Farhan juarai Da’i musim kedua


FARHAN akhirnya bergelar juara program Da’i musim kedua meskipun pernah tersingkir pada minggu kelima atas masalah kesihatan.

PERNAH terkandas pada minggu kelima pertandingan Da’i musim kedua berlangsung kerana diduga dengan penyakit Pneumothorax iaitu sejenis penyakit yang menyebabkan paru-paru menjadi kecut kerana terdapat kebocoran antara rangka dada dan paru-paru, ternyata ada ‘hadiah’ besar yang telah disediakan Allah buat dirinya.






Sebaik diserap semula dalam pertandingan tersebut pada pusingan wild card (serap semula) pada minggu kelapan, ia merupakan tuah buat Nik Ahmad Farhan Nik Muhamad atau Farhan, 25, apabila dinobatkan sebagai juara program berkenaan pada Jumaat lalu.

Bersyukur dengan kemenangan itu, Farhan menganggap dugaan penyakit yang diberi kepadanya itu sebagai hikmah terbaik untuk dirinya.

“Waktu saya sakit, saya kecewa kerana terpaksa menarik diri pada minggu kelima. Namun, saya tidak putus asa berdoa kepada Allah. Selepas kesihatan semakin pulih, saya tidak menyangka dapat masuk semula ke program Da’i pada minggu kelapan menerusi episod kemasukan semula (wild card) seterusnya bergelar juara,” kata Farhan yang ditemui selepas program akhir Da’i berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor.

Bercakap mengenai kemenangannya sekali gus membawa pulang wang kemenangan berjumlah RM50,000 serta hadiah sampingan. Farhan mempunyai sebuah cerita menarik untuk dikongsi bersama.

“Awal tahun ini, saya telah kehilangan wang tunai RM5,000 ketika berada di masjid. Wang itu sepatutnya digunakan sebagai pendahuluan membeli kereta. Walaupun sedih, ibu saya meminta saya reda dengan kehilangan wang itu dan menghalalkan wang yang dicuri itu selain berserah kepada Allah.

“Hari ini tidak sangka, Allah menggantikan RM5,000 yang hilang itu dengan RM50,000. Ini semua kuasa Allah,” ujar Farhan terharu.

Disoal apakah yang ingin dilakukan dengan wang kemenangan itu, kata Farhan dia mahu berkongsi wang itu bersama keluarganya selain membantu mereka yang memerlukan.

“Wang itu bukan milik saya seorang. Saya percaya lebih banyak kita memberi kepada orang lain, lebih banyak rezeki yang Allah akan beri kembali kepada kita.

“Justeru, selain menggunakan wang itu untuk keperluan diri, saya akan kongsi bersama keluarga terutama ibu bapa dan selebihnya membantu orang lain,” tutur penuntut ijazah sarjana muda jurusan pendidikan di Universiti Malaya itu. Tambah Farhan kemenangannya dalam program Da’i telah menyuntik semangatnya untuk menjadi seorang pendakwah profesional pada masa hadapan.

“Memang impian saya untuk menjadi seorang pendakwah atau pakar motivasi. Walaupun saya bukan belajar dalam bidang agama tetapi ilmu yang saya kutip sepanjang program Da’i cukup berharga. Selepas ini, saya akan memperkasakan lagi ilmu pengetahuan dalam bidang agama serta bidang berkaitan dan menggunakan ilmu yang ada untuk berdakwah,” katanya penuh semangat.


TEMAN seperjuangan. AMMAR (kiri) dan Izzhar (kanan) reda dengan kekalahan mereka kepada Farhan.

Dalam program akhir Da’i musim kedua itu, Farhan telah menewaskan dua peserta iaitu Da’i Ammar Ismail, 25, dan Da’i Ahmad Izzhar Ahmad Nazri, 22. Mereka berdua terpaksa berpuas hati dengan hadiah saguhati berupa wang tunai RM5,000 setiap seorang dan hadiah sampingan.

“Saya menerima dengan hati terbuka kekalahan ini. Walaupun tidak menjadi juara, pengalaman yang saya perolehi dalam program Da’i sangat berharga. Selepas ini saya merancang untuk menyambung pelajaran dalam bidang hadis di Jordan,” kata Ammar.

Izzhar yang turut berpuas hati dengan kekalahan itu berazam untuk menjadi pakar motivasi selepas menamatkan pelajaran peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang psikologi di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak.

“Tahun ini merupakan tahun akhir saya di universiti. Jadi, penyertaan dalam program Da’i telah membuka ruang yang besar untuk saya membina kerjaya pada masa hadapan.

“Saya sedar banyak lagi ilmu yang harus saya pelajari untuk menjadi seorang pakar motivasi yang bagus. Pendedahan serta pengalaman yang saya kutip dalam program ini amat berguna untuk kerjaya,” katanya yang sebelum ini bekerja sebagai konsultan motivasi.

Sementara itu, penilaian pada peringkat akhir telah dilakukan oleh tiga juri tetap iaitu Zainal Ariffin, Ustaz Sharhan Safie dan Ustaz Harryanto Rizal Rokman manakala Datuk Siti Nor Bahyah muncul sebagai juri jemputan.

Tiga finalis tersebut diuji dalam tiga segmen iaitu menyampaikan tazkirah selama empat minit menerusi soalan dilontarkan oleh Beego, Fattah Amin, Amar dan Issey sebagai artis jemputan. Segmen kedua pula mereka perlu menjawab lima soalan daripada juri dan seterusnya tazkirah selama tiga minit secara spontan.

Program Da’i mencari pendakwah milenia itu berjalan selama 10 episod dan dihoskan oleh Datuk Rosyam Nor.



Previous Post Next Post