Adam melengkapkan hidup Atilia



BAHAGIA... Adam disifatkan Atilia sebagai lelaki yang telah dapat mendisiplinkan dirinya dalam banyak hal.

PENYANYI Atilia kelihatan sungguh manis tatkala beraksi di hadapan kamera untuk sesi fotografi bersama Kosmo! yang berlangsung di pusat yoga miliknya, Yoga One That I Want di Damansara Perdana, Selangor baru-baru ini.

Senyuman dan derai tawa Atilia silih berganti, tanda dirinya kini berada dalam fasa paling bahagia dalam hidupnya selepas hidup bersendirian hampir enam tahun.






Berkongsi cerita tentang dirinya yang kini kembali memegang status isteri kepada Adam Sofian Mazlan, 37, seorang jurutera bunyi pada 31 Ogos lalu dalam sebuah majlis pernikahan di Hotel The Saujana Subang, Selangor, Atilia atau nama sebenarnya Raja Atilia Raja Haron tidak menyangka jodohnya tiba lagi pada usia 40 tahun.

"Semua orang tahu tentang hubungan kami dan perancangan untuk bernikah tetapi asyik tertangguh disebabkan kesibukan kerja kami berdua.

"Tidak sangka, ketika saya berada di Koh Samui, Thailand untuk mengikuti kursus yoga, Adam menghantar mesej mengajak saya kahwin.

"Saya terkejut kerana mengikut perancangan, kami tidak akan bernikah pada tarikh tersebut. Namun, disebabkan Adam akan berada di Amerika Syarikat selama dua bulan atas urusan kerja selepas tarikh pernikahan kami, jadi lebih baik kami percepatkan perkahwinan. Pada tarikh tersebut (31 Ogos) kami bernikah," kata Atilia yang mengenali Adam sejak enam tahun lalu.

Tambah Atilia, meskipun melakukan persiapan perkahwinan dalam tempoh tiga minggu sahaja tetapi majlis tersebut berjalan dengan lancar atas bantuan keluarga dan teman rapatnya.

"Alhamdulillah walaupun saya tidak mempunyai masa yang banyak untuk melakukan persiapan, semuanya berjalan lancar dan penuh dengan kasih sayang.

"Kebetulan pada tarikh 31 Ogos jadual kerja saya kosong, lokasi juga okey dan kebetulan cuti umum, jadi Adam memilih untuk bernikah pada tarikh tersebut," terang Atilia yang masih membuat persembahan sehari sebelum hari pernikahannya.

Lengkap

Tutur Atilia, kehadiran Adam telah melengkapkan kehidupannya meskipun dia harus merombak jadual hariannya untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri.

"Saya amat bersyukur bernikah lebih cepat kerana Adam melengkapkan hidup saya. Walaupun kehidupan saya bertambah sibuk kerana perlu menguruskan rumah tangga dan pada masa yang sama sibuk bekerja, saya seronok.

"Jika dahulu saya hanya fikir diri sendiri tetapi sekarang sibuk macam mana pun saya akan ambil masa pulang ke rumah memasak untuk suami," tutur Atilia dalam senyuman.




Keistimewaan Adam

Apabila ditanya apakah keistimewaan Adam sehingga berjaya mengetuk pintu hatinya, jawab Atilia, suaminya seorang yang sangat disiplin dan memahami dirinya.

Bukan itu sahaja, penyanyi genit itu juga mengakui dirinya sukar untuk mendengar kata orang tetapi Adam berjaya membuatkan dia mendengar katanya.

"Istimewanya Adam, dia sangat bertentangan dengan saya. Jika saya suka cakap banyak, sebaliknya dia lebih pendiam. Paling ketara Adam berjaya membuatkan saya ikut cakap dia.

"Sebenarnya saya seorang yang agak degil apabila bertemu dengan lelaki yang boleh memimpin saya dalam segala hal, dia lelaki yang tepat untuk saya," luah Atilia jujur.

Berpengalaman dengan kegagalan perkahwinan pertama bersama arwah suaminya, Ariff Johan Abdul Aziz di tengah jalan membuatkan Atilia lebih matang dalam perkahwinan kedua ini.

"Saya ada pengalaman perkahwinan terdahulu. Apa yang saya pelajari walaupun isteri ada kerjaya, apabila tiba hal rumah tangga, benarkan suami memimpin keluarga.

"Apa sahaja keputusan, suami yang akan buat dan sebagai isteri saya hanya mengikut sahaja. Pernikahan kali ini amat bererti untuk saya, sekarang keluarga menjadi perkara pertama dalam kehidupan saya dan kerjaya jatuh di tangga kedua," katanya.

Ujarnya, selain menjaga makan minum suami, banyak perkara yang harus dijaga oleh Atilia selepas menjadi isteri termasuk penampilan dan pertuturannya.

