," ujarnya.




Previous Post Next Post