Bekas Pengurus Mahu Lupakan Sengketa Dengan Zizan Razak



Marina berharap semua masalah yang berlaku diantaranya dan Zizan dapat diselesaikan secepat mungkin.

Rakan kongsi dan bekas pengurus Zizan Razak iaitu Marina Juki berharap hubungannya dengan pelawak itu kembali jernih bersempena kedatangan Syawal selain melupakan segala persengketaan yang pernah berlaku di antara mereka.

Marina berkata, sebagai individu paling rapat dengannya sebelum ini dia tidak mahu mensia-siakan persahabatan mereka dan berharap hubungan itu akan kembali jernih.

"Saya bukan sahaja menganggap dia sebagai teman baik tetapi juga seperti adik. Susah senang kami bersama sebelum ini, bagaimana saya boleh lupakan persahabatan kami begitu sahaja.

"Jauh disudut hati saya sangat berharap dengan kedatangan bulan mulia ini kami dapat berbaik dan melupakan segala sengketa yang berlaku," katanya kepada mStar Online.

Marina ditemui ketika majlis berbuka puasa bersama 30 anak yatim dari Sadakah Ehsan Puchong di Tierra Crest Kelana Jaya di sini pada malam Sabtu lalu.

Ia turut dihadiri oleh barisan artis terkenal seperti Kilafairy, Tania Hudson, Rohana Jalil, Kaka, Johan As'ari dan Zara Zya.


Zizan Razak.

Bagaimanapun kata Marina, dia tidak lagi berminat untuk menguruskan kerjaya Zizan dan berharap akan kembali rapat dengan Zizan sebagai kawan sahaja.

"Dunia hiburan ini kecil. Pusing-pusing tetap akan bertemu juga. Jadi buat apa saya hendak bermusuh dengan dia?

"Tetapi untuk kembali menguruskan kerjaya seninya... cukuplah setakat lima tahun ini dan dia pun sekarang diuruskan dengan baik oleh pengurusan baharu," jelasnya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai perkembangan terbaharu konflik dalaman syarikat Wirefame, Marina berkata, Zizan telah bersetuju untuk bertemu dengannya dan berharap masalah tersebut dapat diselesaikan secara baik.

"Pihak peguam saya telah mendapat maklum balas daripada pihak Zizan dan Insya-Allah kami akan bertemu dalam minggu ini untuk berbincang bagi menyelesaikan kemelut yang timbul sejak beberapa bulan yang lalu.

"Insya-Allah jika ada hasil yang baik daripada perbincangan itu saya sendiri akan beritahu kepada pihak media nanti," katanya.




Previous Post Next Post