Nasi Tangas cabar Azwan Kombos


AZWAN KOMBOS meletak harapan tinggi terhadap karakter lakonannya dalam filem Nasi Tangas.

SEDIKIT asing, namun, nama Azwan Kombos semakin mesra dalam kalangan peminat dunia lakonan tanah air. Masih dalam kategori pelakon angkatan baharu, kredibiliti dan bakat milik anak muda itu sebenarnya masih belum sampai ke tahap yang membanggakan. Karakter dan impak yang ditinggalkan menerusi lakonannya, belum ada yang benar-benar mendatangkan impak.

Sedar letak diri, pemilik nama sebenar Mohd. Al Azwan Kombos, 29, itu mengakui masih banyak yang perlu dipelajari. Lantas, lakonannya menerusi filem terbaharu terbitan MIG production Sdn. Bhd. berjudul Nasi Tangas (Nasi Kangkang) semahu-mahunya dijadikan batu loncatan untuk membidik nama teguh dalam industri.






Bertemu teraju utama filem tersebut pada majlis pratonton filem lakonannya, Nasi Tangas (Nasi Kangkang) baru-baru ini, Kosmo! menyingkap misi baharu Azwan.

Dia nekad meneruskan karier sekali gus mengetepikan segala kontroversi yang pernah mengaitkan dirinya dengan pelakon Nad Zainal. Akuinya juga, kisah hubungan mereka itu sudah menjadi sejarah. Nad sudah tiada di dalam hatinya. Seratus peratus konsentrasinya kini untuk lakonan.

KOSMO!: Bercerita mengenai lakonan terbaharu anda dalam filem Nasi Tangas, boleh Azwan ulas sedikit mengenai kepentingan peranan anda dalam filem tersebut?

AZWAN KOMBOS: Saya memegang watak sebagai Hairi, seorang lelaki yang terkena ilmu hitam buatan isterinya sendiri, Amira lakonan Adiba Yunus. Hairi telah makan hidangan nasi kangkang oleh isteri. Memang itu watak yang sangat mencabar kredibiliti saya sejak bergelar pelakon. Saya sendiri berasa mual apabila menonton semula babak-babak dalam filem itu. Apa pun Nasi Tangas ialah sebuah filem yang sarat mesej berguna kepada masyarakat supaya kita jangan bersahabat dengan iblis.

Memandangkan filem tersebut menjadi filem seram pertama lakonan anda, boleh ceritakan sedikit pengalaman yang paling tidak boleh dilupakan?

Memang ini merupakan pengalaman pertama saya dalam genre seram. Tidak banyak perkara pelik berlaku, saya cuma kurang senang semasa melakonkan adegan intim sebagai suami isteri bersama Adiba dalam filem ini. Secara jujurnya, saya tidak selesa dan kekok sehingga penggambaran babak itu terpaksa diulang beberapa kali. Saya anggap itu sebagai sebahagian daripada tuntutan kerja dan saya hanya mengikut kehendak skrip dan pengarah.

Mungkin filem itu menjadi penanda aras kepada lakonan anda. Adakah anda bersedia untuk menerima kritikan berkaitan filem tersebut?

Sememangnya telah menjadi lumrah, sebagai pendatang baharu dalam dunia seni, saya harus bersikap terbuka apabila menerima kritikan. Saya telah bersedia untuk menerima kritikan tersebut dan pada masa yang sama saya terima kritikan tersebut dari sudut positif untuk membaiki mutu lakonan saya.




Boleh ceritakan sedikit mengenai perkembangan terbaharu anda?

Selain sibuk mempromosikan filem Nasi Tangas, saya juga sedang menjalani penggambaran sebuah drama berjudul Bila hati Berbicara terbitan MIG. Drama itu dijangka menemui penonton menjelang awal tahun hadapan.

Berbanding impak karier, anda sebenarnya lebih dikenali melalui kontroversi percintaan dengan pelakon Nad Zainal. Boleh anda ulas sedikit mengenai kenyataan tersebut?

Saya akui kenyataan itu. Pengalaman lalu banyak memberi pengajaran kepada saya. Buat masa sekarang biarlah saya memberi sepenuh perhatian kepada karier seni. Saya akui sehingga kini saya belum terdetik untuk mencari cinta baharu. Apa yang menjadi kepentingan kepada saya ialah peminat. Saya mahu peminat mengenali saya dengan aktiviti seni bukannya daripada kisah peribadi saya.

Ada segelintir peminat masih mengaitkan anda dengan Nad Zainal, apakah perasaan anda?

Sehingga kini, ramai yang masih bertanyakan kepada saya mengenai dia (Nad). Saya sendiri masih lagi mengikuti perkembangan Nad dari jauh. Saya juga turut mengetahui desas-desus hubungan cinta terbaharu Nad yang dikatakan sedang bermasalah. Bagaimanapun, saya tidak berhak untuk mencampuri urusan dia. Biarlah, dia pun sudah matang, tentunya dia boleh berfikir mana jalan yang terbaik untuk dirinya.
Previous Post Next Post