Mackdowell anak didik Ajai



Mackdowell anak didik Ajai

USIANYA masih lagi muda, Mackdowell Lester Maris, 19, atau lebih dikenali dengan nama Mack sanggup merantau ke Semenanjung Malaysia demi minatnya dalam bidang muzik. Anak muda kelahiran Penampang, Sabah ini terpaksa berkorban semata-mata mengejar cita-citanya bergelar penyanyi.

Menurut Mack, minat itu bermula sejak kecil lagi ketika menyertai pertandingan koir di daerahnya.

"Sejak berumur empat tahun lagi saya sudah bergiat dengan bidang ini. Malah persembahan pentas pertama sempena Hari Kanak-kanak Sedunia di Hospital Elizabeth, Sabah ketika berusia enam tahun.

"Walaupun tidak pernah mengikuti kelas vokal, saya belajar menyanyi bersama rakan sewaktu menyertai kumpulan koir mewakili sekolah," ujarnya.

Demi minat, dia turut mencuba nasib dalam pelbagai pertandingan nyanyian termasuk Pertandingan Spotlight 2014 (Volume 2) dan bersyukur biarpun memperolehi gelaran naib juara.

Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, Mack, dia diberi peluang bernaung di bawah syarikat rakaman Wake The Baby, milik penyanyi dan komposer terkenal, Ajai. Tampil dengan single pertamanya, Biar Saja, Mack berkata, dia sangat teruja dapat bekerjasama dengan Ajai yang turut disifatkan sebagai 'sifunya'.

"Selepas mengetahui single saya dicipta oleh Ajai, saya tidak sabar dan teruja untuk menyanyikan lagu ini.

"Malah dia juga banyak mengajar saya cara dan teknik nyanyian yang betul," katanya yang turut meminati Faizal Tahir dan Hafiz Suip.

Menurut Mack, dia juga belajar cara nyanyian sendiri dengan menonton video-video secara online terutamanya Micheal Bubble.

“Bubble merupakan salah seorang vokalis Hollywood yang hebat dan mempunyai cara nyanyian tersendiri. Caranya menjiwai lagu dengan gayanya amat istimewa bagi saya. Jika boleh saya ingin menjadi sepertinya,” ujarnya.

Selain berbakat dalam nyanyian, Mack juga mahir bermain instrument tradisional seperti gong.

“Saya mempelajari alat muzik tradisional ketika aktif dalam koir di sekolah lagi. Lagipun tidak rugi jika kita mempelajari sesuatu yang baru selain nyanyian,” katanya yang meminati Faizal Tahir dan Hafiz Suip.





Tak lupa pelajaran

Tidak hanya meneruskan cita-citanya sebagai penyanyi, Mack turut menyambung pengajian di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Kota Kinabalu, pada Julai lalu.

"Walaupun minat utama adalah nyanyian tetapi saya tetap utamakan pelajaran untuk masa depan yang cerah. Jika mahu bergelar artis, kita harus memiliki ilmu agar orang lain lebih yakin dengan keupayaan diri," katanya yang mengambil jurusan perubatan.

Berjauhan dengan keluarga mencabar mental Mack kerana terpaksa memendam perasaan rindu terhadap keluarga yang berada di seberang lautan.

Katanya, dia belajar untuk berdikari di sini dan bernasib baik dikelilingi rakan-rakan yang memahami situasinya.

"Ketika berjauhan, saya sering teringatkan keluarga dan sahabat di Sabah. Saya juga rindukan masakan ibu, luangkan masa bersama teman dan berlatih menyanyi di rumah.

"Semuanya terpaksa dipendam dalam hati sementara tinggal di sini. Saya bernasib baik kerana mereka sangat memahami kehendak saya ini," katanya yang tidak lupa untuk menghubungi keluarganya setiap hari.
Previous Post Next Post