Hasrat Jamil Sulong Bercuti Di Janda Baik Tidak Kesampaian


Allahyarham Datuk Jamil Sulong meninggal dunia pada usia 88 tahun.

Hasrat Pengarah filem veteran, Datuk Jamil Sulong, 88, untuk bercuti di kampung halamannya di Janda Baik, Bentong, Pahang tidak kesampaian selepas diserang penyakit angin ahmar kira-kira sebulan lalu.

Anak kedua Allahyarham iaitu Dr Anwardi Jamil, 55, bagaimanapun berkata, Allahyarham kelihatan gembira dapat meraikan hari jadi salah seorang cucunya beberapa hari sebelum dijangka berangkat ke Janda Baik yang mana turut disertai oleh ahli keluarga lain.






"Beberapa hari sebelum arwah terkena serangan strok beliau ada meminta untuk balik bercuti di kampung halamannya di Janda Baik namun perancangan itu terpaksa dibatalkan kerana beliau secara tiba-tiba terkena serangan strok.


Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Al-Ghufran Taman Tun Dr Ismail di sini untuk dimandikan, dikafankan dan seterusnya disembahyangkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Janda Baik, Bentong Pahang.

"Bagaimanapun sebelum itu, Allahyarham sempat bersama-sama menyambut hari jadi salah seorang cucunya dan dia cukup gembira ketika itu apabila kami sekeluarga berkumpul," katanya kepada mStar Online.

Anwardi ditemui di Masjid Al-Ghufran Taman Tun Dr Ismail di sini pada Jumaat.

Jenazah Allahyarham dibawa ke masjid berkenaan untuk dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Janda Baik, Bentong, Pahang untuk pengebumian.


Anak kedua Jamil, Dr Anwardi Jamil memberitahu hasrat arwah bapanya untuk bercuti di Janda Baik tidak kesampaian.
Allahyarham dijangka dikebumikan selepas selesai solat Jumaat.

Jamil meninggal dunia di rumah anaknya di Bukit Damansara di sini kira-kira pukul 9.35 malam Khamis selepas kira-kira sebulan dirawat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dekat sini.

Dalam pada itu, Anwardi berkata, pihak hospital pada Rabu lalu membenarkan bapanya pulang ke rumah namun keadaannya stabil.

Bagaimanapun kata Anwardi, keadaan bapanya tiba-tiba nazak pada malam Khamis sebelum meninggal dunia di sisi isteri, Datin Rosnani dan beberapa ahli keluarga lain.

"Ayah dibawa pulang ke rumah pada pagi Khamis dan keadaannya stabil biarpun masih dalam keadaan koma namun tidak sangka pada sebelah malamnya dia tiba-tiba sesak nafas sebelum meninggal dunia dengan tenang pada 9.35 malam.


Rosnani yang kelihatan sugul ditemani oleh ahli keluarganya.
"Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya tambahan pula arwah dijemput Allah pada malam Jumaat 1 Zulhijah," katanya.

Sementara itu, balu Allahyarham, Rosnani yang kelihatan sugul memohon maaf kerana belum bersedia untuk memberikan sebarang kenyataan tentang pemergian suaminya itu.

"Maafkan saya, fikiran saya kini kosong dan tidak tahu apa yang perlu dikatakan," ujarnya ringkas.

Dalam perkembangan sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang turut hadir menziarahi jenazah Allahyarham berkata, pemergiaan Jamil adalah suatu kehilangan besar kepada industri filem negara.


Shabery turut hadir memberikan penghormatan kepada Allahyarham dan menganggap pemergian Jamil suatu kehilangan buat industri perfileman negara.
Jelas Shabery, bakat luar biasa dimiliki Allahyarham dalam pengarahan filem pada zaman kegemilangannya sukar dicari ganti dan pemergiannya akan sentiasa dikenang.

"Biarpun pada zamannya tidak mempunyai peralatan canggih dalam menerbitkan filem namun beliau masih mampu menghasilkan karya berkualiti dan kebanyakannya masih diingati hingga ke hari ini.

"Pemergian Allahyarham suatu kehilangan besar kepada industri filem negara dan tiada gantinya," katanya.

Allahyarham adalah pengarah filem Melayu kedua terbanyak mengarah filem selepas Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.
Filem-filem arahannya seperti Batu Belah Batu Bertangkup, Si Tanggang, Lela Manja, Bidasari dan Raja Bersiong.




Datuk DJ Dave dan Datuk Mustafa Maarof turut hadir memberikan penghormatan kepada Allahyarham.
Karya arahan Allahyarham juga banyak merangkul anugerah bukan sahaja dalam negara tetapi juga peringkat antarabangsa.

Allahyarham juga turut terlibat menghasilkan gurindam selain menulis dan mencipta lagu-lagu untuk P.Ramlee termasuk Berkorban Apa Saja, Tiru Macam Saya, Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Azizah.

Selain isteri, Allahyarham turut meninggalkan empat cahaya mata dan lapan orang cucu.
Previous Post Next Post