Elfira sedia kahwin muda



Awal minggu ini, nama aktres Elfira Loy cukup hangat bukan sahaja di Malaysia tetapi sehingga ke negara seberang, Indonesia. Masakan tidak, Elfira hadir berpasangan dengan aktor popular Indonesia, Baim Wong ke majlis perkahwinan pelakon Raffi Ahmad dan Nagita Slavina yang berlangsung di Hotel Ritz-Carlton di Jakarta pada Ahad lalu.

Pelakon genit itu kelihatan cukup anggun dengan busana rekaan Rizman Ruzaini. Sudah pasti selain pasangan pengantin, Elfira yang berada di sisi Baim menjadi tumpuan pihak media yang membuat liputan majlis perkahwinan tersebut.






Paling mengejutkan menurut laporan portal hiburan Kapanlagi.com dan beberapa media Indonesia yang lain, Baim mengakui bahawa Elfira merupakan kekasihnya dan mereka sudah berkenalan selama empat tahun. Bukan itu sahaja, hubungan mereka berdua itu sudah sampai tahap gerbang perkahwinan.

“Ya, dia (kekasih) orang Malaysia. Sudah kenal empat tahun. Memang rapat dan serius. Sudah ada perancangan untuk ke sana (Malaysia). Namun, saya tidak tahu mahu cakap apa. Tidak tahu bila akan berkahwin, mungkin tahun ini mungkin juga tidak. Saya sendiri tidak tahu bila jodoh saya akan tiba. Harap doakan sahaja yang terbaik.

“Saya sudah membawanya (Elfira) bertemu keluarga dan mereka juga serasi dengannya. Semuanya cukup baik,” kata Baim kepada media Indonesia.

Itu kenyataan daripada Baim yang dilaporkan media di sana. Bagaimanapun Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri yang masih berada di Jakarta, Indonesia ketika dihubungi Selasa lalu menafikan

Baim mengeluarkan kenyataan sedemikian.


ELFIRA LOY memegang prinsip untuk tidak melabelkan hubungan baiknya dengan Baim Wong sebagai pasangan kekasih, namun dia menyifatkan mereka sedang dalam proses hubungan yang matang.

Akui Elfira, memang dia dan Baim diburu pihak media Indonesia sebaik selesai majlis perkahwinan Raffi dan mereka telah memberi kerjasama untuk ditemu bual pihak media. Bagaimanapun selepas sesi temu bual, pihak media di sana memperbesarkan berita tersebut walhal mereka berdua tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengesahkan mereka merupakan pasangan kekasih.

“Baim tidak beri kenyataan yang keluar di media Indonesia itu. Benar, pada majlis itu kami diburu dengan pihak media tetapi selepas kami terangkan kedudukan sebenar waktu temu bual mereka (media) mengeluarkan cerita mengikut cita rasa sendiri kerana media di sana asyik mengulangi soalan bila mahu kahwin? Baim hanya menjawab ‘tengok sahaja perkahwinannya nanti. Kami berkawan dan andai ada jodoh, kami akan berkawin’,” kata Elfira dalam mesej yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp kepada Kosmo! untuk memperbetulkan berita awal yang dikeluarkan media di Indonesia.

Bagaimanapun tanpa berselindung, si manis itu mengakui hubungan baiknya bersama Baim sudah berusia empat tahun. Dia juga mengaku hubungan mereka memang akrab, namun Elfira memegang prinsip untuk tidak melabelkan hubungan mereka sebagai sedang bercinta, sebaliknya melihat perhubungan tersebut dalam proses hubungan yang matang.

“Entahlah saya tidak tahu hendak cakap apa sebab saya tidak dengar pun dari mulut Baim yang mengaku secara terang-terang saya ini kekasihnya. Saya tidak suka komen berdasarkan perkara yang saya tidak tahu dan tidak dengar sendiri. Kami hanya cakap kami berkawan sampai tahap bertemu jodoh.

“Saya dan Baim sudah besar, jadi tidak perlulah bercinta seperti budak kecil. Kami lebih kepada menjaga hati masing-masing. Jujurnya, saya mahu hubungan yang matang yang bermakna kalau ada jodoh, saya okey sahaja untuk terus berkahwin,” balasnya yang masih berada di Jakarta saat temu bual berlangsung.




