Tuntutan nafkah anak Rita Rudaini 10 Dis


Zareema (kanan) hadir buat pertama kalinya ke mahkamah syariah untuk menemani suaminya, Aidil Zafuan.

MAHKAMAH Rendah Syariah Subang menetapkan 10 Disember depan untuk keputusan bagi permohonan pelakon, Rita Rudaini Mokhtar, 38, terhadap tuntutan nafkah dua orang anaknya bersama Kapten Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abdul Razak, 27.

Keputusan itu dibuat Hakim Syarie, Abd Halim Abu Samah selepas selesai sesi soal semula bagi prosiding tersebut.

Pada sesi soal balas oleh peguamnya, Roslan Sujak Rafiee, Aidil Zafuan memberitahu mahkamah bahawa perbelanjaan bulanan RM5,500 yang dibayar kepada isterinya pada ketika itu adalah termasuk bayaran sewa rumah kelamin.






Roslan : Kenapa tidak sediakan duit sewa rumah selepas kamu berpindah ke rumah baru?

Aidil Zafuan : Majikan saya ketika itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menyediakan rumah secara percuma.

Roslan : Kamu ada menyatakan bahawa duit tersebut dimasukkan ke dalam akaun plaintif, ada atau tidak plaintif menyatakan duit tersebut tidak mencukupi?

Aidil Zafuan : Tiada

Roslan : Dalam keterangan sebelum ini, kamu ada memaklumkan bahawa tiada alamat lengkap diberikan kepada plaintif( Rita Rudaini), kenapa?

Aidil Zafuan : Kerana dia (Rita Rudaini) tidak mahu berpindah.




Terdahulu, sebelum memberi keterangan, Aidil Zafuan selaku defendan membayar RM300 kepada bekas isterinya sebagai kos ketidakhadirannya pada sesi perbicaraan terdahulu.

Wang tersebut diterima Rita Rudaini menerusi peguamnya, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain.

Aidil Zafuan pada 25 Jun lalu gagal hadir ke mahkamah kerana terlibat dalam perlawanan bola sepak di Kuching, Sarawak.

Rita Rudaini menuntut RM5,392 sebulan untuk nafkah dua anak mereka Airit Rayyan Rizqin, 5, dan Airit Qaqa Arjuna, 3, merangkumi perbelanjaan makan minum, pengasuh dan lampin pakai buang.

Permohonan tersebut pada 8 November 2012 di sini.

Buat pertama kalinya, Aidil Zafuan hadir bersama isterinya, Zareema Zainal, 28, manakala Rita Rudaini ditemani oleh kakaknya.
Previous Post Next Post