Raihan belum berkubur



KEMUNCULAN Raihan dengan gaya nasyid kontemporari telah membuka lembaran baharu kepada dunia luar untuk mengenali genre muzik nasyid.

NAMA mereka pernah meniti di bibir peminat muzik tanah air suatu ketika dahulu. Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini kelibat Raihan seperti dipandang sepi daripada keriuhan hilaian populariti.

Situasi itu diakui tetapi Raihan tetap menyinar dan berjaya membuktikan irama nasyid kontemporari terus mendapat perhatian daripada peminat dari seluruh dunia.

Menyifatkan itulah putaran hidup, kumpulan yang meminjam maksud wangian jannah itu yakin mereka akan terus berterus bertahan. Kenangan memperoleh kejayaan berganda dan mengekalkan rekod sebagai artis yang meraih penjualan album tertinggi melalui Pujian-Pujian tahun 1996 akan terus menjadi pembakar semangat untuk mereka kembali mewarnai industri seni tanah air suatu hari nanti.






"Hidup ini ibarat roda. Kami pernah melalui satu zaman di mana setiap hari kami mendapat undangan menyanyi dan ditawarkan untuk mengadakan konsert. Sehinggalah pada satu tahap Raihan tidak lagi menjadi tarikan peminat seni tanah air.

"Kami melalui fasa yang suram. Walaupun tidak lagi seronok seperti dahulu tetapi kami bersyukur kerana nama Raihan terus utuh di persada antarabangsa.

"Alhamdulillah, nama Raihan terus menyinar bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan apabila permintaan yang kami terima daripada peminat di luar negara begitu berkobar-kobar untuk melihat kami tampil membuat persembahan di negara mereka.


RAIHAN dianggotai oleh (dari kiri) Zulfadli, Che Amran, Abu Bakar dan Amran.

"Mungkin disebabkan kesibukan kami memenuhi undangan di luar negara menjadi penghalang untuk melakukan persembahan dan mengeluarkan single baharu. Sehinggakan ramai yang tidak tahu tentang kewujudan Raihan di tanah air," ujar Che Amran Idris yang merupakan teraju utama kumpulan nasyid berkenaan.

Tambah Che Amran lagi, kemunculan Raihan dengan gaya nasyid kontemporari telah membuka lembaran baharu kepada dunia luar untuk mengenali genre muzik nasyid.

"Sebelum ini orang melihat muzik dan gaya hidup Islamik sukar untuk bersatu tetapi selepas Raihan muncul dengan gaya tersendiri ia merebak menjadi fenomena sehingga ke seluruh negara.

"Di negara luar nasyid menjadi sesuatu yang baharu buat mereka. Ia menjadi satu simbol apabila sebut sahaja mengenai nasyid mereka akan terus ingat Raihan.

"Kami baru sahaja pulang daripada bertemu dengan Dr. Bart yang merupakan pensyarah di Universiti Leiden, Belanda.

"Beliau melakukan kajian terhadap kesan kumpulan nasyid Raihan dan pengaruh nasyid di seluruh dunia. Kata Bart, Raihan membuka satu ruang baharu kepada penggiat dan pendakwah untuk menyampaikan dakwah menerusi lagu nasyid kerana kaedah itu sangat berkesan dan diterima ramai," kata Che Amran lagi.




Kolaborasi bersama Nazrey

Raihan masih diwangikan oleh Che Amran Idris, 45, Zulfadli Mustaza, 30, Amran Ibrahim, 43, dan Abu Bakar Md. Yatim, 44 selepas ditinggalkan vokalis utama Nazrey Johani sekitar tujuh tahun dahulu.

Ketika ditebak tentang keinginan untuk kolaborasi semula dengan Nazrey, Che Amran berkata, anggota kumpulan Raihan tiada sebarang masalah dan sentiasa terbuka untuk kembali bekerjasama dengan Nazrey.

"Sejak dahulu lagi sudah ramai yang meminta kami dan Nazrey kembali bersama. Namun, setakat ini kami belum mendapat sebarang tawaran untuk mengadakan persembahan bersama, tetapi untuk masa akan datang perkara itu tidak mustahil. Lagipun ramai peminat mahu melihat kami bersama.

"Kami juga merindui untuk bekerjasama dengan Nazrey tetapi setakat hari ini masing-masing mempunyai visi dan misi dalam menyampaikan dakwah masing-masing," katanya.

Dalam perkembangan lain, Raihan bakal membuat konsert solo di Dubai pada bulan November ini. Menjelang hari kemerdekaan yang ke-57, Raihan akan membuat persembahan di Alor Setar, Kedah.
Previous Post Next Post