Yuna, B.o.B hangatkan MTV Worldstage 2014



BUKAN sekadar merealisasikan persembahan yang hebat, B.o.B juga ternyata cukup prihatin dengan perkembangan semasa berkaitan Malaysia.

CUACA panas yang diiringi hujan renyai pada petang Sabtu lalu tidak menjadi penghalang buat orang ramai untuk berkumpul dan memenuhi pekarangan hadapan di Surf Beach, Taman Tema Air Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor.

Kelihatan sebuah pentas yang lengkap dengan sistem bunyi dan lampu tersergam di tengah-tengah pantai buatan tersebut yang telah dikeringkan sehari lebih awal bagi memberi laluan untuk acara diadakan.






Lebih 10,000 penonton yang hadir berkongsi rasa teruja untuk menyaksikan persembahan secara langsung oleh empat artis antarabangsa iaitu Thaitanium, Boys Republic, Yuna dan B.o.B sempena penganjuran MTV Worldstage pada tahun ini.

Kira-kira empat jam kemudian, pentas MTV Worldstage 2014 yang dikendalikan oleh VJ Alan dan Hanli itu akhirnya dibuka dengan persembahan kumpulan Thaitanium menerusi sebuah medley yang mengandungi 11 lagu popular mereka.

Tiga anak jati negara Thailand yang mula menempa nama di Amerika Syarikat sejak tahun 2000 ini bijak memacu adrenalin penonton dengan mengekalkan momentum persembahan menerusi lagu Do What I Say, Bong Tong, Put Your Hands Up dan Sukebe.

Selain itu kumpulan yang terdiri daripada Khan, Way dan Day itu turut menyanyikan single terbaharu mereka berjudul Wake Up (Bangkok City) yang menampilkan rapper Snoop Dog. Pada malam itu, mereka juga turut disertai oleh Big Calo dan Tony B.

Pentas MTV Worldstage kemudiannya diambil alih oleh kumpulan K-Pop Boys Republic. Walaupun baru mencipta nama pada tahun lalu, kumpulan yang dianggotai oleh Onejunn, Sunwoo, Sungjun, Minsu dan Suwoong ini berjaya menyuntik sinergi di dalam persembahan mereka.

Memulakan persembahan dengan lagu You Are Special, persembahan lima anak muda ini boleh dikatakan tidak mengecewakan. Penantian peminat yang setia menunggu sejak petang itu terbalas apabila mereka menari dengan lincah menerusi lagu Video Game.

Ternyata tidak mengecewakan, persembahan Boys Republic pada malam itu diakhiri dengan lagu popular mereka, Party Rock.



Kembalinya Yuna


YUNA berjaya menghilangkan kerinduan peminat Malaysia terhadapnya yang kini melebarkan sayapnya di Amerika Syarikat.

Istimewanya persembahan pada malam itu, penyanyi yang berasal daripada Subang Jaya, Selangor, Yuna kembali ke Malaysia untuk menghiburkan peminatnya.

Anggun mengenakan busana berona putih dan emas, gadis tinggi lampai itu melahirkan rasa teruja untuk mengadakan persembahan di tempat tumpah darahnya.

“Apa khabar Malaysia? Saya saya gembira dapat beraksi di atas pentas dan menyanyi untuk anda semua. Semoga anda terhibur,” ucapnya selepas mendendangkan lagu Falling.

Bijak bermain dengan emosi penonton, Yuna yang kini menetap di Amerika Syarikat turut menyampaikan lagu bahasa Melayunya yang pernah popular di Malaysia, Dan Sebenarnya dan Lelaki.

Ketika melantunkan dua buah lagu tersebut, penonton turut ikut menyanyi bersama-sama sambil mengimbas kembali momen-momen awal ketika Yuna baru bergelar penyanyi muzik arus perdana.

Sambil memetik alat muzik ukulele, Yuna kemudiannya menghiburkan penonton dengan lagu Rescue yang dipetik daripada album antarabangsa perdananya, Nocturnal.

Yuna menutup segmennya pada malam itu dengan menyanyikan lagu berentak sederhana rancak berjudul Come Back.




B.o.B rakam selfie

Pentas MTV Worldstage pada malam itu terus dipanaskan dengan kehadiran rapper terkemuka, B.o.B yang diterbangkan khas daripada Amerika Syarikat.

Memulakan persembahan pada malam itu dengan mendendangkan lagu Magic, atmosfera taman tema air tersebut sekali lagi digegarkan dengan alunan rangkaian lagu popular seperti Don’t Let Me Fall, Ready, Headband, John Doe dan So Good.

Penonton yang hadir juga turut serta menyanyi bersama tatkala B.o.B atau nama sebenarnya Bobby Ray Simmons Jr. menyanyikan lagu Both Of Us yang dipopularkan bersama penyanyi country, Taylor Swift.

Pada malam itu juga, B.o.B mengambil kesempatan memberikan kejutan kepada peminatnya dengan merampas telefon bimbit seorang penonton bertuah dan menggunakannya untuk merakamkan selfie. Aksi B.o.B ketika itu disambut dengan teriakan dan sorakan penonton lain.

Walaupun acara tersebut sarat dengan elemen hiburan, B.o.B langsung tidak melupakan tragedi pesawat MH17 yang terhempas di Ukraine bulan lalu.

“Saya tujukan lagu ini khas untuk keluarga dan kenalan mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut,” ujar B.o.B sebelum mendendangkan lagu berhantunya, Airplanes.

Siaran rakaman MTV Worldstage 2014 telah disiarkan pada 20 Ogos lalu pukul 8.30 malam menerusi saluran MTV (saluran Astro 713).
Previous Post Next Post