Untung nasib Jihan Musa



PELAKON berumur 31 tahun itu pernah menyasarkan untuk mengakhiri zaman bujangnya pada usia 25 tahun, tetapi sehingga kini dia masih belum menemui cinta.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0803&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_04.htm#ixzz39KZalGQS
Hakcipta terpelihara

SEWAKTU awal pembabitannya dalam industri seni, pelakon dan pelawak Jihan Muse pernah terpalit bibit dilema. Ketika itu dia yang menyertai Raja Lawak musim ketiga (RL3) cuba mencongak untung nasib.

Dia tidak tahu sama ada jalan seni yang cuba diterokai itu mampu membawanya pergi jauh atau perlu menempuh jalan berliku.

Sungguhpun begitu, bekas kakitangan awam selama empat tahun itu membulatkan tekadnya. Dia perlu membuat pilihan iaitu sama ada mahu meneruskan kerjaya sebagai juruteknik ataupun mencuba nasib bergelar pelawak.

Itu kisah tiga tahun lalu. Keputusannya untuk berhenti kerja daripada Majlis Bandaraya Shah Alam itu boleh dikira berbaloi. Mana tidaknya, rezeki bekas finalis program realiti RL3 itu semakin terbuka.

Bukan itu sahaja, pelakon Adik Manja The Return itu juga dianggap bertuah. Dia tidak perlu menunggu lama seperti rakan seperjuangannya yang lain untuk dikenali. Diangkat sebagai Pelakon Wanita Komedi Popular pada Anugerah Bintang Popular baru-baru ini, dia mampu menghela nafas lega.

Bukan mahu mendabik dada, tetapi sekurang-kurangnya pengiktirafan itu menjadi petanda bahawa kehadirannya dalam lapangan seni ini sudah melakar makna tersendiri.

"Jadual kerja saya juga agak padat dari pagi hingga ke lewat malam. Saya hadir ke sesi fotografi ini pun sebab kebetulan saya ada rehat sehari daripada penggambaran sebelum kembali menyambung kerja.

"Walaupun agak sibuk, tapi saya suka bekerja. Inilah jalan yang saya pilih. Kalau orang tanya saya letih ke tidak, saya memang belum letih untuk terus berkarya," kongsi Jihan yang sanggup mencuri masa senggang untuk memenuhi sesi fotografi raya bersama Sensasi Bintang baru-baru ini.

Pelawak wanita

Jihan memberitahu, bukan mudah untuk bergelar pelawak lebih-lebih lagi bagi seorang wanita sepertinya.

"Di negara ini tak ramai pelawak wanita. Kebanyakan pelawak terdiri daripada kaum lelaki.

"Malah, sewaktu bekerja pun saya dikelilingi pelawak lelaki. Tidak ramai orang perempuan yang nak masuk bidang komedi," ujar pelakon Cinta Tampal itu.

Memasang impian untuk mengangkat komedi sebagai satu genre yang disegani dalam industri hiburan negara, Jihan tahu dia mesti bekerja keras.

Pegangan Jihan, lawak harus berisi. Jika tidak, lawak itu mungkin lawak bodoh. Itulah yang cuba dibawa Jihan demi mengangkat martabat pelawak ke satu aras yang boleh dibanggakan.

"Ada perkara yang kita wajib capai dalam setiap kerjaya yang kita ceburi. Begitu juga dengan saya, saya mahu melihat pelawak menjadi profesion yang yang penting dalam cabang seni negara," katanya.

Atas sebab itu, Jihan tidak henti-henti memerah otak untuk mencetuskan idea jenaka yang lebih signifikan. Katanya, kandungan lawak mestilah segar.

"Nak buat orang ketawa bukan senang. Walaupun orang tengok lawak sebagai satu perkara yang bukan serius, tapi sebenarnya lawak kena ada mesej.

"Sekarang orang buat lawak ikut isu semasa. Kalau tidak, lawak itu akan nampak basi," katanya.

Tambah Jihan, keadaan itu sekali gus mendorong dirinya menjadi pemerhati yang peka.

"Saya sentiasa buat pemantauan dengan melihat ragam orang di sekeliling selain memantau perkembangan di internet untuk tahu perkara yang sedang menjadi bualan ramai.

"Biasanya, lawak yang dibuat berdasarkan perkara yang dekat dengan diri kita itulah yang mudah diterima orang," kongsi pelakon drama Suka Benci Kamu itu.

Rapat dengan Ungku Hariz

Menginjak usia 31 tahun, Jihan berkata, dia masih belum ada teman istimewa.

Biarpun sebelum ini pernah meletakkan sasaran untuk menamatkan zaman bujang pada usia 25 tahun, perancangan itu kini sudah jauh tersasar.

"Kawan lelaki memang ramai, tetapi buat masa ini saya belum ada lagi teman yang betul-betul istimewa. Keluarga juga faham dengan diri saya.

"Mereka tidak pernah mendesak dengan bertanyakan hal berkaitan kahwin kepada saya," katanya yang menyerahkan soal jodoh kepada takdir.

Sungguhpun begitu, Jihan mengakui dia mempunyai hubungan yang cukup rapat dengan pelakon Ungku Hariz.

"Saya kenal dia sejak tahun 2007 lagi. Ketika itu, saya bertemu dengannya sewaktu terbabit dalam teater underground.

"Dia lelaki yang paling rapat dengan saya sekarang. Saya selesa bersamanya dan kami berkongsi minat yang sama. Mungkin itu yang membuatkan saya akrab dengannya," katanya.

Ujar Jihan lagi, dari aspek kerja juga, idea-idea lawak yang dilontarkan sewaktu berjenaka juga ada antaranya dicetuskan oleh Hariz.

"Dia banyak menyokong saya dari dulu lagi iaitu sebelum saya masuk ke dalam arus perdana bidang ini. Dia memberi pelbagai idea untuk saya berkarya," kongsi Jihan.

Menurut Jihan, ahli keluarganya yang lain juga maklum tentang hubungan baiknya dengan peserta program Pilih Kasih 2 berusia 29 tahun itu.

"Dengan siapa pun saya berkawan, saya tidak akan membelakangkan keluarga bagi mengelakkan timbulnya fitnah," kata bintang Karoot Komedia itu.

Raya sambil bercuti

Berbicara soal sambutan Aidilfitri, tahun ini Jihan tiada masa untuk berehat panjang.

"Walaupun cuti rehat tak lama, tahun ini saya beraya di Langkawi, Kedah. Kami sekeluarga berkonvoi menaiki kereta ke sana.

"Boleh dikatakan, inilah kali pertama kami beraya sambil bercuti," tuturnya yang muncul dengan telefilem Jihan Nak Buat Rumah Terbuka sempena Aidifitri ini.

Lebaran jugalah masa yang ada untuk dia menghabiskan masa bersama ahli keluarga.

"Kalau hari biasa, saya sibuk bekerja. Jadi hari raya sahajalah waktu yang ada untuk mengeratkan lagi hubungan keluarga dan bertemu sanak saudara yang jauh," ceritanya yang bercadang untuk membuat majlis rumah terbuka sebagai tanda kesyukuran dan meraikan kawan-kawan serta saudara-mara.


Previous Post Next Post