Dira Abu Zar di Samun?


DIRA mengambil iktibar daripada musibah yang nyaris menimpa dirinya dengan tidak meletakkan barang berharga di tempat duduk penumpang.

Pelakon dan pengacara, Dira Abu Zahar, 30, nyaris menjadi mangsa samun apabila cermin hadapan keretanya di bahagian penumpang telah dipecahkan oleh dua orang penyamun ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat Ukay Perdana, Hulu Kelang, Selangor pada Jumaat lalu.

Menurut Dira yang dihubungi Kosmo!, ketika kejadian dia berseorangan dalam perjalanan dari pejabatnya ke sebuah bank berdekatan kawasan itu. Bagaimanapun, Dira bernasib baik apabila tinted (cermin gelap) yang dipasangnya menyebabkan cermin yang dipecahkan tidak berderai sepenuhnya.

Tindakan berani Dira yang bergelut hampir tiga saat bersama penyamun itu berjaya menyelamatkan beg tangan yang diletakkan di tempat duduk hadapan. Akui Dira, dia hanya tergamam selepas penyamun itu berlalu pergi meninggalkan keretanya selepas usaha mereka gagal. Dira telah membuat laporan polis di Balai Polis Ukay Perdana dan Hulu Kelang berhubung kejadian tersebut.

Kejadian yang menimpa Dira itu turut menarik perhatian peminat apabila dia memuat naik keadaan keretanya di akaun Instagram miliknya pada hari yang sama.






Kosmo!: Bagaimanakah ke­jadian hampir disamun itu boleh berlaku? Boleh Dira ceritakan dengan lebih lanjut?

Dira: Kejadian berlaku pada Jumaat lalu sekitar pukul 12.15 tengah hari. Ketika itu saya dalam perjalanan dari pejabat ke bank berdekatan. Saya memberhentikan kereta di­ persimpangan lampu isyarat kerana lampu merah. Sewaktu berhenti kerana menunggu lampu isyarat bertukar hijau, saya menghantar mesej kepada rakan. Saya kemudian terkejut apabila mendengar bunyi dentuman di sebelah penumpang hadapan.

Apakah perasaan anda ketika itu?

Saya sangat terkejut tetapi apabila melihat penyamun itu mahu mengambil beg tangan yang diletakkan di kerusi penumpang hadapan, saya jadi marah. Sudahlah saya kerja penat, senang sahaja penyamun itu mahu mengambil harta saya. Apabila marah, saya jadi berani dan langsung tidak takut. Nasib baik saya sempat rentap balik beg tangan daripada diambil penyamun. Selepas tiga saat mereka pun sedar bahawa usaha mereka gagal sebelum berlalu pergi. Selepas itu baru saya tergamam dengan tindakan saya.

Adakah anda sedar risiko membahaya­kan keselamatan diri hanya untuk menyelamatkan beg tangan anda?

Saya memang sedar tindakan saya bahaya tetapi beg dan barang dalam beg itu harta saya yang diperoleh hasil kerja keras. Tingkap yang dipecahkan penyamun tidak berderai sepenuhnya, hanya terbuka sedikit, jadi saya fikir saya mempunyai peluang untuk selamatkan beg. Jadi, saya terpaksa bergelut dengan pe­nyamun.

Mengapakah anda begitu berani?

Alhamdulillah, walaupun ketika kejadian saya sangat terkejut tetapi saya tidak panik dan dapat menyelamatkan beg tangan. Saya bukan berani tetapi waktu itu memang saya sangat marah dengan penyamun itu. Justeru, soal bahaya semua saya tolak tepi. Namun, jika berlaku kepada orang lain, banyakkan istighfar dan cepat sedar sebelum harta anda diambil. Paling utama, jangan cepat panik.

Pernahkah anda pernah mengalami kejadian seperti itu?

Tidak, inilah kali pertama saya hendak disamun. Waktu saya membuat laporan di balai polis, ada pasangan ibu dan anak turut mengalami kejadian yang serupa. Bezanya penyamun itu tidak dapat mengambil beg tangan mereka, sebaliknya hanya dapat menarik rantai yang dipakai mereka sahaja. Kejadian itu berlaku di kawasan yang sama, mungkin penyamun yang sama. Apa pun kini kes cuba samun ini sedang dalam siasatan pihak polis.




Adakah anda dapat mengecam wajah penyamun itu?

Saya tidak dapat mengecam wajah mereka sebab mereka memakai topi keledar bertutup. Namun, saya tahu penyamun yang cuba mengambil beg itu cedera teruk di tangan kanannya kerana terkena serpihan cermin. Mujur saya tidak cedera, hanya luka-luka kecil akibat terkena serpihan cermin ketika ia dipecahkan.

Apakah pengajaran yang anda peroleh daripada kejadian itu?

Jangan sesekali meletakkan beg tangan di tempat duduk penumpang. Sentiasa perhatikan keadaan sekitar kerana apabila kita leka, waktu itulah penyamun mempunyai peluang. Selain itu, sentiasa utamakan keselamatan, andai anda akan cedera sekiranya cuba menyelamatkan beg lebih baik lepaskan sahaja. Beg atau barang boleh dicari tetapi bukan nyawa. Saya harap kerajaan akan luluskan penggunaan cermin gelap kerana terbukti ia menyelamatkan saya daripada menjadi mangsa samun.

Boleh kongsikan perkembangan kerjaya anda?

Selepas berlakon teater Asrama-Ra All Stars saya lebih memberi fokus kepada produksi sendiri. Selain itu, saya juga baru selesai me­ngarah telefilem berjudul Bila Kau Datang yang dibintangi oleh Nabil Ahmad dan Liyana Jasmay.
Previous Post Next Post