Bagaimanapun, melihat kepada usaha Elfira yang sanggup terbang ke Jakarta demi menemani Baim ke sebuah majlis perkahwinan dan sudah dibawa berjumpa keluarga besarnya di Jakarta, hubungan mereka sudah tentu serius. Bahkan Elfira juga dilihat semakin terbuka soal hubungannya dengan Baim apabila memuat naik sekeping foto bersama keluarga Baim di akaun Instagramnya.

“Bila sudah berkawan dan sudah jumpa keluarga, hubungan itu ke arah yang lebih serius tetapi kami hanya mengikut arus. Sampai waktunya dan ada keizinan dan jodoh, kami akan berkahwin. Tetapi kami bukan jenis bercinta seperti remaja,” ujarnya yang pernah bergandingan bersama Baim dalam telefilem Untuk Terakhir Kali.


PERCAYA kepada ketentuan Ilahi, Elfira bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri sekiranya ditakdirkan berkahwin pada usia muda.

Mahu cari suami

Gadis yang baru berusia 20 tahun itu terdiam sebentar saat disoal bagaimanakah dia melihat institusi perkahwinan dan adakah sudah bersedia andai jodohnya tiba awal.

“Saya percaya Allah tidak akan membebankan umatnya dengan sesuatu yang kita tidak mampu. Kalau jodoh saya sampai awal maknanya saya sudah bersedia. Saya memang berserah kepada takdir kerana Allah perancang yang terbaik. Insya-Allah aturannya baik untuk kami berdua,” tutur Elfira optimis.

Berbicara tentang tujuannya ke Indonesia, jelas Elfira yang bercuti selama empat hari tiga malam di Jakarta, menjelaskan dia memenuhi jemputan Baim untuk menghadiri perkahwinan sahabatnya itu.

“Saya ke Indonesia, bersama adik dan ibu. Memang tujuan ke Jakarta untuk menghadiri majlis perkahwinan, selepas itu saya memang ingin sangat melihat ikan lumba-lumba, jadi Baim bawa saya bersama adik saya, Nurul Ezlisa Loy serta ahli keluarganya ke daerah berdekatan Jakarta untuk melihat ikan lumba-lumba,” terang Elfira.

Sementara itu, ibunya Filzah Yusoff yang dihubungi Kosmo! memberitahu anak gadisnya itu mempunyai prinsip sendiri berkaitan soal berpasangan. Tidak seperti anak muda yang lain, anak kedua daripada lima orang adik-beradik itu enggan bercinta sebaliknya ingin mencari suami untuk dibuat pasangan hidupnya.

“Setahu saya, Elfira ini ada prinsip sendiri walaupun muda, dia tidak akan cuba-cuba bercinta. Itu bukan cara dia. Dia pernah cakap dia tidak mencari kekasih sebaliknya mencari seorang suami. Maknanya, jika dia mula bercinta tujuan untuk berkahwin bukan main-main.

“Namun, selagi belum sah sebagai suami, dia lebih selesa menganggap lelaki itu sebagai kawan sahaja,” balas ibunya.

Sungguhpun begitu, apabila disoal tentang hubungan anaknya dengan Baim, ibunya enggan memberi sebarang komen tetapi tidak kisah andai jodoh anaknya tiba awal.

“Soal komen kenyataan Baim itu, saya tidak berani. Biarlah Elfira atau Baim sahaja yang menjawab soalan pihak media. Sebagai ibu saya percaya pilihannya, jika dia mahu berkahwin awal atau lambat saya tidak kisah kerana soal jodoh memang diserahkan kepadanya. Sama seperti ibu yang lain, saya mendoakan kebahagian anak walaupun siapa pun lelaki yang menjadi pilihannya kelak,” tutur Filzah.

Elfira yang pulang ke Kuala Lumpur pada hari Selasa lalu memberitahu, sebaik menjejakkan kaki di Kuala Lumpur jadual kerjanya kembali padat.

“Saya baru selesai penggambaran drama 26 episod berjudul Setulus Janji untuk siaran RTM. Bermula semalam, saya sudah mula penggambaran untuk program kembara berjudul Mad Markets untuk TV9. Destinasi pertama ialah Taiwan. Saya seronok menjadi pengacara program ini kerana dapat berjalan ke negara lain. Sambil bekerja saya boleh melihat negara orang,” luah Elfira tentang perkembangan kerjayanya.
Previous Post Next Post