Hisyam Hamid selesa diuruskan isteri



HISYAM bercadang untuk membawa isteri dan anak-anaknya dari Singapura menetap di Malaysia tahun depan.

BELUM sampai setahun menyertai industri seni di Malaysia, pelakon dari Singapura, Hisyam Hamid sudah berjaya menempatkan diri dalam jiwa peminat dan karyawan di sini.

Sejak kemunculannya pada September tahun lalu, kelibatnya semakin menyerlah.

Lelaki yang kini menginjak usia 29 tahun itu tidak ubah seperti bintang yang menerangi malam sepi. Kehadirannya sentiasa dinanti-nanti selepas berjaya mengukir nama melalui drama bersiri Ariana Rose.

"Selepas kehadiran saya dalam Ariana Rose, masyarakat Malaysia mula mengenali saya. Saya lihat peluang kerjaya di sini sangat cerah. Kalau mahu terus bertahan dalam industri, saya harus serius menggalas kerjaya ini.

"Saya percaya jika kita ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu, peluangnya sentiasa terbuka. Tetapi, untuk mendapatkannya bukan mudah melainkan disertai usaha keras dan doa mohon keberkatan daripada-Nya," kata Hisyam.

Ditebak tentang perancangan untuk membawa kedua-dua anaknya, Nurish Syameliah, 7, dan Hayden, 5, menetap di Kuala Lumpur, Hisyam berkata, perkara tersebut sedang dipertimbangkan.

"Saya pernah memberitahu, saya memerlukan masa selama setahun untuk melihat kemampuan saya membina karier di sini.

"Alhamdulillah, kerjaya lakonan saya semakin berkembang. Jika tiada aral, kedua-dua anak saya akan bersekolah di sini tahun depan. Saya juga telah menyewa rumah dan membeli kereta baharu bagi memudahkan urusan kerja.

"Setelah berbincang dengan isteri dan berdasarkan pengalaman bekerja di sini, saya rasa inilah masanya untuk saya serius berlakon di Malaysia," ujar Hisyam lagi.


Previous Post Next Post