Cinta AF Ekin & Yazer


HUBUNGAN yang terjalin selama sembilan tahun kini akan disimpul dengan ikatan pernikahan apabila Yazer dan Ekin bakal bernikah pada 26 Disember ini.

ANDAI sudah jodoh pasti tidak akan ke mana. Selepas sembilan tahun mengharungi pelbagai dugaan bergelar kekasih, akhirnya pasangan artis kelahiran Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), Ekin dan Yazer bakal mendirikan rumah tangga pada hujung tahun ini.

Sepanjang tempoh percintaan, hubungan mereka terputus beberapa kali, terakhir pada hujung tahun lalu. Namun atas nama cinta, Ekin atau nama sebenarnya, Nor Ashikin Abd. Rahman, 30, beranggapan perpisahan sementara yang terjadi kepada mereka merupakan hikmah yang diturunkan Tuhan untuk menyedarkan kekurangan diri masing-masing. Kosmo! berkesempatan mewawancara Ekin untuk mendapatkan perincian berhubung berita gembira itu.






Kosmo!: Bolehkah Ekin ceritakan sedikit mengenai majlis pernikahan kalian yang khabarnya akan diadakan pada hujung tahun nanti?

EKIN: Insya-Allah kami akan melangsungkan majlis akad nikah pada tanggal 26 Disember nanti iaitu hari Jumaat dan majlis persandingan pula pada hari Ahad, 28 Disember. Kedua-dua majlis itu akan diadakan di kampung saya di Kampung Bebuloh Laut, Labuan, Sabah. Majlis di sebelah pihak Yazer pula akan diadakan di Taman Semarak, Tawau, Sabah. Namun tarikh majlis sebelah Yazer belum dapat dipastikan. Kami juga dalam perancangan untuk mengadakan sebuah majlis resepsi kecil-kecilan di Kuala Lumpur khas untuk rakan media dan rakan-rakan yang tidak berkesempatan hadir ke majlis di Sabah.

Bagaimanakah dengan persiapan majlis itu nanti? Kalian ada menerima sebarang tajaan atau segala persiapan dilakukan atas usaha sendiri?

Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Semua persiapan sudah hampir siap. Sekarang hanya menunggu persiapan untuk persalinan nikah dan sanding serta dekorasi pelamin. Kami hanya melangsungkan majlis sederhana, jadi persediaan pun sederhana juga.

Saya mendapat tajaan baju nikah daripada Butik Pengantin Elynn Collection di Nilai, Negeri Sembilan. Untuk gambar dan video perkahwinan pula, pihak Raincoat Entertainment ada menjanjikan tajaan untuk kami.

Setelah putus cinta pada hujung tahun lalu, boleh kongsikan sedikit bagaimana kalian berdua berbaik semula dan mengambil keputusan untuk berkahwin?

Sebenarnya selepas putus cinta, Yazer memang ada menghubungi saya melalui sistem pesanan ringkas bertanyakan khabar. Saya ada membalasnya tetapi secara acuh tidak acuh sahaja kerana masih sakit hati dengan perpisahan yang terjadi.




Namun Yazer tidak putus asa dan bersungguh-sungguh memujuk saya. Lama-kelamaan perasaan sakit hati itu hilang. Akhirnya pada tarikh 21 April lalu, Yazer menyuarakan hasratnya untuk menikahi saya. Tanpa berfikir panjang, saya terima lamaran itu kerana kami juga sudah lama bercinta. Saya juga sudah bersedia untuk menggalas tugas sebagai isteri. Kalau saya tidak bersedia, masakan saya boleh terima lamaran Yazer. Perkahwinan itu merupakan sebuah permulaan baharu kepada kehidupan kami selepas ini.

Lagi pula, tarikh 21 April itu merupakan tarikh lahir ayah saya. Ketika saya beritahu keluarga, ayah antara orang yang paling gembira kerana katanya, berita perkahwinan saya itu merupakan hadiah hari lahir paling besar yang pernah diterimanya.

Bagaimana dengan perkembangan terbaharu kalian berdua?

Kami masih aktif menyanyi. Sehinga kini saya masih sibuk memenuhi tawaran persembahan. Selain menyanyi, saya juga pernah membintangi beberapa drama sebelum ini yang ditayangkan sempena Aidilfitri lalu. Rezeki kami dalam bidang seni masih ada.

Sponsor: http://bit.ly/10rrkMm
Previous Post Next Post