Marsha bosan dilabel 'gedik'!



DUA tahun lalu, penyanyi jelita, Marsha Milan Londoh pernah meluahkan perasaan kecewanya terhadap bidang nyanyian.

Masakan tidak, ketika itu, penyanyi kelahiran Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) ini merasakan bidang nyanyian kurang menyerlahkan bakatnya berbanding karier lakonannya.

Malah, kata anak kelahiran Tamparuli, Sabah ini, sejak keluar daripada AF3, banyak tawaran berlakon yang diterimanya berbanding karier nyanyian.

Enggan berputus asa, Marsha kini bertindak memperlahankan aktiviti lakonan kerana ingin memberi tumpuan pada bidang nyanyian yang paling diminatinya sementelah lagi pelantun Untuk Terakhir Kali itu berhasrat untuk mengadakan persembahan.






"Bidang lakonan memakan masa yang agak lama terutamanya bagi drama bersiri.

"Lagipun, saya merancang untuk mengadakan persembahan jadi untuk menjayakannya saya perlu bekerja keras dan lebih fokus.

"Biarpun ia kelihatan mudah dan senang, namun ia masih perlukan banyak latihan dan perancangan rapi supaya semuanya berjalan lancar," katanya kepada Zass ketika dihubungi menerusi aplikasi Whatsapps.

Pada masa sama, Marsha kini sibuk mempromosikan single terbaharunya, Satu Rasa duetnya dengan Zarul Umbrella.

"Sambutan terhadap lagu ini sangat memberangsangkan. Setakat ini, lagu ini masih lagi dimainkan di radio-radio.

"Saya memang ada terfikir untuk menghasilkan album baharu, tetapi buat masa ini, biarlah saya berfokus kepada single demi single yang akan dihasilkan terlebih dahulu," katanya.




Semakin memilih

Sementara itu, berbalik kepada soal karier lakonannya, teraju utama filem Laga ini mengakui agak memilih watak kerana sudah bosan dilabel sebagai seksi, gedik dan penggoda.

Bahkan, pelakon Benci Vs Cinta ini turut mengimpi membawakan watak lebih serius.

"Saya tidak mahu menjayakan watak yang sama lagi.

"Saya mahukan cabaran dalam karier lakonan saya, jadi saya boleh meningkatkan lagi mutu lakonan saya.

"Saya teringin hendak membawakan watak yang diangkat daripada kisah benar kerana tahu ia agak mencabar disebabkan perlu mengikut karakter individu tersebut," katanya.

Akuinya lagi, dia turut menerima beberapa tawaran lakonan tetapi semuanya masih lagi dalam peringkat perbincangan.

Kata pengacara Propaganza ini lagi, dia juga sedang menunggu beberapa filem lakonannya seperti Juwanita, 7UJUH dan Pak Pong ditayangkan di pawagam.

Dalam perkembangan lain, Marsha kini sedang berada di Thailand kerana melakukan penggambaran Disney bagi mengisi kalendar 2015.

"Ada 12 artis terpilih dari seluruh Asia untuk menjayakan projek ini dan setiap artis ini pernah bekerjasama dengan Disney, sebelum ini.

"Setiap artis akan membawa karakter yang berbeza dari Disney," katanya yang akan menjadi Elsa daripada filem animasi Frozen.
Previous Post Next Post