DJ Dave lancar single peringati MH370, MH17


Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bersama Datuk D J Dave (kanan) pada majlis pelancaran single terbaharu penyanyi veteran itu berjudul "Di Pertemuan Abadi" di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Putrajaya hari ini.

PENYANYI veteran Datuk DJ Dave hari ini memperkenalkan single terbarunya "Di Pertemuan Abadi" sempena memperingati mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 dan insiden kehilangan pesawat MH370.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang melancarkan single khas itu di sini berkata usaha DJ Dave harus dipuji kerana ia satu usaha murni untuk menunjukkan rasa simpati kepada mangsa dalam bentuk lagu.






"Lagu yang boleh dibeli dalam bentuk album dan 'caller ringtone' adalah satu usaha kreatif bagi memberi peluang bagi seluruh rakyat Malaysia untuk menunjukkan sokongan dan rasa simpati kepada mangsa dan keluarga tragedi MH17 dan MH370," katanya.

Ahmad Shabery turut memaklumkan bahawa semua hasil jualan single itu serta caller ringtone akan disalurkan kepada tabung keluarga mangsa kedua-dua insiden terbabit.

Beliau berkata inisiatif dilakukan DJ Dave patut dicontohi semua penggiat seni di negara ini dan juga untuk tujuan-tujuan lain pada masa hadapan.

DJ Dave atau nama sebenarnya Datuk Irwan Shah Abdullah berkata ilham untuk menghasilkan lagu tersebut tercetus semasa beliau terkenang nasib yang menimpa keluarga mangsa dan Malaysia Airlines yang ditimpa dua peristiwa besar dalam beza waktu yang singkat.




Katanya lirik lagu itu hasil ciptaan Habsah Hassan dan susunan muzik oleh Belle Fatah.

Pada majlis pelancaran itu, DJ Dave turut mendendangkan lagu daripada single tersebut.

Pesawat MH370, yang membawa 239 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) ke Beijing pada 12.41 tengah malam, 8 Mac lepas.

Empat bulan kemudian, MAS sekali lagi diduga dengan penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas selepas ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.
Previous Post Next Post