Kahwin Tak Sekat Mon Ryanti Aktif Berlakon


Mon Ryanti dan suami Mohd Hasrul selamat diijabkabulkan pada malam Sabtu lalu.

Pelakon baharu dan penyampai radio Ultra.FM, Mon Ryanti menganggap keputusannya mendirikan rumah tangga dengan Mohd Hasrul Ali, 26 ketika sedang bertatih mencipta nama bukan satu penghalang untuk dirinya terus aktif dalam dunia seni.

Mon Ryanti atau nama sebenarnya Haryanti Muhammad Sahudina Lee, 26, berkata, dia sentiasa percaya kepada bakat yang ada dan status perkahwinan bukanlah kayu pengukur seorang selebriti meraih populariti.






"Lepas kahwin saya saya akan terus aktif sebagai pelakon dan saya tidak menyesal berkahwin awal sebelum mencipa nama dalam industri.

"Saya hanya mengikut apa yang Allah sudah tentukan, saya pasti ada rezeki dalam bidang lakonan biarpun sudah berkahwin," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Ahad.

Mon Ryanti sah menjadi isteri kepada Mohd Hasrul Ali pada malam Sabtu lalu dengan sekali lafaz.


Pasangan dinikahkan oleh Imam Besar Masjid Sultan Abu Bakar Datuk Mahat Mohd Said di Dewan Sangkar Kristal, Driving Range Golf Club, Jalan Pelangi, di Johor Bahru.

Mon Ryanti menerima mas kahwin sebanyak RM515.15 dan hantaran RM20,000.

Sementara itu, Mon Ryanti berkata, sebagai isteri dia tahu batasan apabila berlakon dengan lelaki lain dan menjaga maruah suaminya.




"Sudah tentu ada bezanya bila sudah bergelar isteri orang, saya tahu batasannya bila berlakon dengan lelaki lain dan utamakan maruah suami dan keluarga dahulu.

"Tapi kebiasaanya apa yang dilakonkan di drama adalah teknik kemera bukan berlakon betul-betul," katanya.

Tambahnya, dia bersyukur suaminya sangat memahami dan tidak pernah menghalang minatnya untuk terus berlakon.

Dalam perkembangan lain, Mon Ryanti baharu sahaja keluar dengan filem terbaharu berjudul Jin bersama pelakon Zul Ariffin di seluruh pawagam tanah air bermula 28 Ogos lalu.
Previous Post Next Post