Qi Razali pencinta haiwan


QI memahami beberapa sifat haiwan dan bagaimana caranya untuk mendekati haiwan tersebut.

GAYA santai lelaki ini mengacarakan program pengembaraan tidak pernah mengecewakan. Biarpun dia hanya mengenakan baju-T dan seluar pendek, namun Qi Razali mampu mencuri tumpuan.

Pernah muncul dalam pelbagai program pengembaraan seperti Destinasi Bajet, Jalan Jalan Cari Makan dan Field Trip USA, pengacara berusia 37 tahun itu diberi penghormatan untuk mengacarakan program pengembaraan sendiri yang dinamakan Kembara Qi.






"Kembara Qi ini lain daripada program yang saya pernah buat. Pertama, program ini dinamakan sempena nama saya. Kedua, dalam program ini, saya akan mengupas atau mendalami sesuatu topik atau subjek. Contohnya, kristal di Gunung Kriang dan juga pengalaman tinggal bersama suku kaum Semai di Kuala Lipis, Pahang," kongsi pemilik nama penuh Qushairi Mohammed Razali itu.

Tidak hanya berpeluang mempelajari perkara yang tidak pernah diketahui selama ini, Qi mengakui pengalamannya mengacarakan program Kembara Qi itu juga menguji dirinya sebagai seorang manusia.

Bekas pemain dram kumpulan OAG itu juga bersyukur kerana diberi peluang untuk melihat keindahan alam ciptaan Tuhan melalui kembaranya itu.

Luar daripada bidang pengacaraannya itu, Qi bakal muncul dalam filem terbaharu berjudul Anak Jantan yang ditayang di pawagam seluruh negara pada 30 Oktober ini.

Menerusi ruangan Santai Selebriti, Qi kongsikan lima perkara menarik tentang dirinya termasuk kecintaannya terhadap haiwan, koleksi jaket kegemarannya dan perkahwinan impian bersama wanita yang dicintai.

PENCINTA HAIWAN

MENGENALI sisi lain Qi, dia merupakan pencinta haiwan, malah Qi turut mempunyai seekor kucing betina bernama Sky yang kini di bawah jagaan kekasihnya, Nelydia Senrose.

“Saya terlalu suka dengan haiwan tanpa mengira jenisnya. Sebabnya, haiwan ini bertindak mengikut naluri, bukan emosi atau perasaan. Jadi, kita kena memahami sesuatu haiwan itu baru boleh dekat dengan mereka. Hakikatnya, setiap haiwan juga mempunyai karakter yang berbeza dan itu menarik minat saya,” ujarnya.

Melalui program Kembara Qi, dia berpeluang mendekati beberapa ekor haiwan. Antaranya, gajah, penyu dan juga orang utan.




NELYDIA SENROSE

SURI hati Qi, Nelydia Senrose. Sekitar Julai tahun lalu, Qi akhirnya membuka mulut memberitahu, pelakon Setia Hujung Nyawa itu merupakan kekasihnya.

Antara kenyataan yang pernah dibuat Qi mengenai percintaannya itu:

“Sebelum ini hubungan kami memang hanya kawan tetapi sekarang ia telah menjadi cinta. Saya mengakui, Nelydia ialah kekasih saya.

“Bagaimanapun biarlah percintaan ini berjalan dengan perlahan-lahan kerana saya tidak mahu kegagalan dahulu (pernah bercinta dengan Yuna) berulang.”



QI dan kekasihnya, Nelydia Senrose.

PERKAHWINAN

TIDAK mahu menjalinkan hubungan cinta yang lama bersama Nelydia, Qi bagaimanapun tidak mahu terburu-buru melangkah ke alam perkahwinan kerana ingin memberi ruang untuk kekasihnya menumpukan kepada kerjaya lakonan.

Begitupun, Qi tidak keberatan berkongsi mengenai perkahwinan impiannya.

“Setiap wanita ada perkahwinan impian dan idaman mereka. Jadi, saya berhasrat untuk menunaikan impian bakal isteri saya kelak. Saya mahu menjadikannya wanita yang paling bahagia dalam dunia dan akhirat. Insya-Allah,” ujarnya secara terbuka.

FILEM

TIDAK hanya tertumpu pada bidang pengacaraan, Qi turut terlibat dalam dunia lakonan drama dan filem. Antara drama dan filem yang pernah ditunjanginya adalah seperti Blogger Boy, Kalau Itu Jodoh Kita dan Bencinta.

Terbaharu, adik kepada bekas pemain drum kumpulan Blackrose, Sha’arin Mohammed Razali itu bakal muncul menerusi filem Anak Jantan bersama pelakon Farid Kamil, Nora Danish dan Bront Palarae.

“Dalam filem Anak Jantan, saya memainkan watak pembantu sahaja tetapi ia merupakan pengalaman pertama saya terlibat dalam filem aksi. Ada adengan tembak-menembak dan seni mempertahankan diri,” terangnya.

Menganggap filem Anak Jantan lain daripada filem gangster yang pernah ditontonnya, Qi mendedahkan, dia mengalami kecederaan di bahagian hidung selepas ditumbuk Farid ketika menjayakan penggambaran filem itu.

Bagaimanapun, dia tidak menyalahkan suami kepada pelakon Diana Danielle itu kerana perkara itu tidak disengajakan.

“Ketika penggambaran, Farid terlepas tumbukan dan saya tidak sempat mengelak. Akibatnya hidung saya berdarah. Nasib baik hidung saya tidak mengalami sebarang keretakan,” ceritanya.

JAKET

SEORANG penggemar jaket, Qi mengakui, dia mempunyai banyak koleksi jaket.

Mempunyai jenama pilihan, ujar Qi, keselesaan dan faktor tahan lama menjadi kriteria utama sebelum dia membeli jaket tersebut.

“Saya sanggup berbelanja untuk membeli sehelai jaket berkualiti. Maksud saya, kalau ada majlis yang perlu dihadiri, saya akan berusaha untuk tampil segak daripada biasa. Antara koleksi jaket yang saya ada adalah seperti Dolce & Gabbana, Armani Exchange, French Connection dan Adidas,” kongsinya.

Qi turut mengakui, dia menyukai jaket daripada jenama Zara Couture Men.
Previous Post Next Post