Tasha Shilla kecewa



HUBUNGAN cinta Hans dan Tasha bukan satu rahsia. Kini hubungan mereka sedang diduga kontroversi bercumbu di dalam tandas.

ADA segumpal rasa kecewa yang tidak dapat disembunyikan Tasha Shilla pada saat ini. Semuanya gara-gara gosip yang dikeluarkan awal minggu ini yang mendakwa dirinya bercumbu dengan kekasihnya, Hans di dalam sebuah tandas sewaktu dia rancak menjalani penggambaran sebuah drama.

Dakwaan tersebut timbul selepas ia disebarkan oleh kru produksi yang terbabit dengan drama yang sedang dilakonkan oleh Tasha. Bagaimanapun, gosip tersebut tidak menyatakan lokasi kejadian.






Walaupun sudah biasa dihambat kontroversi tetapi isu terbaharu ini memberi tekanan kepadanya.

Tasha yang ditemui pada majlis pelancaran drama terbaharu lakonannya, Kasih Berbisik di Singapura baru-baru ini enggan memberi kenyataan yang boleh mengheret isu tersebut menjadi lebih panjang.

Bukan enggan memberi kerjasama kerana selama ini Tasha tidak pernah menimbulkan sebarang masalah kepada pihak media tetapi tegasnya, dia mahu menyiasat serta menyelidik dahulu punca isu itu boleh tersebar sebelum membuat sebarang kenyataan.

Beritahunya, isu tersebut bukan sahaja menjatuhkan maruahnya sebagai wanita tetapi juga memalukan keluarganya.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Tasha.

Kosmo!: Tasha, saya kira anda tahu mengenai gosip liar yang tersebar tentang dakwaan anda bercumbu dengan kekasih anda, Hans di dalam tandas sewaktu terbabit dengan sebuah penggambaran drama baru-baru ini. Anda juga sudah memberi sedikit komen sebelum ini. Boleh anda jelaskan lebih lanjut mengenai situasi sebenar yang berlaku?

TASHA: Maaf. Saya enggan komen tentang isu tersebut kerana kehadiran saya di sini adalah untuk majlis pelancaran drama Kasih Berbisik.

Mengapa kali ini anda mengambil pendekatan mendiamkan diri?

Sebab saya tidak tahu hendak beri komen tentang perkara yang saya tidak lakukan. Bila saya bersuara, isu ini akan menjadi panjang. Saya tidak mahu itu berlaku.

Bilakah anda akan memberi kenyataan tentang isu itu?

Saya minta maaf tetapi sebelum memberi sebarang kenyataan, saya harus siasat dari mana punca cerita ini keluar. Jika sumbernya daripada kru produksi drama berkenaan, saya mahu tahu siapa orangnya? Saya mahu tahu secara terperinci, selepas itu barulah saya akan memberi kenyataan. Besar harapan agar pihak media memahami dan memberi sedikit ruang kepada saya.

Apakah impak kontroversi terbaharu itu kepada anda?

Sebelum ini, sudah banyak cerita kontroversi tentang saya dan tidak kisah kerana ia hanya membabitkan saya seorang. Bagaimanapun, selepas keluar cerita bermesra di dalam tandas, saya rasa ia sangat melampau. Tolonglah, saya pun ada ibu bapa dan keluarga. Mungkin saya tidak kisah tetapi apa perasaan ibu bapa saya bila mereka baca cerita sebegini tentang anak mereka? Walaupun saya terangkan perkara sebenar tetapi orang sekeliling tetap akan bertanya hal ini kepada ibu bapa saya. Jadi, lebih baik saya berdiam diri dan siasat perkara sebenar.

Adakah anda kecewa apabila sering dikaitkan dengan kontroversi?

Jujurnya memang kecewa. Saya masuk dunia lakonan kerana minat berlakon, selain mencari rezeki. Orang tidak tahu yang saya cukup serius apabila bekerja. Mereka nampak kerjaya sebagai pelakon cukup glamor dan mudah. Walhal kerja sebagai pelakon meletihkan emosi dan fizikal. Kalau boleh saya mahu orang ambil tahu tentang kerjaya saya daripada hal peribadi serta kontroversi yang tidak diketahui kesahihannya.





Boleh kongsikan pengalaman anda berlakon dalam drama Kasih Berbisik?

Saya memegang watak Tina, sepupu kepada Imran (Remy Ishak) dan dalam drama ini saya merupakan watak antagonis. Sepanjang berlakon, saya sungguh seronok kerana ia membabitkan pelakon dari tiga buah negara berbeza iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia. Jalan ceritanya sangat menarik dan saya yakin ia mampu memikat hati penonton. Jangan lupa saksikan drama Kasih Berbisik bermula 1 Oktober depan di TV3.

Apakah cabaran utama ketika penggambaran drama Kasih Berbisik?

Cabaran utamanya, saya harus bercakap dalam dialek utara sebab Tina tinggal di Perlis. Bagi saya, bertutur dalam dialek utara sangat mencabar kerana saya bukan datang dari sana. Remy banyak membantu saya supaya dialog yang saya lontarkan nampak semula jadi.
Previous Post Next Post