Johan, Pengarah fail gantung perintah bayar ganti rugi



Seorang pengarah drama dan filem serta syarikatnya memfailkan permohonan untuk menggantung perintah membayar ganti rugi RM170,100 kepada Mohammad Yazid Lim Mohamad Aziz atau dikenali sebagai Johan Raja Lawak dan isterinya.

Pembayaran itu berhubung kes saman yang difailkan pelawak itu terhadap kecederaan yang dialaminya empat tahun lepas.

Pengarah, Mohd Javed Mohd Nizar dan syarikat penerbitan drama dan filem, Juara Filem Production Sdn Bhd memfailkan permohonan itu pada 17 September lalu sementara menunggu untuk mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Su Geok Yiam pada 7 Julai.






Peguam Suhaimi Saad yang mewakili Johan ketika ditemui pemberita memaklumkan bahawa permohonan Mohd Javed dan syarikatnya itu akan didengar di Mahkamah Rayuan, Khamis ini.

Suhaimi berkata Penolong Kanan Pendaftar Ti Pei Si menetapkan 26 September ini untuk pengurusan kes ketika kes itu disebut di dalam kamarnya yang turut dihadiri peguam Baljit Singh yang mewakili Mohd Javed dan syarikatnya itu.

Pada 7 Julai lalu, Hakim Su memerintahkan Mohd Javed serta syarikat penerbitannya membayar ganti rugi RM100,000 dan kos perubatan RM100 kepada Johan serta faedah lima peratus kepada pelawak itu bermula daripada tarikh saman itu difailkan sehingga tempoh penyelesaian.

Mahkamah turut memerintahkan Mohd Javed dan syarikatnya selaku defendan membayar ganti rugi RM20,000 akibat trauma kepada isteri pelakon dan pelawak itu, Rozlinawaty Ismail, serta faedah lima peratus bermula daripada tarikh saman itu difailkan sehingga tempoh penyelesaian.




Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua defendan membayar kos guaman RM50,000 kepada pasangan suami isteri itu.

Pada 18 Julai 2010, Johan, 29, dan isterinya yang lebih dikenali sebagai Ozlynn Wati, 32, memfailkan saman RM1 juta terhadap kedua-dua defendan dengan mendakwa Mohd Javed telah mengasari dan membaling gelas kaca sehingga menyebabkan Johan mengalami kecederaan di dahi kirinya ketika mereka berjumpa di sebuah restoran di Sikamat, Seremban pada 11 Mei 2010.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Johan mendakwa Mohd Javed juga bertindak menterbalikkan meja di hadapannya dan isteri dan Johan turut mengalami kecederaan pada bahagian bawah mata kanan didakwa akibat ditumbuk seorang kru penggambaran yang dikenali sebagai 'Halim'.

Johan, yang juga seorang pengacara, mendakwa Mohd Javed dan Halim kemudian terus memukul dan menyepaknya dan perbuatan mereka dihalang Ozlynn yang menyebabkan isterinya itu turut dipukul.
Previous Post Next Post