Dr Fazley: Adilfitri paling bermakna!



TAHUN ini merupakan tahun kelapan pasangan bahagia ini menyambut Aidilfitri bersama sebagai suami isteri.

Sepanjang sambutan tahun ini merupakan yang paling bermakna buat Dr Fazley Yaakob dan isteri Datin Azrene Ahmad.

Tahu apa yang menariknya? kita ikuti kisah raya mereka samping tiga ‘hero’ tersayang!

Sejujurnya mata ini sungguh terpikat dengan jalinan kasih sayang yang ditonjolkan dalam keluarga Datuk Dr Fazley Yaakob, 36.

Mana tidaknya, walaupun dikurniakan tiga ‘hero’ sepanjang lapan tahun usia perkahwinan, namun kedua-duanya bijak menguruskan anak-anak.

Tiada teguran dengan nada yang tinggi malah, keriuhan gelak tawa anak-anak itulah yang membuatkan Aidilfitri kali ini sungguh bermakna.

Menurut bapa kepada Ahmad Fariedz Shah yang lebih mesra disapa Payish, 6, Ahmad Fieradz Shah (Piyash), 5 dan Ahmad Firudz Shah (Piyush), 3, melihat kegembiraan anak-anak, hatinya turut terhibur.

“Alhamdulillah, kami beraya berlima pada tahun ini. Paling seronok, Piyush juga sudah pandai bercakap.

“Sebelum ini, suara Payish dan Piyash sahaja. Bila tambah suara Piyush pula, suasana semakin riuh.

“Suara-suara inilah yang membahagiakan saya dan isteri setiap hari,” kata penyanyi lagu, Chocolate Cake, ini.


Tak pernah berebut ‘turn’

Walaupun ada sebahagian pasangan suami isteri yang terpaksa mengikut giliran untuk beraya, namun Fazley dan isterinya, Azrene Soraya Abdul Aziz, 35, tidak pernah memikirkan soal itu.

Ini kerana masing-masing berasal daripada negeri yang sama iaitu, Negeri Sembilan.

Fazley memberitahu, selepas solat sunat Aidilfitri di ibu kota, mereka berlima terus berangkat pulang ke kampung halaman.

“Saya berasal dari Kampung Sega Ulu dan isteri pula dari Kampung Gedung Lalang. Malah, jaraknya juga tidak begitu jauh.

“Setiap tahun, kami boleh beraya di kedua-dua tempat pada hari yang sama.

“Pada hari raya ketiga, kami ke Kedah pula untuk beraya bersama keluarga di sana,” katanya yang mengakui suasana di kampung halamannya sungguh meriah.

Tambah Fazley, setiap tahun, rumahnya akan dipenuhi dengan sanak saudara, rakan-rakan serta peminat.

“Rumah saya sering mendapat tumpuan. Malah, orang kampung juga datang beraya.

“Malah, setiap kelompok yang datang itu lebih daripada 10 orang.

“Itu yang membuatkan suasana di rumah saya meriah kerana orang datang tidak putus-putus,” katanya lagi.


Rendang istimewa Azrene

Walaupun bergelar juara Masterchef Selebriti Malaysia, namun tugas-tugas di dapur masih dimonopoli isteri tersayang.

Malah, Aidilfitri kali ini, Azrene juga turut ‘turun padang’ dalam menyediakan juadah istimewa iaitu rendang.

“Pada tahun ini, isteri saya buat rendang Negeri Sembilan. Ia adalah juadah setiap tahun.

“Saya pula turut menyumbangkan hidangan pencuci mulut kepada tetamu yang datang.

“Antaranya termasuk kuih puteri mandi, ketupat daun palas dan butterscoth cholocate chip,” katanya yang sebelum ini mempunyai pengalaman sebagai pembantu dapur di restoran.


Kisah nenek tua

Bercerita mengenai pengalaman beraya ketika zaman kecilnya, fikiran Fazley menerawang jauh mengingati kisah yang berlaku ketika usianya enam tahun.

Menurut pelantun lagu Asmara ini, seperti anak kecil yang lain ketika itu, dia turut beraya ke setiap rumah untuk mengumpul duit raya.

“Saya naik basikal untuk pergi rumah-rumah orang kampung. Apabila sampai di rumah seorang ‘nenek’ ini, saya dipelawa masuk.

“Namun, tidak seperti rumah lain, rumah nenek itu tiada hidangan istimewa. Nenek itu hanya memberikan saya isi kelapa yang diparut.

“Apabila saya mahu balik, dia memberikan duit satu sen. Katanya dia tiada banyak duit untuk diberikan, hanya itu yang dia mampu,” kata Fazley.

Tambahnya, pada tahun seterusnya, dia tetap pergi beraya ke rumah berkenaan, namun nenek itu sudah meninggal dunia.

“Saya sedih bila dapat tahu nenek itu telah tiada kerana dia sangat baik. Walaupun dia serba kekurangan, namun dia tetap meraikan tetamu.

“Peristiwa itu banyak mengajar saya dalam kehidupan seharian dalam adab menghormati tetamu.

“Jika tiada hidangan lazat-lazat sekalipun, hidanglah apa yang ada walaupun air kosong,” jelasnya lagi.


RM500 duit raya

Sepanjang usia kanak-kanaknya, Fazley memberitahu dia pernah menerima duit raya yang besar nilainya iaitu RM500.

Katanya, duit raya yang diterima itu adalah upah kepada keringat dalam membantu orang kaya di kampungnya.

“Sebenarnya, saya tolong orang kaya itu menambat lembunya di pokok. Ketika itu usia saya tujuh tahun.

“Saya tidak sangka, dia memberikan saya RM500 sebagai upah dan duit raya. Di usia sebegitu, nilainya sangat besar dan saya sendiri tidak tahu apa yang perlu dibuat.
“Jadi, saya berikan RM400 kepada seorang nenek tua yang uzur. Selebihnya RM100, saya simpan untuk diri sendiri,” katanya lagi.


Kagumi isteri

Berbicara mengenai keluarganya, Fazley mengakui bukan mudah untuk menguruskan anak-anak yang sedang membesar.

Malah, cabaran itu membuatkan Fazley amat mengagumi isterinya yang penyayang dan seorang ibu yang baik.

“Sebenarnya, bukan mudah nak urus tiga anak lelaki. Kami sudah biasa dengan jeritan, gelak tawa dan suasana rumah yang bersepah.

“Namun, Azrene seorang ibu yang baik dan penyabar. Walaupun sibuk, namun dia tetap memastikan anak-anak diuruskan sendiri.

“Kami bersama-sama menguruskan anak-anak. Kalau dia sibuk, tugas itu diberikan kepada saya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fazley juga turut mempertaruhkan lagu raya, Dendang Anak Perantau dan single terbaharunya akan diperkenalkan pada November nanti.

“Selain itu, saya kini sedang sibuk dalam penghasilan buku masakan yang akan diterbitkan syarikat buku, MPH Bookstore.

“Saya juga turut terlibat dalam rancangan, Juara Joran sebagai hos dan juri bersama Yana Samsudin.

“Dalam bidang perniagaan pula, saya bakal membuka, Suka Sucre Bistro di Jalan Loke Yew. Sebelum ini, The Sumbs Cafe telah dibuka di Seri Keningau Village, Shah Alam,” katanya yang masih terlibat dalam program motivasi dan ceramah.




Previous Post Next Post