Fizz bersabar demi Almy


Fizz Fairuz dan Almy Nadia

MEMANG sudah menjadi tanggungjawab sebagai seorang suami memastikan isteri kesayangan sentiasa berada dalam keadaan yang baik terutamanya ketika menjalani fasa kehamilan.

Bagi bintang Mat Tudung, Fizz Fairuz, kesabaran melayani kerenah isterinya, Almy Nadia yang kini hamil cahaya mata pertama mereka dianggap sebagai satu pengorbanan sebagai seorang suami.

“Alhamdulillah, kandungan Almy kini sudah masuk tiga bulan. Sepanjang proses kehamilan ini memang banyak perubahan yang berlaku kepadanya.

“Hormon dia juga memang tidak menentu kerana tahap kesihatannya sentiasa berubah. Sebagai suami, saya bantu apa yang perlu dan ikut sahaja kehendak dia kerana saya tahu perubahan hanya sementara,” katanya.






Berkongsi pengalaman itu, Fizz memberitahu pernah buntu untuk memenuhi permintaan Almy yang mengidam untuk menjamah telur penyu.

“Telur penyu adalah permintaan paling pelik buat masa ini. Saya sendiri tidak tahu macam mana mahu dapatkan telur itu dan usaha meminta tolong kawan-kawan lain.

“Nasib baik ada bapa saudara kami yang tinggal di Sabah sanggup tolong mengepos lima biji telur penyu,” katanya sambil tertawa kecil.




Tambah Fizz, tabiat pemakanan Almy yang bertambah turut menyebabkan berat badan isterinya itu naik mendadak.

“Sejak hamil, selera makan Almy memang bertambah. Boleh dikatakan setiap satu jam dia mahu makan tapi akhirnya saya jadi mangsa untuk habiskan makanan dia.

“Betullah kata orang, kalau isteri mengandung, suami perlu banyak bersabar,” ujarnya berseloroh.
Previous Post Next Post