Akur Dengan Undian, Muna #AF2014 Tidak Kecil Hati



Persembahan hebat yang diberikan oleh Muna di konsert keempat #AF2014 pada Ahad lalu ternyata tidak memberikan tuah apabila namanya telah diumumkan sebagai peserta ketiga yang tersingkir.

Namun penyingkiran Muna itu telah mengundang rasa tidak puas hati di kalangan peminat dan juga penonton setia Akademi Fantasia yang rata-ratanya berpendapat pelajar berusia 20 tahun itu tidak patut disingkirkan.

Astro Gempak telah meminta Muna untuk mengulas mengenai penyingkirannya pada konsert keempat tersebut.

Menurut Muna atau nama sebenarnya Muna Shahirah Munadi, dia tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak mengenai penyingkiran tersebut kerana semuanya bergantung kepada undian penonton.






“Saya rasa kawan-kawan saya semua layak berada di #AF2014, jadi tidak sedikit pun saya terasa hati dengan penyingkiran ini.

“Nak kata salahkan lagu pun tak boleh juga kerana saya seronok menyampaikan lagu itu jadi saya rasa tidak perlu nak salahkan sesiapa, kena akur dengan undian.

“Kita sedia maklum bahawa peratusan undian adalah 100% mengikut undian penonton, jadi kalau ada yang pertikaikan tentang penyingiran saya ini, saya harap mereka faham,” jelasnya ketika ditemui semasa majlis sidang media pelajar #AF2014 yang tersingkir di MBSA pada Ahad.

Bagaimanapun, Muna menyifatkan penyingkirannya itu adalah sebagai penyingkiran bermaruah kerana segala ilmu yang diberikan oleh tenaga pengajar telah digunaka olehnya dengan baik.

“Kecewa tu semua orang mesti rasa, tipulah kalau saya kata saya tak kecewa sebab bagi saya ilmu-ilmu yang saya dapat dalam Akademi susah nak cari di luar.

“Saya puas hati dengan persembahan saya kerana apa yang cikgu-cikgu nak saya sudah pun beri, saya juga dah buat yang terbaik untuk mak dan ayah saya,” katanya

Pelajar yang berasal dari Pahang ini juga mengakui sebaik sahaja melihat tangga kedudukan pelajar-pelajar #AF2014 yang ditayangkan di skrin semasa konsert berlangsung sedikit sebanyak membuatkan dirinya bersedia.

“Sebenarnya dari segi undian semasa ia ditayangkan saya dah nampak undian saya semakin menurun, waktu itu saya dah redha.

“Saya kata kepada diri saya, andai kata saya tersingkir pun saya tetap puas hati kerana saya dah ‘sampaikan’ ajaran cikgu dengan baik sekali.” ujarnya tersenyum.




Selain itu, Muna juga tidak akan menolak sekiranya ada tawaran nyanyian yang diberikan kepadanya dan berterima kasih kepada peminat yang mengundi serta menyokongnya sepanjang perjalanan di dalam #AF2014.

Dengan tema ‘Tribute Komposer’, Muna telah menyampaikan lagu berjudul ‘Kekal’ ciptaan komposer terkenal Saari Amri dan nyanyian asal oleh Ziana Zain.

Penyingkiran Muna telah diumumkan oleh hos #AF2014 iaitu Zizan Razak dan Faizal Ismail sebagai pelajar kedua tersingkir dengan peratusan undian sebanyak 5%.

Facebook Akademi Fantasia: https://www.facebook.com/akademifantasiamy
Previous Post Next Post