Doktor Mangsa Pertama Ebola Di New York



Pihak media berkumpul di luar bangunan yang menempatkan kediaman Dr Craig Spenser di 147 Street selepas disahkan positif ujian wabak Ebola.

Seorang doktor pertubuhan kemanusiaan yang pulang ke sini dari Afrika Barat disahkan positif selepas menjalani ujian wabak Ebola, sekali gus kes pertama di bandaraya ini.

Akhbar New York Times melaporkan Dr Craig Spencer mungkin dijangkiti penyakit itu ketika bertugas di 'Doctors Without Borders' di Guinea, antara tiga negara Afrika Barat yang paling teruk dijangkiti Ebola.






Menurut pertubuhan itu, Spencer, 33, mengalami simptom sakit perut dan demam sebelum memaklumkan keadaannya kepada 'Doctors Without Borders'.

Bagaimanapun, kenyataan Jabatan Kesihatan New York pula menyebut, Spencer dibawa ke Hospital Bellevue dari apartmennya di Manhattan oleh pasukan dilatih khas yang memakai pakaian perlindungan.

Dilaporkan, doktor berkenaan akan menjalani ujian selanjutnya di Pusat Pengawalan dan Perlindungan Penyakit Amerika Syarikat bagi mengesahkan ujian awal itu.

Sementara itu, jurucakap Datuk Bandar New York berkata, pihaknya tidak dapat mengesah atau menafikan laporan akhbar itu dan enggan mengulas sehingga Datuk Bandar, Bill de Blasio dan Gabenor New York, Andrew Cuomo mengadakan sidang media.

Rakyat Amerika Syarikat bimbang Ebola akan merebak sejak kes pertama yang disahkan di negara berkenaan, yang dihidapi seorang lelaki Liberia yang melakukan penerbangan ke Texas sebelum dimasukkan ke hospital di Dallas, bulan lalu.

Lelaki terbabit, Thomas Eric Duncan, meninggal dunia pada 8 Oktober lalu, manakala dua jururawat yang merawatnya turut disahkan dijangkiti virus maut itu.


Previous Post Next Post