Berhijab, Sheera enggan bermegah



SHEERA bakal muncul dengan sebuah lagu patriotik yang berjudul, Cintakan Malaysia.
Advertisement

RAMADAN tahun ini menyaksikan perubahan drastik beberapa selebriti terkenal tanah air terutama daripada segi memenuhi tuntutan berhijab.

Hal itu turut membabitkan pelakon Sheera Iskandar atau nama sebenarnya Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar, 29, yang mula berhijab pada bulan penuh berkat itu.






Enggan riak dan menggembar-gemburkan kisah penghijrahannya, tegas pelakon filem KL Gangster itu, tujuannya berhijab juga bukan untuk berkahwin.

Sheera yang ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Media Hiburan di Dewan N’Dah Catering, Shah Alam, Selangor baru-baru ini berkongsi kisah tentang proses penghijrahannya kepada Kosmo!. Ikuti temu bual berikut.

Kosmo!: Sheera sudah bertudung tetapi tidak mengumumkan kepada khalayak mengenai penghijrahan itu. Adakah anda mempunyai alasan tersendiri?

SHEERA: Saya pakai tudung bukan sebab orang tapi kerana diri saya sendiri dan rasanya, tidak perlu untuk saya membuat sebarang pengumuman untuk tindakan ini (bertudung). Sedangkan keluarga saya sendiri pun tidak tahu bahawa saya sudah bertudung sejak Ramadan lalu, sehingga akhirnya mereka sendiri bertanyakan kepada saya untuk mendapatkan kepastian.

Bagaimanakah proses anda bertudung sebenarnya?

Saya banyak ditawarkan watak yang memerlukan saya bertudung dan pada bulan Ramadan lalu, saya rasa malu apabila tidak bertudung sedangkan orang sekeliling saya semuanya menutup aurat dengan sempurna. Jadi, saya mengambil pendekatan perlahan-lahan belajar pakai tudung hingga saya selesa. Tambahan, apabila berada di luar rumah saya seringkali dihulurkan tudung percuma. Jadi, saya melihat perkara yang berlaku di sekeliling saya sebagai satu petanda kuat untuk saya berubah.

Apakah pendekatan anda ambil untuk menepis dakwaan bahawa bertudung kini seolah-olah menjadi satu trend?

Ramai yang tidak perasan bahawa saya sudah bertudung dan saya akui, memang banyak dugaan sepanjang mula berhijab tapi Alhamdulillah banyak urusan saya dipermudahkan Allah. Malah, saya mendapat sokongan kuat daripada keluarga dan teman rapat di sekeliling saya.

Untuk istiqamah dalam setiap perbuatan kita, ia sebenarnya terpulang pada diri individu masing-masing. Memang berada dalam industri akan ada banyak cabaran tetapi saya percaya rezeki ada di mana-mana dan tidak semestinya apabila saya bertudung saya tidak boleh berlakon lagi selepas ini.

Mungkinkah penghijrahan anda ini sebagai satu syarat awal untuk mendirikan rumah tangga selepas ini?

Saya masih solo selepas hubungan dengan bekas teman lelaki berakhir setahun lalu. Saya tidak mencari dan tidak tergesa-gesa untuk mencari pengganti. Biar ia (jodoh) datang sendiri dan tidak perlu menunggu terlalu lama lagi selepas ini. Keluarga saya tidak mendesak dan saya tiada masalah untuk kekal solo buat masa sekarang.




Sudi sekiranya anda berkongsi perkembangan terbaharu?

Pertama kalinya saya terbabit menyanyikan sebuah lagu patriotik sempena sambutan bulan kemerdekaan Malaysia ke-57 tahun ini. Menerusi lagu Cintakan Malaysia, saya berduet dengan komposer dan penyanyi, Doul. Alhamdulillah klip video sudah siap menjalani penggambaran dan saya sangat teruja menantikan hasilnya.

Selepas berlakon dan sekarang anda berjinak-jinak dalam bidang nyanyian pula. Adakah selepas ini anda bakal dikenali sebagai penyanyi?

Saya suka menyanyi dan tidak terfikir pun untuk terbabit dalam projek lagu patriotik ini. Sudah pasti saya sendiri tertekan kerana nyanyian bukan bidang saya. Kerjasama ini pun terbentuk selepas saya dan Doul bersembang kosong beberapa bulan lalu hingga akhirnya dia serius mencipta sebuah lagu khas sempena Hari Kemerdekaan ke-57 tahun ini.
Previous Post Next Post