Resipi Bertahan Bunkface



SAHABAT yang mengharapkan Bunkface terus wujud sehingga mereka lanjut usia. Dari kiri: Paan, Sam dan Youk.

SAM, 27, Youk, 25, dan Paan, 27, tiga nama yang membentuk band Bunkface. Sejak ditubuhkan pada tahun 2005, band yang popular dengan lagu Bunk Anthem, Prom Queen, Revolusi dan Situasi itu terus harum sehingga hari ini.

Siapa sangka pada saat band seangkatan mereka berada dalam situasi tenggelam timbul, sebaliknya Bunkface terus muncul dengan album ketiga yang berjudul Malam Ini Kita Punya.

Bertemu dengan Sam, Youk dan Paan ketika penggambaran klip video lagu terbaharu, Malam Ini Kita Punya di Helipad Menara KH, Kuala Lumpur baru-baru ini terlihat jelas kematangan mereka bertiga.






Berbeza pada awal kemunculan mereka. Setiap butir bicara kini difikirkan dengan jelas sebelum diluahkan kepada pihak media.

"Lapan tahun melalui asam garam dunia seni banyak mematangkan kami. Kami mula bermain muzik pada usia belasan tahun. Sekarang pada usia 20-an, rasanya sudah cukup untuk kami menikmati zaman remaja.

"Fokus kami buat masa ini hanyalah meluaskan lagi empayar muzik Bunkface dan perancangan masa depan kami semua. Masa bermain sudah tamat," kata vokalis Bunkface, Sam atau nama sebenarnya Shamsul Anuar Mohd. Baharom.

Luahan Sam itu disambut oleh Paan yang menyifatkan pengalaman mereka dalam industri seni telah mengeratkan lagi keakraban mereka bertiga sebagai sahabat dan mengutuhkan lagi Bunkface.

"Secara peribadi kami bertiga merupakan tiga individu yang berbeza, idola muzik kami juga berlainan. Namun, apabila bersama Bunkface, kami mempunyai misi yang sama.

"Tipulah kalau kami tidak pernah bergaduh. Semua band akan menghadapi banyak isu tetapi atas dasar hormat dan juga faham keperluan antara satu sama lain. Hasilnya, Bunkface terus wujud sehingga hari ini," ujar Paan.

Justeru itu, mereka bertiga tidak pernah menyekat kemahuan setiap anggota yang melakukan pekerjaan luar daripada Bunkface.

"Kami bertiga mempunyai projek khas sendiri. Sam bersama band The Azenders, Youk pula dengan perniagaan pakaian dalam talian dan saya juga mempunyai perniagaan sendiri.

"Jadi, masing-masing mempunyai projek sendiri, tidak wujud perasaan tidak puas hati. Apabila kami fokus pada Bunkface, semua projek lain diketepikan buat sementara waktu," terang Paan atau nama sebenarnya, Ahmad Farhan yang merupakan pemain gitar Bunkface.

Sambung Sam, dia mahu Bunkface terus wujud dalam industri muzik selagi hayat di kandung badan. Katanya, dia mahu Bunkface menjadi sebuah band yang terus aktif berkarya walaupun usia mereka sudah lanjut kelak.

"Jika betul cara pengurusan sebuah band dan pembikinan karya yang jujur dari hati bukan kerana wang, rasanya rezeki itu akan lebih panjang berbeza dengan lagu yang dibuat untuk wang, ia mungkin popular tetapi untuk tempoh yang singkat.

"Saya mahu buktikan, menjadi pemuzik dalam sebuah band tempatan merupakan suatu kerjaya profesional dan mampu membawa pulangan yang lumayan. Perkara itu dibuktikan oleh band di luar negara tetapi senarionya agak berbeza di Malaysia," terang Sam.

Dilayan seperti sampah

Bercerita tentang pengalaman mereka selama lapan tahun dalam industri seni, kata mereka bertiga, ada pahit dan manisnya.

