Soo Wincci tidak skeptikal terhadap media Melayu



SOO WINCCI kini muncul dengan album terbaharu berjudul Wincci yang sedang giat dipromosikan di seluruh China.

MERUPAKAN seorang penyanyi keturunan Cina yang cukup terkenal dalam kalangan media dan khalayak Melayu, Soo Wincci kini jauh berada di Taiwan kerana menerbitkan, sekali gus memasarkan album terbaharunya, Wincci di republik tersebut.

Terlanjur berbicara tentang album yang mempunyai sebuah filem pendek yang menelan belanja RM1 juta itu, Soo ditanya mengenai persepsinya sebagai seorang artis Cina yang 'hidup' di dalam rumpun media Melayu.

Soo menjelaskan, biar berketurunan Cina, dia tidak pernah terpinggir untuk meraih publisiti daripada media Melayu.






Justeru, tindakan menyelar atau memperlekeh kredibiliti media tempatan biarpun sudah bergerak dan berkembang dalam pasaran antarabangsa disifatkan sebagai tidak wajar.

Berhubung dengan Soo melalui aplikasi Skype di ibu pejabat pihak pengurusannya di Beyonds Artises Sdn. Bhd., penyanyi dan model itu berkongsi rasa tentang album dan hubungan baik bersama media yang perlu dijaga.

Kosmo!: Soo Wincci, sekadar bertanya pendapat mengenai isu memperlekeh media terutama media Melayu yang dilakukan peminat atas persetujuan seorang penyanyi baru-baru ini. Wajarkah seseorang anak seni itu mempertikaikan kredibiliti media?

SOO WINCCI: Pada pendapat saya ia merupakan perkara yang sangat tidak wajar, malah seseorang itu perlu menjalinkan kerjasama yang baik dengan pihak media. Ini kerana pihak media sangat penting dalam usaha memberi promosi kepada seseorang artis. Bukan hanya menjaja cerita peribadi artis sahaja. Pada pendapat saya juga, gosip ataupun cerita peribadi seseorang artis itu merupakan bayaran jika seseorang itu ingin terjun dalam bidang seni.

Walaupun anda kini sedang menempa nama di peringkat antarabangsa iaitu di Taiwan, adakah anda menganggap pihak media di Malaysia tidak penting?

Saya sangat bersyukur kerana kerjaya saya dihargai oleh peminat di China mahupun di Malaysia. Walaupun saya sedang membina karier di sini (Taiwan), saya tidak pernah melupakan pihak yang selama ini banyak membantu mempromosikan kerjaya saya dalam bidang nyanyian. Saya akui pihak media merupakan orang penting dalam perjalanan karier saya. Jangan jadi seperti kacang lupakan kulit.

Apa pula pandangan anda apabila ada artis yang menyelar tindakan media Melayu sebagai tidak menyokong karier mereka, sebaliknya hanya suka mengorek hal peribadi seseorang artis sahaja?

Pada pandangan saya, hal tersebut mungkin berlaku disebabkan salah faham di antara kedua-dua belah pihak. Mungkin perkara ini perlu dipandang secara profesional dan tidak melibatkan sebarang emosi. Saya tidak menyebelahi mana-mana pihak. Jika seseorang artis itu bijak, dia mampu menilai sendiri betapa pentingnya hubungan seseorang anak seni itu dengan media.

Anda merupakan seorang artis keturunan Cina, adakah anda memandang skeptikal terhadap media Melayu?

Saya tidak pernah pilih bulu apabila berkaitan hal kerja seni. Bagi saya, mereka merupakan rakan-rakan saya dan kami telah menjalinkan hubungan baik sejak saya serius dalam bidang seni. Saya berharap perkara ini tidak akan berlaku lagi.

Boleh anda ceritakan mengenai album Wincci ini?

Saya kini dalam rangka promosi untuk album terbaharu saya berjudul Wincci. Album yang memuatkan 10 buah lagu itu telah dilancarkan pada awal September lalu. Mengambil tema Pengubat Cinta, sebuah filem pendek juga telah disiapkan dan ia menceritakan secara keseluruhan 10 lagu tersebut.




Boleh anda kongsi serba ringkas tentang filem pendek tersebut?

Filem pendek itu merupakan idea asal daripada saya sendiri dan ia telah menjalani penggambaran di sekitar Taiwan. Ia menceritakan mengenai seorang gadis yang putus cinta dan menemui insan baharu yang membahagiakannya. Dari situlah 10 lagu yang dimuatkan dalam album tersebut memainkan peranan dalam setiap babak yang dipaparkan. Turut berlakon dalam filem pendek tersebut ialah aktor Singapura, Jun Yang. Kos keseluruhan untuk filem pendek ini mencecah RM1 juta. Biarpun kedengaran agak mahal, namun saya berpuas hati dengan hasilnya.

Mengapakah anda mengambil langkah untuk membikin album sekali gus memasarkan album terbaharu itu di Taiwan?

Saya telah mula mengembangkan bakat saya di Taiwan sejak 2012. sejak itu, saya mempunyai peminat yang tersendiri di sini lagipun berbanding di Malaysia, skop pendengar di Taiwan lebih luas. Saya sangat bersyukur kerana berkat album kedua ini, saya telah berjaya mengukuhkan kedudukan apabila nama saya semakin dikenali walaupun hanya tiga tahun menapak dalam industri hiburan di Taiwan. Kini saya mahu memastikan nama saya kukuh di sini, namun pada masa yang sama, Malaysia tidak akan dilupakan.

Adakah album ini akan dipasarkan di Malaysia juga?

Walaupun ia merupakan album Mandarin, sudah tentu ia akan dipasarkan di Malaysia. Bagaimanapun, buat masa ini saya akan mempromosikan ia di Taiwan terlebih dahulu sebelum pulang selama dua minggu untuk mempromosikan Wincci di negara kita.
Previous Post Next Post