Gengster insaf dalam Kem Cuci Tangan



FARID KAMIL (berdiri dua dari kanan) dan Zalif Sidek (depan, kanan) bersama barisan barisan telefilem, Kecut.

KEBIASAANNYA penampilan seorang gengster dalam sebuah karya itu dipaparkan dalam keadaan selekeh, mengenakan tatu atau rantai.

Enggan mengambil langkah yang serupa, pengarah telefilem Kem Cuci Tangan (Kecut), Dharma Aizat memberitahu, dia cuba memaparkan penampilan gengster dalam telefilem terbaharunya itu dengan cara berbeza.

Malah, jalan cerita yang turut disampaikannya juga berbeza daripada karya-karya gengster yang terdapat di pasaran.






"Cerita ini (Kecut) berbeza dengan cerita gengster lain. Ia memaparkan kisah gengster yang insaf.

"Selain itu, saya turut memaparkan penampilan gengster dalam telefilem ini seperti manusia normal. Tidak semestinya gengster tetapi penampilan seperti seorang gengster," ujarnya ketika ditemui pada majlis pratonton telefilem Kecut di Ruang, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Menjalani penggambaran pada bulan Mac lalu di Tanjung Bidara, Melaka, Dharma mengakui, pihaknya terpaksa berdepan dengan cabaran jerebu sehingga menyebabkan salah seorang daripada pelakonnya, Zalif Sidek, jatuh sakit.

Zalif yang sememangnya menghidap asma itu dimasukkan ke hospital selama dua hari.

Tambah Dharma, mujur keadaan Zalif selepas itu, pulih tanpa mengganggu kelancaran penggambaran telefilem tersebut.

Mengisahkan tentang lima anak muda yang berhasrat menjadi gengster, selain Zalif, Kecut turut dibintangi Farid Kamil, Azwan Kombos, Along Eyzendy, Eddy Kodiang, Niezam Zaidi dan Pablo Amirul.




Farid, bekas gangster

Lebih banyak beraksi di layar perak sebelum ini, ungkap Farid pula, dia berasa lebih mudah berlakon dalam telefilem berbanding filem.

Malah, kata Farid, penghasilan telefilem juga tidak ada tekanan yang tinggi dan pastinya kesilapan dapat dielakkan.

Membawakan watak Joe, seorang bekas gengster, ulas Farid, dia ditugaskan membimbing gengster-gengster muda di Kem Cuci Tangan.

"Gengster-gengster muda dari setiap negeri berkumpul dalam kem ini. Menariknya, gengster-gengster muda ini turut bertutur dalam loghat negeri masing-masing," ulasnya yang mengakui hanya memilih projek telefilem istimewa sahaja selain berlakon filem.

Telefilem terbitan Mangkin Prestij itu boleh ditonton secara eksklusif di HyppTV.

Sementara itu, mengulas mengenai kolaborasi antara HyppTV dan Mangkin Prestij, Naib Presiden, Operasi Perniagaan dan Media, New Media, TM, Emily Wee memberitahu, telefilem tersebut boleh ditonton oleh pelanggan HyppTV pada bulan ini di Hyppflicks+ (kategori Malaysia), saluran 801 menerusi Set Top Box HyppTV, dan aplikasi HyppTV Everywhere iaitu di telefon mudah alih, komputer peribadi serta tablet.
Previous Post Next Post