Fizz, Almy teruja sambut Lebaran bersama


Fizz Fairuz dan Almy Nadia

BIARPUN pertama kali menyambut raya sebagai pasangan suami isteri, itu tidak menjadi alasan buat Fizz Fairuz dan Almy Nadia menyediakan persiapan raya secara berlebihan.

Menurut Fizz, tiada apa yang berubah dalam persiapan dan sambutan lebaran seperti saban tahun, kecuali tahun ini buat pertama kalinya dia dan Almy menyambut raya bersama.

"Persiapan raya kami sepakat untuk melakukan secara sederhana. Namun walaupun sambutan seperti biasa, saya tetap teruja dan gembira kerana dapat menjalani ibadah berpuasa dan seterusnya berhari raya bersama Almy," katanya.

Berkongsi destinasi mereka menyambut hari raya, Almy berkata, dia dan Fizz sepakat untuk pulang ke Pulau Pinang terlebih dahulu.

"Pertama kali, saya rasa syukur (ketawa) kerana saya dan Fizz pulang terlebih dahulu ke Penang. Kemudian baru kami pulang ke kampung Fizz di Raub, Pahang untuk menyambut lebaran bersama keluarganya pula.

"Kebetulan adik Fizz yang paling bongsu juga akan mengikat tali pertunangan pada hari raya ketiga (hari ini)," ujar Almy mesra.

Menyambut Aidilfitri dalam keadaan berbadan dua, Almy memberitahu, dia berharap tidak akan mengalami alahan teruk seperti yang dialaminya pada bulan puasa lalu.

"Alahan saya hanya berlaku pada waktu malam. Biasa lepas makan, saya akan muntah kembali apa yang saya makan.

"Jadi saya harap tidak mengalami alahan terus sepanjang lebaran ini kerana memang teringin untuk menikmati rendang, lemang, ketupat dan sebagainya," katanya yang kelihatan semakin berseri-seri.

Almy berkata, dia juga belum ada sebarang perancangan untuk mengadakan rumah terbuka dan akan memaklumkan andai mengadakan rumah terbuka.

"Jadual Fizz sebenarnya agak padat. Jadi kami tidak pasti lagi akan mengadakan rumah terbuka, apatah lagi akan sibuk di kampung kerana pertungan adiknya," jelasnya.

Fizz ajak ke pawagam

Sementara itu Fizz berkata, dalam keterujaan menyambut hari raya Aidilfitri, dia berharap peminat sudi meluangkan masa menonton filem terbaru lakonannya, Mat Tudung yang sudah disiarkan sejak hari raya pertama lagi.

Tambah Fizz, dia berharap dalam budaya kunjung mengunjungi, peminat tidak lupa untuk menonton filem terbaru lakonannya itu.

"Saya faham, bila berhari raya, mesti ada yang nak berkumpul bersama sanak saudara. Jika ada kelapangan datanglah ke pawagam.

"Saya kadang-kadang cemburu jika pergi menonton filem luar negara, pawagam mesti penuh. Tapi filem tempatan nak penuh satu panggung pun susah," katanya.

Ujar Fizz lagi, Mat Tudung adalah sebuah filem berbeza daripada filem atau drama yang pernah dijayakan sebelum ini.

"Dalam filem ini saya perlu bersolek dan bertudung. Memang leceh jadi perempuan kerana perlu bersiap sampai dua jam.

"Apa pun saya seronok berlakon dalam filem ini walaupun ada kalanya terpaksa 'bergaduh' dengan pengarah," katanya.

Almy sibuk berniaga

Berbeza pula dengan Almy, dalam kesibukan menyambut lebaran, dia juga dalam masa yang sama sibuk menguruskan restoran Last Corner berhadapan dengan pusat membeli belah, Wangsa Walk.

"Alhamdulillah dah hampir dua tahun restoran ini beroperasi. Restoran ini adalah hasil perkongsian saya, Fizz bersama dua lagi rakan.

"Setakat ini sambutannya memang menggalakkan. Lagipun banyak menu istimewa di sini dan selain itu, kami juga menyediakan 'shisha' dan ia adalah 'shisha' yang paling baik," katanya.




Previous Post Next Post