Erma Fatima belum yakin pentaskan Isabella


TEATER Isabella yang sepatutnya dipentaskan di Istana Budaya Jun lalu masih lagi belum diputuskan pengarahnya, Eirma Fatima.

Menurut Eirma, sebagai pengarah dan penulis skrip teater itu, beliau sendiri harus yakin dan faham apa yang mahu dipentaskan.

Oleh itu, Eirma berpendapat dia perlu mendalami dan memahami kandungan surah-surah yang mahu diangkat dalam naskhahnya nanti.






"Isabella ini berat. Mengisahkan tentang seorang rahib yang jatuh cinta dengan al-Quran. Dia masuk Islam kerana baca terjemahan al-Quran.

"Jadi, ada bahayanya juga di situ. Tapi bukan sebab bahaya itu saya tak pentaskan lagi Isabella ini," katanya.

Eirma akui masih was-was meskipun bekerjasama dengan pakar-pakar tafsir al-Quran dalam teater Isabella itu.

"Mungkin saya sendiri belum bersedia untuk Isabella. Saya kena faham dulu surah-surah yang saya mahu angkat sebelum saya nak ajar orang dalam naskhah saya.

"Saya sendiri tak mahir maka saya agak was-was walaupun saya akan bekerjasama dengan orang-orang pentafsir al-Quran yang hebat, yang boleh menjadi rujukan. Tapi sebab saya sendiri tak mahir, maka saya tidak mempunyai keyakinan," katanya.

Akui sudah tepu dengan segala kritikan dan tohmahan, Eirma hanya melakukan apa yang patut untuk melaksanakan kewajipannya.

"Watak rahib itu kita akan ambil pelakon dari Indonesia kerana tak boleh ambil orang kita. Susah nak menjawab nanti.

"Saya dah selalu sangat kena. Sudah tepu. Ada saja. Tak larat dah," katanya.




Menurut Eirma sekiranya sehingga tiba masanya, dia masih belum mendapat keyakinan untuk meneruskan Isabella, teater Laila Majnun bakal menggantikan pementasan Isabella di Istana Budaya, Disember ini.

Kini, teater Bahayanya Wanita arahan Eirma yang dilakonkan Zizan Razak, Umi Aida, Erra Fazira, Nora Danish dan ramai lagi sedang dipentaskan di Panggung Sari sehingga Ahad nanti.
Previous Post Next Post