Hydra optimis diterima pasaran komersial



KUMPULAN Hydra yang bermain muzik di kelab malam kini mahu meluaskan kredibiliti dalam pasaran komersial dengan melahirkan album sulung yang diberi nama Sinergi.

TEMPOH enam tahun mungkin kedengaran terlalu lama bagi sesebuah band untuk membina nama sebagai kumpulan muzik komersial. Dalam tempoh tersebut, penelitian perlu dibuat agar perancangan untuk menembus pasaran muzik tempatan berhasil.

Bagi kumpulan kelab malam, Hydra, senggang masa enam tahun tersebut digunakan sebaik mungkin sebagai platform persediaan sebelum muncul dengan sebuah album mini berjudul Sinergi.

Ketika berkesempatan bertemu dengan mereka pada majlis pelancaran album tersebut di Rumah Peranakan, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, Hydra begitu teruja dalam berkongsi kisah perjalanan karier serta hala tuju muzik mereka.

Kumpulan itu dianggotai oleh Sayed Sahlan Sayed Hamid, 49, Mohd. Faizul Azril Isa, 30, Ahmad Aizad Mohamed Fauzi, 29, Kamas Jezzriq Eddie Kismilardy, 31, dan Mohd. Fadzil Abdul Wahab, 42.






Cita rasa

“Tidak dinafikan, perbezaan umur serta cita rasa muzik yang ada pada setiap ahli menyebabkan banyak percanggahan berlaku.

“Ia bukan sesuatu yang sukar untuk diatasi. Apa yang penting adalah sikap bertolak ansur bagi menjadikan lagu-lagu yang dihasilkan lebih berkualiti,” ujar Sayed Sahlan atau lebih mesra disapa Lan selaku ketua kumpulan.

Ketika ditanya apakah kelainan yang bakal ditampilkan oleh Hydra, Lan berkata, mereka berkebolehan bermain alat muzik serta menyanyi dengan baik.

“Kami sedar, persaingan antara band di Malaysia begitu hebat, lebih-lebih lagi dengan perkembangan teknologi masa kini. Apa yang istimewa adalah setiap daripada kami mampu menyanyi dengan baik.

“Ini mungkin salah satu keunikan yang ingin kami tampilkan menerusi karya Hydra,” katanya lagi.

Menurut Lan, selain keistimewaan itu, Hydra juga mempunyai perancangan tersendiri dalam menempatkan band indie sebaris dengan band-band komersial lain di Malaysia.

“Walaupun perjuangan Hydra baru sahaja bermula, kami tetap mempunyai misi untuk memartabatkan muzik indie di Malaysia.

“Sementelah, kami punya kelompok peminat yang telah lama menyokong dari belakang. Jadi, kami bertambah yakin untuk bergerak lebih jauh lagi,” ujar Lan.




Mesej dalam lagu

Melanjutkan perbualan mengenai album mini mereka, Lan memberitahu, kehadiran Sinergi bukan semata-mata hebahan mengenai diri mereka sebagai sebuah kumpulan tetapi lebih kepada medium penyebaran mesej positif kepada pendengar.

“Lagu-lagu dalam Sinergi digarap penuh makna. Pendekatan yang digunakan adalah berbeza dan kebanyakan lagu bertemakan kasih sayang, penyatuan dan kedamaian.

“Elemen seperti itu dapat didengar menerusi single Warisan. Ditujukan kepada generasi muda, saya berharap agar ia dapat dijadikan pemangkin dan pembakar semangat untuk mereka terus maju dalam kehidupan,” katanya lagi.

Tidak keterlaluan, Hydra juga memasang angan-angan untuk melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa jika diberikan peluang.

“Kami mahu dikenali bukan setakat di tanah air sendiri tetapi juga di peringkat antarabangsa.

“Sebagai permulaan, kami bakal mengadakan persembahan di Festival Muzik World Animal Groove di Kuching, Sarawak pada bulan Oktober ini sebelum ke Bandung dan Surabaya, Indonesia bagi memenuhi undangan nyanyian di sana,” kata Lan yang begitu optimis untuk menjayakan persembahan di Amerika Syarikat dan Jerman pada tahun depan.

Sebelum muncul dengan Sinergi, Hydra terlebih dahulu dikenali menerusi lagu runut bunyi bagi filem Dampak berjudul Hujung Mentari.

Selain mempromosikan album mini mereka, Hydra juga aktif membuat persembahan di beberapa buah kelab malam di sekitar ibu kota termasuk Waikiki Bar, Petaling Jaya, Selangor pada setiap Isnin; The Social, Bangsar, Kuala Lumpur (Selasa); Intan Square, Petaling Jaya, Selangor (Jumaat) serta Hangover, Petaling Jaya, Selangor pada hari Sabtu.
Previous Post Next Post