Sherry AlHadadSaiz XXXL bukan masalah


GANDINGAN yang serasi menjadikan Zulin dan Sherry selalu mendapat tawaran bersama, sama ada dari segi lakonan mahupun pengacaraan.

SUDAH menjadi normal dunia hiburan, bakat sahaja tidak cukup namun penampilan dan paras rupa adakala yang disanjung sebagai formula nombor satu untuk berjaya.

Benar atau tidak, itu penyataan stereotaip yang sering berlegar dan menjadi amalan termasuklah dalam industri seni tempatan.

Berdiri atas pegangan yang dikutip daripada pengalaman dan kemampuan, dakwaan itu ditepis oleh Sherry Alhadad, 30, dan regunya Zulin Aziz, 25.






Bagi mereka, paras rupa dan bentuk badan bukanlah penentu seseorang untuk terus menapak dan berjaya dalam industri seni tanah air. Sebaliknya, bakat digaul dengan dedikasi merupakan resipi utama untuk menggapai impian.

Berkongsi rasa dan belahan jiwa, Sherry dan Zulin bercerita tentang diskriminasi fizikal yang selama ini ditempuh untuk menakluk apa yang dicapai ketika ini. Atas faktor itulah, tiada jalan pintas untuk mereka meneruskan kecintaan.

"Memang saiz fizikal penting untuk mencari peluang dalam bidang ini. Sebab itulah sehingga sekarang saya hanya diberikan watak tempelan sahaja. Saya tidak berkecil hati malah hal tersebut membuatkan saya terus cekal untuk memperjuangkan bakat saya," akui Sherry.

Mengiakan sambil meluahkan apa yang terkandung di dada, Zulin pula percaya lambat-laun khalayak akan menerima mereka bersandarkan bakat.

"Minat mendalam dalam dunia lakonan bermula sejak kecil lagi. Biarpun saya bersaiz 'XXL' tetapi saya yakin masyarakat akan mengenali saya.

"Matlamat utama saya terlibat dalam bidang seni bukan untuk populariti semata-mata, sebaliknya saya memang sudah lama jatuh cinta dengan kerjaya ini," ujar pemilik nama sebenar, Farah Azleenda Abdul Aziz itu.

Tanpa tubuh langsing, mahupun rupa paras yang jelita, Sherry mengakui selama ini mereka terpaksa bekerja keras demi mengetengahkan bakat yang dimiliki.

Pada awal penglibatan, sesiapa pun akan merasa lelah, namun segalanya ditelan bulat-bulat hanya kerana minat mendalam menerusi dunia lakonan.

"Kami bermula dari bawah. Itu pengalaman yang amat indah kerana bukan semua orang dapat merasai sukarnya untuk berjaya seperti hari ini.

"Walaupun diuji, kami tetap bersyukur dengan ujian daripada Tuhan. Kesukaran itu ada hikmah di sebaliknya," kata Sherry sambil disahut dengan senyuman oleh Zulin.




Kerja kuat Sherry Alhadad

Berkongsi penglibatan awalnya dalam bidang seni, Sherry berkata, dia bermula menerusi teater Atap Genting Atap Rumbia (2004) arahan Marlia Musa. Ketika itu dia masih dalam pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Selepas menamatkan pengajian, Sherry memulakan langkah untuk mencuba nasib di kaca televisyen, sekali gus mengembangkan bakatnya.

"Di TV, saya bermula dengan telefilem Sutun 2 (2006), itu lakonan pertama di hadapan kamera.

"Sebenarnya saya banyak terlibat dengan pementasan teater. Dari situ, saya menerima tawaran drama dan filem," ujar pelakon yang pernah membintangi teater Mak Dara Nyonya dan Jam Dinding Berdetak itu.

Anak jati Kuala Lumpur itu mengakui tuahnya dalam karier seni semakin menyerlah sejak menukar namanya, daripada sekadar Shery menjadi Sherry Alhadad.

Menamakan pengarah Shuhaimi Lua sebagai orang yang bertanggungjawab atas pertukaran nama yang berbunyi lebih komersial, kata Sherry, perubahan itu dibuat usai berlangsungnya pementasan teater Mak Dara Nyonya.

Menurut Sherry juga, banyak perubahan berlaku selepas itu. Dia dapat rasakan bahawa masyarakat lebih terbuka menerima bakatnya berbanding sebelum ini.

"Saya bersyukur semakin dikenali berbanding awal kemunculan. Rezeki dan tawaran lakonan sepanjang 2014 juga mencurah-curah.

"Sebelum ini saya tiada banyak pilihan dan agak kecewa dengan tawaran watak yang sama, namun semuanya sudah berubah, penonton sekarang lebih percaya kepada bakat, bukan lagi pilih rupa," ujarnya yang juga pernah terlibat dalam drama bersiri Oh! My English musim ketiga selain pementasan teater Projek Disko Baldi.

Teruja terhadap teater - Zulin Aziz

SERASI bersama di mana sahaja, Zulin sebenarnya pernah menjadi anak didik kepada Sherry sewaktu sama-sama berada di Aswara dahulu. Dari situlah mereka menjalinkan persahabatan sehingga kini.

Bercerita lanjut mengenai awal pembabitannya dalam bidang seni, Zulin berkata, dia mula menapak dalam industri hiburan ketika mula memasuki program realiti televisyen terbitan Suhan Movies iaitu Pilih Kasih dan berjaya menjadi finalis pada tahun 2009.

"Saya mencuba nasib dalam Pilih Kasih. Selepas itu saya mula serius dengan lakonan, namun hanya diberikan watak-watak tambahan. Saya mungkin semakin dikenali dalam bidang pengacaraan tapi cabang utama dalam perjalanan seni saya masih lagi lakonan.

"Setakat ini saya akan meneruskan apa yang telah ditetapkan dan saya sangat berharap agar bidang pengacaraan mampu menjadi platform baharu kepada saya," ujarnya.

Sama seperti Sherry, gerakan awal lakonan Zulin juga bermula dari pentas teater.

"Saya sangat seronok apabila terlibat dengan teater. Teater memerlukan sebuah rasa yang lebih mendalam dan saya rasa teater sangat mencabar bakat lakonan saya. Dalam teater juga, pelakon tidak boleh melakukan kesilapan berbanding dalam drama ataupun filem.

"Saya tetap akan aktif dalam bidang teater walaupun sudah dikenali bidang pengacaraan dan lakonan di kacva televisyen," ujarnya yang pernah bersama-sama dengan Sherry dalam teater Projek Kahwin di Istana Budaya sekitar dua bulan lalu.
Previous Post Next Post