Afdlin Shauki Bakal Tunai Haji


Afdlin Shauki akan meneruskan kerjayanya di bidang seni tempatan selepas kembali menunaikan ibadat haji.

Pelakon dan pengarah filem Afdlin Shauki akan bertolak ke tanah suci Mekah pada Isnin (esok) bagi menunaikan ibadah Haji.

Afdlin atau nama sebenarnya Afdlin Shauki Aksan, 43, berkata, dia merancang untuk menunaikan rukun Islam kelima itu sejak Mei lalu dan akan ke tanah suci bersama ibunya, Fadilah Jailani, 67.






"Dah lama dah rancang untuk tunaikan Haji tetapi kena ikut giliran. Saya membuat rayuan kepada pihak Tabung Haji memandangkan ibu saya yang mempunyai penyakit strok.

"Alhamdulillah saya juga dibenarkan untuk pergi bagi menjaga ibu ketika di Mekah. Apa yang saya lihat ini adalah peluang kami berdua untuk beribadat di sana" katanya.

Afdlin ditemui pada majlis Mesyuarat Agung Tahunan Seniman Ke-14 di Dataran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) pada Sabtu.

Dia juga berharap agar pemergiannya mengerjakan ibadah Haji dipermudahkan selain meminta orang ramai untuk mendoakannya.

"Saya harap dapat Haji yang mabrur dan berdoa segala dosa-dosa saya, keluarga, rakan-rakan dan masyarakat negara ini diampunkan.

"Semoga saya dapat masuk syurga. Saya percaya, ini adalah permintaan kita semua sebagai umat Islam," ujarnya.

Sementara itu, Afdlin berkata, dia masih lagi akan meneruskan kerjayanya di bidang seni tempatan, namun mengikut kesesuaian diri.


Previous Post Next Post