Da’i musim kedua tonjol kebolehan individu



BARISAN peserta yang bakal terbabit dalam program Da'i 2, (barisan hadapan, dari kiri) Mohd. Elyas Yusoff, Ammar Ismail, Nurul Dayana Mohd. Zahari, Asni Abu Mansor (Murabbi), Nurul Amirah Mohd. Azmi, Nik Ahmad Farhan Nik Muhammad manakala Ahmad Izzhar Ahmad Nazri (belakang, kiri), Mohd. Annas Khamis (belakang, tiga dari kanan), Wan Dazrin Wan Din (belakang, dua dari kanan), serta dua juri tetap, Ustaz Sharhan Shafie (belakang, tiga dari kiri) dan Ustaz Harryanto Rizal Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar.






PROGRAM merebut gelaran yang dikenali sebagai Pendakwah Milenia, Da' i kini memasuki musim kedua.

Jika musim pertama, Da'i lebih tertumpu pada cabaran berkumpulan, namun untuk musim kedua, program yang ditayangkan di TV3 itu akan memfokuskan pula kepada cabaran tugasan secara individu.

Menyedari tugasan secara berkumpulan pada musim pertama Da'i tidak dapat menonjolkan kebolehan peserta secara individu, penerbitnya, Shukri Ibrahim mengakui, pihaknya mahu lapan peserta Da'i yang bertanding untuk musim kedua lebih berdaya saing menonjolkan bakat secara individu.

"Selepas melihat cabaran yang disediakan untuk para peserta Da'i musim pertama, kami dapati peserta kurang menyerlah apabila mereka melakukan tugasan secara berkumpulan.

"Mereka tidak dapat menonjolkan kebolehan diri masing-masing. Untuk musim kedua ini, mereka akan melakukan tugasan secara individu.

"Walaupun topik yang disediakan mungkin remeh tetapi setiap peserta kena fikir bagaimana untuk menyampaikan tugasan mereka secara berkesan," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran Da'i 2 di Sri Pentas, Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Shukri lagi, pihaknya juga mahu melihat kelebihan dan kekurangan setiap peserta sambil dibantu oleh Murabbi (pendidik) terkenal iaitu Ustaz Mohd. Izhar dan Ustazah Asni Abu Mansor.

Seramai lapan peserta Da'i 2 bakal bersaing bagi meraih gelaran Pendakwah Milenia yang bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM50,000.

Lapan finalis tersebut terdiri daripada Mohd. Annas Khamis, Nik Ahmad Farhan Nik Muhamad, Ahmad Izzhar Ahmad Nazri, Nurul Dayana Mohd. Zahari, Nurul Amirah Mohd. Azmi, Mohd. Elyas Yusoff, Wan Dazrin Wan Din dan Ammar Ismail.

Rosyam Nor

Bakal dihoskan oleh Datuk Rosyam Nor, Shukri memberitahu, pihaknya memilih Rosyam kerana pelakon dan penerbit terkenal itu seorang yang berpengaruh dan berkaliber.

"Saya dapat maklumat yang Datuk Rosyam kini sedang memperlahankan aktiviti lakonannya. Jadi, saya berjumpa dengannya dan menawarkannya pengacara program ini (Da'i 2).

"Alhamdulillah, beliau suka. Cuma, beliau memberitahu tidak pernah diberi peluang untuk mengacarakan program sebegini," ulasnya mengenai pemilihan Rosyam.




Sementara itu, Rosyam memberitahu, beliau pada mulanya berasa berbelah bahagi menerima tawaran sebagai pengacara Da'i 2..

Namun, apabila diberitahu program itu bersifat santai dan tidak semestinya seorang ustaz menjadi pengacara, Rosyam akhirnya menerima tawaran tersebut.

"Pada mulanya, saya tertanya-tanya kenapa saya dipilih. Tetapi, mereka menerangkan Da'i merupakan program agama yang bersifat santai.

"Jadi, saya akan cuba menyampaikannya secara santai dan memberikan sedikit ilmu yang saya ada.

"Mungkin ada masanya saya turut menguji minda para peserta untuk menjadikan program musim kedua itu lebih mendebarkan," luahnya yang tidak gentar dikritik masyarakat.

Kata Rosyam, orang ramai berhak memberi komen dan daripada situ beliau akan cuba mempelbaiki diri menjadi lebih baik.

Sedar, orang ramai hanya mengenalinya sebagai pelakon dan penerbit, Rosyam mengakui, beliau akan menonjolkan sisi lain yang tidak pernah diketahui orang ramai selama ini.

Da'i 2 mula ditayangkan pada 15 Ogos, setiap hari Jumaat, pada pukul 9 malam.

Program itu juga boleh ditonton melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.
Previous Post Next Post