Pendirian Lisa Surihani



UMUM mengetahui media sosial memainkan peranan besar kepada industri seni kini. Sama ada Twitter, Facebook mahupun Instagram semuanya memberikan impak kepada jatuh dan bangun seseorang anak seni itu.

Lebih memburukkan keadaan apabila laman sosial digunakan untuk mengkritik, menghukum dan mengaibkan segelintir selebriti yang tidak disenangi 'keyboard warrior' ini.

Pun begitu bukan semua, laman sosial masih menjadi perantara antara peminat dan selebriti kesayangan mereka untuk memberikan sokongan dan pujian.

Aktres manis ini juga tidak terkecuali, pernah menjadi mangsa 'hatters' sebelum ini, dia mengakui tidak mahu ambil pusing dengan perkara seumpama itu.

Bagi pelakon Istanbul Aku Datang ini, dengan apa juga yang dia lakukan dalam hidup, kita pasti akan diuji dengan pelbagai cabaran.






"Apa juga industri yang kita masuk, akan ada macam-macam keadaan, situasi dan perkara yang perlu kita hadapi.

"Tambah-tambah lagi dengan adanya media sosial, memang banyak komen yang pelbagai sifatnya akan dimuat naik.

"Tetapi bagi saya, tidak perlu hendak susah hati, tertekan atau sebagainya. Saya hanya ambil mudah dengan perkara-perkara begitu," kata Lisa Surihani ketika ditemui di majlis sidang media P.Ramlee The Musical di Glenmarie Golf & Country Club, di sini.

Ditebak pertanyaan adakah dia membaca komen-komen yang diberikan kepadanya, akui Lisa, tipu jika dia kata tidak pernah membaca komen tersebut.

"Bagaimanapun, terpulang kepada kita bagaimana hendak mengawal situasi itu. "Sebenarnya boleh sahaja hendak 'block' mana-mana pengikut untuk elakkan benda yang tak elok, tetapi kalau biarkan pun tak salah.

"Seperti saya katakan saya tak mahu fikir sangat mengenai perkara itu," katanya.

Hormat satu sama lain!

Tidak tertumpu kepada isu laman sosial, 'hatters' dan 'keyboard warrior', dunia seni terus menjadi perhatian apabila timbul isu kurang enak antara selebriti tempatan yang dikaitkan dengan media.

Menyedari isu tersebut, isteri kepada Yusry KRU ini memberitahu, sememangnya media memainkan peranan penting dalam industri seni.

Umum mengetahui Lisa antara selebriti yang cukup disenangi media kerana sikapnya yang merendah diri dan mesra dengan orang sekelilingnya.

Berkongsi pandangannya, Lisa berkata, apa yang penting untuk menjaga hubungan kedua pihak adalah dengan menghormati antara satu sama lain.

"Asalkan masing-masing hormat-menghormati pasti tidak timbul masalah.

"Saya hormat media dan media hormat saya sebagai orang yang cari rezeki dalam bidang ini sudah memadai," katanya.

Baginya, bukan sahaja dengan media sebaliknya dengan semua pihak.

"Jangan sesekali kita menyinggung sesiapa, Insya-ALLAH semuanya akan berjalan dengan lancar," katanya.

Bintangi teater muzikal P. Ramlee

Mengenai penglibatannya dalam teater muzikal P.Ramlee yang bakal dipentaskan di Istana Budaya bermula 3 hingga 12 Oktober ini, ujar Lisa, ini adalah pertama kali dia memainkan peranan dalam teater legenda.

"Apabila diberi peluang sebegini, saya rasa sangat berbesar hati, lagipun pementasan ini di bawah sebuah produksi atau institusi yang boleh dikatakan terbaik dalam pementasan teater, muzikal dan sebagainya.

"Mereka sangat mementingkan nilai pementasan, sebab itu apabila mendapat tawaran ini saya benar-benar bersyukur," katanya memainkan peranan Junaidah iaitu isteri pertama Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

Tambahnya, dia rugi jika menolak tawaran tersebut kerana untuk mendapatkan watak itu dia perlu menjalani 'audition' terlebih dahulu.

"Saya perlu ambil cabaran ini, Alhamdulillah, dengan bantuan pengarah, kelas vokal, tarian dan nyanyian saya akan cuba memberikan yang terbaik," akuinya ia satu pengalaman yang menakjubkan.

Teater yang sudah memasuki musim ketiga ini, dipentaskan oleh Produksi Enfiniti's yang mendapat sentuhan Datin Seri Tiara Jacquelina sebagai Penerbit Eksekutif dan Pat Ibrahim sebagai pengarah dan kareografer.

Selain Lisa, ia turut dijayakan Tony Eusoff, Nadia Aqilah, Datuk Aznil Nawawi, Douglas Lim, Tengku Eidil Putra dan Tiara Jacquelina sendiri.




Yusry kawan baik

Tidak lokek berkongsi kisah rumah tangganya, akui Lisa, usia dua tahun setengah adalah masih baharu bagi mana-mana pasangan yang berkahwin.

"Apa pun, saya sangat bersyukur kerana Yusry bukan setakat suami yang mampu menjaga saya dengan baik.

"Dia juga kawan baik dan pendorong terbaik dalam kehidupan saya.

"Komunikasi itu penting, lebih-lebih lagi kami dalam industri yang sama. Jadi, kami boleh berborak dan sentiasa menyokong antara satu sama lain," katanya
tersenyum.

Jelas Lisa, Yusry juga tidak pernah menghalang dia berlakon dengan mana-mana produksi lain selain produksi milik suaminya.

"Dia tiada masalah saya nak berlakon bawah mana-mana produksi, dia bukan macam tu. Dia sentiasa beri peluang kepada saya," katanya popular dengan program travel log, Passport Cinta yang dikendalikan bersama Yusry.

Selain itu, Lisa juga akan muncul dengan filem terbaharunya, Dendam Orang Mati Oktober nanti.
Previous Post Next Post