Isteri Awie pohon ketepi hak jagaan anak sementara


Vokalis Kumpulan Wings, Awie didakwa di Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Rozana Misbun dua minggu lalu.

ISTERI penyanyi dan pelakon Awie, atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, telah memfailkan permohonan untuk mengetepikan perintah hak jagaan sementara ke atas tiga anak mereka yang diperoleh Awie pada 21 Julai lepas.

Peguam Majdah Muda, yang mewakili Rozana Misbun, 36, memaklumkan Mahkamah Tinggi Syariah hari ini bahawa anak guamnya memfailkan permohonan itu pada 8 Ogos lepas.






Beliau berkata, Rozana turut memohon untuk membatalkan perintah injunksi yang difailkan secara ex-parte (sebelah pihak) oleh Awie, 46, pada 16 Julai bagi menghalang Rozana daripada mendekati atau menghubunginya dan anak mereka dalam apa jua cara sekalipun, termasuk melalui media cetak dan elektronik.

Majdah berkata demikian ketika kes itu disebut di depan Hakim Syarie Mohd Azman Mat Zain.

Pada 21 Julai lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Nassir Abdul Aziz membenarkan hak penjagaan sementara ketiga-tiga anak pasangan itu diberi kepada Awie.

Peguam Mohd Hafizal Parcho, yang mewakili Awie, bagaimanapun membantah permohonan itu.

Mohd Hafizal berkata, beliau akan mengemukakan bantahan awal atas alasan Rozana melanggar prosedur mahkamah kerana memfailkan permohonan itu melebihi tempoh masa yang ditetapkan iaitu 14 hari.

Mahkamah menetapkan 17 Sept ini untuk membolehkan Mohd Hafizal berbuat demikian dan mahkamah akan memutuskan perkara itu pada hari berikutnya.

Sebelum ini, Rozana mendapat perintah perlindungan sementara (IPO) selepas dicederakan suaminya pada 2 Jun lepas.




Rozana hadir di mahkamah hari ini bersama rakannya. Bagaimanapun, Awie tidak hadir atas alasan mempunyai urusan luar.

Penyanyi rock terkenal dari kumpulan Wings itu bernikah dengan Rozana di Songkhla, Thailand pada 20 Jun 2005 dan dikurniakan tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.

Pada 4 Julai lepas, Awie, pelakon utama filem 'Zombie Kampung Pisang' dan 'Hantu Kak Limah' dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Rozana di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Previous Post Next Post