Nabil bantu mangsa Zionis


NABIL pernah ambil inisiatif sendiri jejaki warga Palestin untuk hulur bantuan.

TIDAK sanggup sekadar berpeluk tubuh dan membiarkan tubuh warga Palestin diratah hujan bom tentera Yahudi di tanah Gaza, seramai 15 orang selebriti popular tanah air berganding bahu merealisasikan misi amal yang dinamakan Ekspresi Gaza.

Atas dasar kemanusiaan sejagat, pelakon, pelawak serta pengacara popular Nabil Ahmad merasakan, sesiapa pun tidak boleh berlengah jika mahu tampil menunjukkan sokongan.






Nabil menjadi salah seorang artis yang mengambil bahagian dalam misi anjuran Anugerah Team Services dan Pertubuhan Aqsa Syarif di Youth Bazaar Fiesta yang berlangsung selama dua hari mulai 13 September ini di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.

Tanpa menguar-uarkan kepada umum, rupa-rupanya Nabil sendiri sudah membuat sumbangan peribadi kepada penduduk Gaza sejak Ramadan lalu.

"Saya sudah mula menghulur sumbangan kepada warga Palestin sejak Ramadan lalu. Ketika melayari YouTube, saya terjumpa video seorang anak Malaysia yang berada di sana. Saya berusaha menjejakinya.


TEMUI Fouziah Gous di Stadium Malawati, Shah Alam bersama-sama ramai artis lain yang memeriahkan Youth Bazaar Fiesta.


"Alhamdullillah, saya dapat menghubungi dia. Kini, sumbangan saya dihulurkan terus ke Gaza. Saya percaya warga Palestin memerlukan sumbangan segera memandangkan bekalan makanan dan perubatan di sana sangat terbatas bahkan disekat.

"Hari ini, saya terpanggil untuk menyertai Youth Bazaar Fiesta untuk menghulurkan sumbangan apa yang termampu. Saya akan menjual jenama pakaian saya, Stay Solid yang diperkenalkan sejak Ramadan lalu," jelas Nabil.

Tambah Nabil: "Diam tak diam, saya dapat menjual 2,000 helai baju-T sejak Ramadan lalu. Itu permulaan yang baik buat saya. Peminat boleh mencari baju rekaan saya dan menempahnya melalui laman Instagram saya, selain sama-sama memeriahkan Youth Bazaar Fiesta nanti."

Selain Nabil, Youth Bazaar Fiesta yang bertujuan mengutip dana untuk disumbangkan kepada Gaza itu turut disertai penyanyi, artis komedi dan pengacara popular seperti Afdlin Shauki, Rita Rudaini, Fouziah Gous, Yana Samsudin, Mawi dan Ekin. Turut mengambil bahagian ialah Angah Raja Lawak, Mila, Yatt Hamzah, Fida Ibrahim, Bienda, CT Chubby, Lisdawati dan ramai lagi.


MAWI akan bersama isterinya Ekin menyertai Youth Bazar Fiesta pada 13 dan 14 September nanti.

Karnival amal yang bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam itu menyediakan 280 tapak jualan dan lelongan untuk artis dan peniaga yang ingin menyertainya.

Hasil jualan dan lelongan akan disalurkan kepada Aqsa Syarif yang sebelum ini diberi mandat mengumpul sumbangan kewangan untuk penduduk Gaza.

Penganjurnya, Lina Abdul Rashid berkata, selain menyampaikan mesej keamanan dan misi kemanusiaan terhadap mangsa keganasan Yahudi, karnival berkenaan sewajarnya menjadi titik tolak bagi memberi kesedaran kepada orang ramai.

"Pembabitan golongan artis dalam melakukan kerja amal untuk warga Palestin seharusnya membuka mata banyak pihak supaya turut serta memberi sumbangan kemanusiaan kepada mangsa perang di Genting Gaza.

"Antara acara yang pasti menarik perhatian ramai tentunya lelongan barangan selebriti. Kami turut mengadakan acara pentas khas untuk membantu tabung Gaza bersama Aqsa Syarif.




"Pengunjung boleh menderma terus kepada tabung yang disediakan Aqsa Syarif atau turut serta bersama program jualan dan lelong oleh artis dan peniaga untuk mengutip derma ini.

"Kami menjemput peniaga online, butik, aksesori, kasut, kek dan apa saja jenis perniagaan untuk menyertai jualan amal ini," katanya.

Youth Bazaar Fiesta menyediakan 280 gerai dengan harga promosi RM580 untuk dua hari. Untuk keterangan boleh menghubungi talian 014-238 4359 atau 016-982 2801.
Previous Post Next Post