"Suami kenal saya sebagai Atilia seorang penyanyi. Dia tahu cara kerja dan kehidupan saya sebelum ini. Jujurnya, pada awal perkenalan memang dia tidak begitu yakin dengan saya kerana saya seorang penyanyi.

"Namun, selepas dia melihat saya bekerja secara profesional dan terus pulang ke rumah selepas habis kerja, akhirnya dia yakin yang saya berbeza. Kepercayaan itu membuatkan saya harus menjaga semua perkara kerana bukan hati dia sahaja yang harus saya jaga tetapi juga keluarganya," beritahunya lagi.

Idam anak segera

Sedar usianya bukan lagi muda, Atilia mengharapkan menerusi perkahwinan ini dia dikurniakan cahaya mata secepat mungkin.

Bahkan ibunya, penyanyi Salamiah juga tidak sabar untuk bergelar seorang nenek.

"Saya tahu kami berdua bukan muda lagi. Kalau boleh saya mahu menimang anak segera. Melihat teman rapat yang mempunyai anak sendiri, saya juga mahukan perkara yang sama, cuma semuanya terpulang kepada rezeki Allah.

"Saya hanya mampu berusaha tetapi memang saya tidak sabar untuk mempunyai anak sendiri. Saya berusaha untuk jalani kehidupan sihat kerana sedar pelbagai risiko menanti andai hamil pada usia 40 tahun," kata Atilia.

Disebabkan itu, Atilia sudah mempunyai perancangan masa hadapan andai keluarganya berkembang kelak.

Dia telah membuka dua pusat yoganya sendiri yang diberi nama Yoga One That I Want yang bertempat di Damansara Perdana dan Shah Alam, Selangor.

Ceritanya, dia menjadikan hobi senaman yoga sebagai sebuah perniagaan sebagai persediaan andai tidak lagi aktif sebagai penyanyi kelak.

"Mungkin pada masa hadapan saya sudah mempunyai anak sendiri, sudah tentu masa saya terhad. Jadi, saya merancang pada masa hadapan sumber pendapatan saya hari ini iaitu nyanyian akan dijadikan sekadar hobi manakala yoga pula sumber pendapatan tetap.

"Hanya dengan cara itu saya dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga. Saya tidak mahu kerana jadual saya terlalu padat menyebabkan keluarga dan anak terabai," tutur Atilia tentang perancangan masa hadapannya.

Akuinya juga, dia berasa terpanggil untuk membuka pusat yoganya sendiri selepas mendapat maklum balas negatif daripada orang ramai tentang senaman yoga.

"Ramai yang berminat untuk melakukan yoga tetapi mereka bimbang andai pusat yoga yang mereka hadiri melibatkan mentera.

"Jadi, saya buka pusat yoga supaya pelanggan boleh bersenam tanpa perlu rasa bimbang. Walaupun senaman yoga kelihatan tidak popular untuk orang Melayu tetapi kebanyakan pelanggan saya merupakan orang Melayu.

"Bahkan saya ada kelas khas untuk Muslimah sahaja supaya mereka rasa bebas bersenam tanpa bimbang tentang aurat," terang Atilia tentang pusat yoga yang dibukanya sejak tahun lalu.

Bakal lancar album ketiga

Selepas melahirkan album Sangkar (2007) dan Indah (2010), Atilia kini dalam proses rakaman album ketiganya. Menariknya, suaminya Adam turut terlibat dalam keseluruhan proses rakaman album itu.

"Sekarang proses rakaman sudah berjalan sebanyak 60 peratus. Album ini masih mengekalkan identiti saya sebagai penyanyi lagu jazz tetapi ada beberapa perubahan dibuat untuk disesuaikan dengan pasaran semasa.

"Suami saya terlibat dalam rakaman album ini dan dia bertindak sebagai jurutera bunyi. Sebelum ini Adam juga pernah terlibat dalam album Indah dan album itu tercalon dalam Anugerah Industri Muzik ke-18 dalam kategori rakaman album terbaik," tuturnya.

Atilia memberitahu, kelewatannya muncul dengan album baharu kerana mahu mencari lagu yang berkualiti.

"Bukan mudah untuk saya tampil dengan sebuah album. Saya harus memilih lagu yang paling tepat dan terbaik untuk album ketiga. Sebab itu, saya mengambil masa yang agak lama. Saya harap peminat boleh bersabar untuk menunggu album ketiga ini," katanya.

Terbaharu, Atilia baru sahaja selesai mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) sempena konsert Akustika 2 bersama beberapa penyanyi terkenal seperti Ning Baizura, Zainal Abidin, Hujan dan Bunkface.

"Mungkin saya jarang muncul di televisyen mahupun media tetapi kerjaya seni saya berjalan seperti biasa. Saya lebih selesa keluar bertemu media andai mempunyai produk untuk dibicarakan," luah Atilia.
Previous Post Next Post