Nuansa Syawal Ning-Nurul



DARI kiri: Omar Shariff mendukung Ryan Sky Dalton, Ning Baizura, Nurul dan Eric Depp bersama Zachary mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri buat umat Islam di seluruh negara.

SEBELUM jurufoto Nooradzrene Mohd. Noor mengetik pengatup kameranya bagi merakamkan potret dua keluarga ini, Ning Baizura dan Nurul Depp bersama-sama suami mereka, Omar Sharif Christopher Layton Dalton dan Eric Depp sempat memperbetulkan kedudukan sambil mengukir senyuman.

Pada masa yang sama, mereka perlu memastikan anak-anak mereka iaitu Ryan Sky Dalton (anak Ning) dan Zachary (anak Nurul) perlu berada dalam posisi yang betul untuk dirakamkan.

Tengah hari itu, mereka berenam berkumpul di Songket Lounge, Hotel Istana, Kuala Lumpur bagi menjayakan sesi fotografi untuk keluaran istimewa Hab Hib Kosmo! bersempena kedatangan Aidilfitri.

Rancak berkongsi tentang persiapan dan rutin wajib mereka setiap kali tibanya bulan Syawal, Ning dan Nurul turut bercerita tentang makna sebenar kedatangan hari lebaran bagi mereka sekeluarga.

Ning terima tetamu istimewa dari Ireland

Setiap kali berpeluang mewawancara penyanyi bersuara saprano ini, ada sahaja perkara yang ingin dikongsikan bersama.


MEMPUNYAI cahaya mata yang masih kecil, keluarga Ning dan Nurul lebih teruja untuk mendahulukan anak mereka dalam banyak perkara termasuk pada Aidilfitri ini.

Ning Baizura, 39, yang tidak pernah lekang dengan senyuman dan gelak tawanya memberitahu, sambutan hari raya pada tahun ini berbeza sedikit berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Menurut pelantun lagu Awan Yang Terpilu ini, anak-anak kepada suaminya yang kini menetap di Ireland, United Kingdom bakal terbang ke Malaysia bagi merayakan sambutan Aidilfitri bersama-samanya.

“Ini merupakan kali pertama mereka merayakan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia. Kebetulan, mereka sedang bercuti musim panas di sana. Justeru, peluang yang ada digunakan untuk menyambut hari raya s di Kuala Lumpur,” ungkap Ning.

Selain menyambut hari raya bersama, Siban Dalton, 12, dan Aife Dalton, 11, yang akan bercuti selama dua minggu di sini turut melahirkan rasa teruja untuk bertemu adik tiri mereka, Ryan Sky Dalton.

“Siban dan Aife sering menghantar pesanan Whatsapp kepada saya sambil melahirkan rasa tidak sabar untuk bercuti di sini. Di samping itu, mereka juga cukup rindu untuk bertemu dengan Ryan.

“Jadi, apabila mereka sampai ke sini, saya dan Chris akan membawa mereka berjalan-jalan sambil membeli-belah ke sekitar ibu kota,” ujar Ning sambil memberitahu, kedua-dua orang anak tirinya itu akan tiba di Kuala Lumpur sehari sebelum hari raya.

Apabila disoal tentang makna Aidilfitri, Ning memberitahu, ia merupakan satu hari istimewa yang dapat mengumpulkan setiap ahli keluarga yang telah lama tidak bersua.

“Pada hari raya sahaja kita dapat berjumpa sambil bertanya khabar setelah lama tidak bertemu.

“Selain itu, kedatangan Syawal juga mampu memberikan kita kesedaran terhadap kesusahan yang dialami oleh orang lain,” katanya yang turut beraya ke rumah kakaknya di sekitar Selangor.

Nurul bersederhana sambutan Aidilfitri

Disebabkan dia dan suaminya tidak pulang ke kampung untuk berhari raya, Nurul Depp, 36, mengakui, persiapan hari raya keluarganya pada tahun ini dilakukan secara sederhana.

Ujar anak jati Pulau Pinang itu, dia memilih untuk beraya dalam suasana sederhana kerana mahu mengikut sunnah Rasulullah S.A.W yang mementingkan amalan berjimat cermat.


PERKAHWINAN campur di antara Ning Baizura dan Omar Sharif Christopher Layton Dalton serta Nurul Depp bersama suaminya, Eric Depp membuatkan tradisi raya mereka menjadi lebih meriah kerana perbezaan budaya masing-masing.

“Persiapan hari raya pada tahun ini sederhana sahaja. Tidak banyak yang saya sediakan. Baju raya kami pun diberi oleh pereka fesyen Rizman Ruzaini. Selain itu, baju Melayu untuk Zachary pula dihadiahkan oleh teman,” katanya.

Selain itu, Nurul juga mahu memberi contoh yang baik kepada suaminya tentang cara umat Islam menyambut hari raya tanpa mengamalkan sebarang pembaziran.

“Sejujurnya, kita tidak perlulah membazir ketika hendak merayakan Aidilfitri. Lebih-lebih lagi apabila saya sebagai seorang Melayu yang beragama Islam perlu memberikan teladan yang baik terhadap suami saya.

“Lagipun, hari raya merupakan hari kemenangan kita bersama selepas berjaya menahan nafsu selama sebulan,” katanya lagi.

Berkongsi mengenai juadah yang bakal dihidangkan pada pagi raya, tutur Nurul, antara hidangan wajib yang akan dimasak ialah ketupat nasi, ketupat palas dan rendang daging.

“Eric begitu gemar makan rendang daging. Pada awal usia perkahwinan kami, dia berasa pelik kerana dihidangkan nasi ketika sarapan pagi. Lama-kelamaan, dia akhirnya sudah terbiasa,” ujarnya.

Melanjutkan perbualan, Nurul memberitahu bahawa anak sulungnya, Ayu Nazirah, 15, pulang beraya ke rumahnya pada hari raya kedua sehingga raya keempat.

“Seperti biasa, dia akan beraya di rumah ayahnya iaitu penyanyi dan komposer Ajai terlebih dulu. Kemudian, dia akan datang ke rumah saya untuk menyambung cuti rayanya di sini,” ujar Nurul menutup bicara.




Previous Post Next Post