Manisnya, mereka menerima beberapa anugerah besar dan lagu mereka berada di tangga teratas carta radio seluruh negara. Pahitnya, mereka ditipu penganjur dan dilayan seperti sampah meskipun ketika nama Bunkface sudah besar di Malaysia.

"Isu band tempatan dianak-tirikan bukan satu perkara baharu. Tanyalah mana-mana band yang masih aktif, semuanya melalui perkara yang sama, cuma mereka tidak mahu menyuarakan masalah itu.

"Jika orang lain tidak mahu bersuara, biarlah saya yang bercakap. Kami pernah dijemput ke beberapa buah konsert besar yang turut disertai oleh band luar negara.

"Malangnya bilik menunggu tidak ada, apatah lagi makan dan minum. Bukanlah kami minta dilayan seperti raja tetapi tidak adil untuk kami berdiri di tepi pentas berjam-jam, sebaliknya band luar negara diberi layanan kelas pertama.

"Ada juga kes kami pulang tanpa menerima sebarang bayaran kerana tidak sempat membuat persembahan disebabkan masa suntuk.

"Sayangnya penganjur itu orang tempatan, berbeza dengan penganjur dari luar negara yang melayan kami sama rata dengan penyanyi antarabangsa," balas Sam.

Jelas Youk pula sejak terkena layanan sedemikian beberapa kali, Bunkface mula memilih tawaran yang datang kepada mereka.

"Bagi saya, kami harus memilih untuk kami terus bertahan. Sebab itu banyak band seangkatan kami sudah tidak aktif. Kami terlalu bersabar sebab itu Bunkface masih ada.

"Itu belum masuk bab bayaran lagi. Selalunya band dibayar murah sedangkan kami bukan datang seorang. Kita harus ubah cara pemikiran orang kita bahawa setiap hiburan ada harga yang perlu dibayar, bukannya percuma," tutur Youk pemain bass Bunkface penuh serius.




Album terbaharu

Menyentuh tentang album terbaharu Bunkface yang berjudul Malam Ini Kita Punya, semua lagu dalam album ini dihasilkan oleh Sam, sama seperti album terdahulu mereka.

Bukanlah gila berkarya, sebaliknya kebebasan itu diberi oleh anggota yang lain kerana mempercayai kemampuan Sam.

"Album ini lebih matang tetapi mengekalkan identiti Bunkface yang agresif dalam setiap lagu. Saya lebih senang mencipta lagu yang ringkas tetapi mesejnya sampai kepada peminat.

"Biasanya lagu-lagu saya liriknya terarah kepada isu semasa yang sedang melanda Malaysia. Bukan hanya cinta sahaja," kata Sam.

Luah Sam lagi tentang album yang diterbitkan oleh Sony Music Malaysia itu, kesemua lagu ciptaannya tidak memerlukan terlalu banyak alat muzik atau elemen elektronik tambahan.

Bukan tidak mahu mengikut trend semasa tetapi kata Sam dia lebih senang mencipta lagu yang bunyinya sama dalam album dan ketika mereka mendendangkan lagu itu secara langsung.

"Kalau saya letak terlalu banyak elemen tambahan ia kedengaran bagus di dalam album tetapi apabila kami bermain secara langsung, bunyinya tidak sama seperti dalam album.

"Saya tidak mahu peminat yang datang ke persembahan kami berasa tertipu. Jadi, apa yang ada dalam album itulah yang kami hidangkan kepada peminat dalam setiap persembahan Bunkface," terang Sam yang turut menyelitkan pengalaman peribadinya dalam album terbaharu itu.

Album Malam Ini Kita Punya yang mengandungi tujuh lagu seperti Malam Ini Kita Punya, Kembali, Rentak Laguku, Darah Muda, Orang Kita, Goyang dan Anugerah Syawal itu akan dilancarkan pada Oktober depan.
Previous Post Next Post