David Teo, Universiti perfileman?



SABAN hari, ada saja nama baru muncul di persada seni tanah air, sama ada dalam dunia muzik mahupun lakonan.

Jika dilihat daripada sudut positif, kehadiran bakat baru ini tentu saja membantu merancakkan lagi industri seni negara.

Bahkan, golongan pelapis ini dilihat gigih mencari tapak dalam dunia hiburan tempatan apatah lagi dengan bantuan dan sokongan daripada media massa termasuk media baru hari ini.






Bukan hanya daripada media massa, kepercayaan daripada syarikat produksi turut memainkan peranan yang cukup penting dan itulah yang dibuktikan oleh Metrowealth International Group (MIG).

Sejak menerbitkan filem pertamanya berjudul Syukur 21, lebih sedekad lalu, MIG telah melahirkan ramai bakat baru yang kini merupakan nama-nama besar dalam bidang lakonan tanah air.

Maya Karin, Waheeda, Farid Kamil dan Lisa Surihani adalah antara pelakon popular yang banyak mencipta nama menerusi filem-filem terbitan MIG. Mereka digilap menerusi MIG Talent iaitu agensi di bawah syarikat produksi itu.

Melihat daripada perkembangan drastik MIG, pemiliknya, Mejar (K) David Teo turut menganggap MIG sebagai sebuah ‘universiti perfileman’ yang melahirkan bakat lakonan dan pengarah baru menerusi Skim Pengarah Muda tajaan syarikatnya.

Ikuti temu bual Zass dengan David yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MIG, di majlis tayangan media filem terbarunya, Nasi Tangas (Nasi Kangkang), baru-baru ini.




MIG sebagai universiti perfileman. Boleh anda terangkan dengan lebih lanjut?

MIG sudah boleh dianggap sebagai universiti yang melahirkan bakat baharu, oleh kerana itu, slogan 'Bintang Dicipta Bukan Dilahirkan' terus digunakan sehingga ke hari ini. Bahkan, kami sentiasa membuat persediaan dengan melahirkan barisan pelakon pelapis yang akan meneruskan kesinambungan dalam bidang perfileman pada masa depan. Ia juga bagi mengelakkan kebergantungan terhadap pelakon-pelakon sedia ada. Jika mahu terus menjadi penerbit, muka-muka baharu ini perlu ada. Selain daripada memiliki pelakon sendiri, MIG turut memperkenalkan Skim Pengarah Muda MIG, sejak dua tahun lalu. Antara pengarah muda yang digilap MIG seperti Ismail Hasim, Azhari Zain, Pierre Andre, Hashim Rejab, Farid Kamil, Ahmad Rusli, Yana Samsuddin, Muhamad Razif, Noor Hazlin, Mohd Azaromi dan Nor Zahirah.

Ada bilangan tertentu untuk merekrut bakat baharu?

Setiap tahun, MIG akan mengambil 15 bakat baharu yang terpilih. Untuk tahun ini, kuota itu masih lagi belum mencukupi. Kami masih lagi kekurangan lima orang lagi. Setakat ini, MIG mempunyai lebih 35 artis. Antara artis di bawah naungan MIG ialah Farid Kamil, Intan Ladyana, Zalif Sidek, Nina Iskandar, Adibah Yunus, Atikah Shuhaimi, Niezam Zaidi dan Azwan Kombos.

Ada tapisan yang perlu dihadapi oleh bakat baharu ini?

Tidak semuanya akan bergelar pelakon sebaliknya bakat baharu itu akan ditapis dan diberi tempoh percubaan selama setahun sama ada untuk terus kekal atau tidak bersama MIG.
Dalam tempoh percubaan itu, kami akan melihat kepada empat faktor utama iaitu disiplin, kesungguhan mereka untuk menjadi artis, kontroversi yang terkait dan respons masyarakat kepada mereka. Jika masyarakat tidak suka juga... ia tidak bagus untuk promosi filem.

Selepas tempoh percubaan itu tamat, bagaimana dengan keputusannya?

Kami akan memberi kebebasan kepada bakat baharu ini untuk memilih keputusan sama ada untuk terus kekal ataupun tidak. Oleh sebab itu, selepas setahun, kami akan mengkaji semula kontrak. Setakat ini, hanya dalam 30 peratus yang akan terus bersama kami.

Soal kontraknya pula bagaimana?

Setiap kontrak yang dikeluarkan adalah selama lima tahun, bagaimanapun ia bergantung kepada artis tersebut. Kebiasaan mereka akan tandatangan kontrak selama lima tahun, namun terpulang kepada mereka jika mahu keluar lebih awal ikut budi bicara. Sehingga ke hari ini, kami masih lagi menggunakan kontrak dan syarat yang sama seperti sebelum ini. Bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang diubah suai menjadi lebih terperinci. Syarat masih sama seperti dahulu cuma ada beberapa syarat yang kita perbaiki mengikut beberapa pengalaman artis sebelum ini yang melanggar kontrak. Atas nasihat peguam, kami meletakkan harga ganti rugi mengikut kemampuan dan nilai filem yang kita beri pada mereka.

Perancangan jangka masa panjang MIG?

MIG menyasarkan 200 filem terbitan sehingga penghujung 2018. Malah, saya mempunyai sasaran sendiri iaitu ingin mencipta rekod sebagai penerbit yang berjaya menghasilkan 1,000 filem di sepanjang penglibatan saya dalam industri. Diharapkan, ia akan menjadi kenyataan.

Komen anda mengenai filem terbaru, Nasi Tangas (Nasi Kangkang)...

Dek perbincangan yang teliti dengan Lembaga Penapisan Filem (LPF), menyebabkan tayangan filem ini mengalami kelewatan lebih enam bulan. Malah, atas nasihat daripada LPF juga, tajuk filem ini perlu diubah kepada Nasi Tangas (Nasi Kangkang). Mujur pemotongan yang dilakukan tidak banyak sebaliknya hanya melibatkan dua tiga perubahan. Saya bersyukur untuk itu. Saya mengharapkan agar filem ini mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada peminat di luar sana.

Seperti biasa, dalam setiap filem terbitan anda, sudah pastinya ada wajah-wajah baru yang ditampilkan. Begitu juga dengan Nasi Tangas (Nasi Kangkang) yang memilih Azwan Kombos, Shima Anuar, Adiba Yunus sebagai teraju utamanya. Komen anda?

Sejak dulu lagi, MIG telah menyediakan barisan pelakon pelapis untuk diserapkan dalam filem-filem terbitan kami. Ia bagi menghadapi masalah kekurangan pelakon kerana bilangan filem terbitan MIG semakin bertambah. Kami tidak mahu pelakon yang ditampilkan dalam filem asyik muka-muka yang sama. Nanti penonton akan bosan. MIG memberi mereka peluang untuk tunjukkan bakat. Kalau berjaya mereka akan pergi jauh dan industri perfileman juga mempunyai banyak pilihan pelakon.
Previous Post Next Post