Ekspresi Luna Maya jentik Tembus


LAKONAN Luna Maya yang semula jadi dan tidak keterlaluan menarik perhatian audiens.

MELETAKKAN pelakon cantik dari Indonesia, Luna Maya sebagai pertaruhan watak utama dalam filem Tembus adalah satu langkah bijak.

Luna Maya, selain terkenal dengan kisah sensasi dan beberapa kontroversi sebelum ini, pelakon itu sebenarnya satu aset yang menambah nilai kepada sesebuah naskhah yang dia terlibat.

Jujurnya filem Tembus kalau dinilai daripada sudut komersial sedikit sukar untuk menarik penonton berpusu-pusu membanjiri pawagam sementelah tayangannya juga mengambil posisi bermula 1 Syawal (28 Julai).

Namun, yang menjual filem itu sebenarnya barisan pelakonnya. Ahmad Idham bijak menggandingkan pelakon popular tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura dalam rangka strategi meraih perhatian penonton.

Aaron Aziz sendiri sudah berjaya memonopoli dua buah negara iaitu Malaysia dan Singapura manakala Luna Maya tidak disangkal adalah salah seorang pelakon berbakat besar dari Indonesia.

Jika sebelum ini Aaron Aziz pernah membuai penonton menerusi balada Ombak Rindu atau mungkin juga aksi mendebarkan dalam KL Gangster, penonton kali ini dapat melihat kemunculan Aaron Aziz yang baharu dalam filem Tembus.

Pujian harus diberikan kepada Luna Maya yang tidak dibekalkan dialog berjela-jela sebaliknya lebih menggali perasaan dalaman dan permainan emosi semata-mata untuk mengikat peranan gadis psiko bernama Merylia.

Merylia disifatkan mempunyai intuisi luar biasa sekiranya mahu mendapatkan sesuatu yang diinginkan malah dek kerana itu juga perilakunya berubah menjadi individu berbeza.

Sebenarnya, lakonan Luna yang nampak lebih semula jadi sudah mampu menenggelamkan watak-watak lain dalam filem itu. Tidak perlu terlalu banyak berusaha, Merylia tampil dalam versi wanita naif yang hanyut dalam perasaan sayang terhadap suami orang.


GANDINGAN Khir Rahman dan Aaron Aziz dilihat agak secocok.

Tertarik dengan salah satu babak daripada filem itu yakni ketika pertemuan Hari (lakonan Aaron Aziz) dan Merylia di sebuah kafe untuk memutuskan hubungan mereka dan tanpa sepatah dialog pun Luna berjaya menonjolkan sebuah pemberontakan dan penafian.

Ironi, Hari sebenarnya sudah berkahwin dengan Izza, lakonan Fazura.

Harus diakui juga, Luna dan Aaron berjaya membina keserasian untuk bergandingan di layar perak dengan penuh selesa. Bahasa badan paling utama untuk menceritakan pertalian yang wujud antara mereka berdua.

Tembus menceritakan kehidupan Hari (Aaron Aziz) yang membuat perjanjian dengan isterinya, Izza untuk mengambil alih tugas menjaga anak perempuan mereka, Nurzara.

Bagaimanapun, konflik mula tercetus apabila anaknya diculik dan Hari mula mendedahkan semua perkara yang berlaku di belakang isterinya termasuk perselingkuhan dengan Merylia.

Cuma, seperkara yang kurang logik berkenaan filem ini apabila kes penculikan dijadikan pelaporan dalam media kerana biasanya kes sedemikian tidak membenarkan hebahan media atas faktor keselamatan mangsa.

Begitu juga kehidupan Izza sebagai wanita berkerjaya yang secara tiba-tiba disifatkan popular serta berisiko diancam gosip seperti seorang artis.

Apapun, percubaan untuk mengangkat genre serius seperti Tembus satu langkah proaktif untuk mempelbagaikan naskhah di pasaran.

Andai ada penaiktarafan daripada segi skala warna dan sinematografi filem ini, tidak mustahil Tembus mendapat perhatian di negara luar juga.




Previous Post Next Post