Leez, Kahwin lagi enam bulan


Leez

USAI bergelar tunangan kepada vokalis Drama Band, Aepul pada 11 Disember tahun lalu, selebriti kelahiran program realiti televisyen Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Leez, banyak mendiamkan diri.

Lama menyepi, Leez terbuka hati untuk berkongsi perkhabaran terkini. Berbaki tidak sampai setahun, Leez bakal naik pelamin dalam tempoh enam bulan dari sekarang.

"Perancangan untuk berkahwin itu sudah ada. Lagipun tidak elok melengahkan majlis perkahwinan kerana itu yang wajib dilakukan.


LEEZ bakal menamatkan zaman solonya dalam tempoh enam bulan dari sekarang.

"Jika tiada aral melintang kami akan menamatkan zaman bujang kira-kira enam bulan dari sekarang. Saya berharap semua pihak mendoakan kebahagiaan kami," ujar Leez ketika ditemui Sensasi Bintang baru-baru ini.

Tentang persiapan hari bersejarahnya, menurut Leez, dia masih sibuk meladeni jadual hariannya sebagai anak seni. Ada ketika, soal persiapan menjadi agenda kedua.






"Kami masih belum membuat sebarang persiapan perkahwinan kerana sibuk menguruskan kerjaya masing-masing.

"Saya yakin apabila tiba satu saatnya, pasti semuanya akan berjalan dengan lancar. Malah, kami tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan secara besar-besaran. Mungkin kami akan bernikah dulu dan mengadakan majlis resepsi kemudian," kata Leez yang popular menerusi drama Astana Idaman 3.

Diajak bercerita tentang kemunculannya membawa karakter Shila menerusi drama Dosa Seorang Suami yang ditayangkan menerusi slot Azalea di TV3, Leez tunduk malu. Dia tidak menyangka watak itu memberi impak sehinggakan mendapat pujian peminat di laman sosial.




"Saya tidak nafikan apabila seseorang pelakon itu membawa watak baik dan terdapat babak air mata pasti karakter itu akan meninggalkan kesan dan menjadi perhatian penonton.

"Bahkan jika karakter yang diberikan itu menguji kemampuan seseorang, tidak mustahil pelakon yang tidak ada nama pun akan kelihatan bagus kerana penangan karakter tersebut," kata Leez lagi.
Previous Post Next Post