Memori cemas Syatilla Melvin



SYATILLA MELVIN menyukai amalan unik keluarganya iaitu merakamkan potret keluarga di sebuah kedai gambar di kampung halamannya di Parit Buntar, Perak.

SABAN tahun, kedatangan Aidilfitri sering membawa seribu satu erti buat umat Islam di seluruh dunia. Tambahan pula, perayaan yang menandakan hari kemenangan selepas 30 hari berpuasa ini hanya datang setahun sekali.

Justeru, sudah menjadi kemestian bagi setiap individu untuk memahat setiap memori indah yang tercipta setiap kali tibanya bulan mulia ini.

Namun, tidak bagi gadis genit ini. Pelakon yang mencipta nama menerusi pertandingan Pencarian Dewi Remaja, Syatilla Melvin, 24, pernah dirundung risau tatkala ayah yang dikasihi terkena serangan jantung tiga hari sebelum tibanya Syawal tahun lalu.

Serangan jantung

“Itu mungkin memori paling tidak dapat dilupakan tahun lalu. Bayangkan, ketika kami semua sedang nyenyak tidur, ayah bangkit dan mengadu dadanya sakit.

“Risau dengan keadaannya, saya terus membawanya ke hospital berdekatan pada malam itu juga dan dia disahkan terkena serangan jantung,” ujarnya sambil mengimbas kejadian yang mencemaskan itu.

Tutur Syatilla, rasa paniknya bertambah apabila doktor memberitahu bahawa peluang ayahnya untuk hidup pada masa itu adalah 50/50.

“Ketika diberikan perkhabaran itu, saya dan adik terus menangis kerana tidak mampu menahan rasa sedih. Bayangkan, hari raya sudah makin hampir tetapi ayah kami pula terpaksa bertarung nyawa di hospital.

“Tetapi, Alhamdulillah, setelah ayah kami melalui sebuah pembedahan, dia dibenarkan pulang ke rumah pada keesokan harinya,” ujarnya lagi.

Ambil gambar

Ceria melanjutkan perbualan, Syatilla yang ditemui ketika sedang menjalani penggambaran drama bersiri Dan Hati Pun Berkata di Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, ada juga memori manis yang sering menerjah benak fikirannya setiap kali tibanya Aidilfitri.

Cerita anak jati Parit Buntar, Perak ini, dia dan ahli keluarganya pasti tidak melepaskan peluang mengambil gambar beramai-ramai di sebuah kedai gambar di kampungnya selepas menunaikan sembahyang raya setiap tahun.

“Setiap tahun, kami sekeluarga akan singgah di kedai gambar di taman perumahan kami untuk mengambil gambar di studio kedai itu.

“Memang ia agak pelik lebih-lebih lagi apabila perkembangan teknologi kini semakin pesat membangun. Namun, rutin yang diilhamkan oleh ibu saya ini pasti menjadi ingatan kami adik-beradik sampai bila-bila,” katanya sambil tersenyum.

Ketika ditanya mengenai makna Aidilfitri, pelakon yang mula dikenali menerusi drama Ramadan Yang Hilang ini berkata, kedatang 1 Syawal saban tahun dapat mengeratkan lagi ikatan sesama keluarga serta sanak saudara yang lain.

“Saya tidak dapat gambarkan jika hari-hari dalam bulan Syawal dilalui tanpa gelak dan tawa kaum keluarga di kampung.

“Bagi saya, pada kesempatan ini, saya dapat meluangkan masa bersama adik-beradik yang lain serta bertanya khabar mereka yang telah lama tidak berjumpa. Selain itu, Aidilfitri turut menjadi hari yang penting untuk kita bermaaf-maafan sesama sendiri,” katanya lagi.

Antagonis

Sementara itu, bercakap mengenai watak antagonis yang selalu didukungnya, Syatilla memberitahu, dia berasa selesa membawakan watak seperti itu kerana sudah terbiasa dengan karakter sedemikian di dalam drama lakonannya.

“Memang saya mahu watak-watak yang berbeza setiap kali diberikan tawaran untuk berlakon. Namun, apabila kerap diberikan watak antagonis, saya menjadi sangat selesa.

“Justeru, saya tidak mempunyai masalah dengan perkara itu,” katanya yang turut membawakan watak antagonis dalam drama Dan Hati Pun Berkata.

Drama 26 episod lakonan Shah Iskandar, Uqasha Sensore dan Kilafairy itu bakal menemui penonton tahun hadapan.




Previous Post Next Post