KRU Tunggu Johan Raja Lawak Tiga Tahun


Johan memegang watak sebagai Ribbit

Presiden Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim terpaksa menunggu selama tiga tahun untuk mendapatkan persetujuan bekerjasama dengan pelawak Johan (Raja Lawak) dalam filem terbitan syarikatnya.

Bagaimanapun, Norman berkata, dia gembira apabila pelawak tersebut menerima tawaran untuk menjayakan filem animasi Ribbit yang merupakan filem paling sesuai untuknya berikutan ia hanya mengambil masa yang singkat dalam proses memasukkan suara.






"Susah untuk mendapatkan Johan kerana dia terlalu sibuk dan terikat dengan komitmen Era FM dan Astro. Sudah tiga tahun kami tunggu dia untuk bekerjasama dengan mana-mana filem terbitan KRU Studios.

"Saya gembira akhirnya dia setuju dengan tawaran filem Ribbit kerana filem ini hanya memerlukan dia meluangkan masa dua atau tiga hari sahaja untuk masukkan suara," ujarnya ketika ditemui sebelum tayangan filem Ribbit di TGV One Utama, di sini, pada malam Selasa lalu.


Antara pelakon-pelakon yang menjayakan Ribbit.


Tambah Norman, dia tidak menafikan populariti dan pengaruh pelawak tersebut menjadi fakor utama dia dipilih untuk memegang karekter utama iaitu Ribbit.

Katanya, Johan juga mempunyai bakat sebagai pelawak dan pelakon yang boleh menjadikan sesebuah karekter tersebut lebih baik.

"Johan punya pengaruh dan bakat yang boleh adlib sesuatu karekter itu menjadi lebih baik. Cara dia ketawa sahaja orang sudah tahu itu adalah dia, jadi kami tahu dia boleh buat magis untuk karekter ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Johan berkata, dia menolak beberapa filem yang ditawarkan oleh KRU Studios sebelum ini kerana tidak dapat memberi komitmen dengan penggambaran yang akan dijalankan.

Katanya, ketika tawaran dibuat dia baharu sahaja memulakan kerjaya sebagai penyampai radio di Era FM dan memerlukannya memberi komitmen terhadap radio tersebut.

"Memang sudah tiga tahun dia cuba mendapatkan saya, ketika itu saya baru sahaja terikat dengan radio. Jadi, saya tidak mahu terikat dengan komitmen yang berat seperti filem

"Penggambaran filem akan mengambil masa yang panjang dan ia tidak menjamin waktu rehat saya. Bagaimanapun, bila kebetulan Norman mahu buat filem Ribbit, saya rasa ini peluang yang sesuai untuk saya bekerjasama dengannya," ujarnya.

Tambah Johan, filem Ribbit terbitan Kartun Studios ini juga merupakan filem animasi pertamanya sepanjang bergelar pelakon dan pelawak.

"Saya bangga dan berbesar hati apabila terlibat dalam filem ini serta seronok dapat bekerjasama dengan produksi ini,

"Untuk filem ini, saya perlu berada di studio selama dua hari bagi menjalani proses rakaman suara," ujarnya.

Sementara itu, katanya, cabaran utama adalah bercakap mengikut situasi dan pergerakan kartun tersebut.

Kata Johan, pengarah filem ini iaitu Mamat Khalid memberi kebebasan kepadanya untuk memberi idea dan menambah skrip tersebut mengikut kesesuaian.

"Cabaran yang saya hadapi adalah cabaran yang menyeronokkan kerana saya perlu bergantung dan ikut perbuatan serta situasi kartun itu, namun ia tak menjadi masalah buat saya," ujarnya.




Filem Ribbit mengisahkan seekor katak yang mengalami krisis identiti mengembara di hutan dalam pencarian hidupnya yanh sebenar.

Filem ini bakal menemui penonton pada 4 September depan dan bakal ditayangkan dalam format Stereoscopic 3D di pawagam-pawagam terpilih.

Ia juga mendapat tempahan melebihi 80 buah negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Rusia, Jerman, Jepun, China dan Korea Selatan yang akan dialih bahasa ke bahasa tempatan negara berkenaan.

Bagi versi Bahasa Malaysia ia diarahkan oleh Mamat Khalid dan turut menampilkan suara-suara artis tempatan lain seperti Elfira Loy, Awie, Datuk Aznil Nawawi, Izzue Islam, AR Badul dan Sharifah Sakinah.
Previous Post Next Post