Farid Kamil serik!



DEK kerana terlalu teruja untuk mempraktikkan ilmu aksi lagak ngeri yang dipelajarinya di Australia, aktor kacak, Farid Kamil tidak sedar keterujaan itu memudaratkan kesihatannya.

Menurut Farid, tidak lama selepas pulang daripada Australia Stunt Academy, dia terlibat dengan penggambaran filem Anak Jantan.

Justeru dia mengambil kesempatan untuk mempraktikkan segala pengalaman selama sebulan di Australia di dalam filem arahan Faizul A Rashid ini.

"Saya memegang watak Darin di dalam filem ini dan lebih 90 peratus aksi lagak ngeri dilakukan sendiri oleh saya. Ketika penggambaran bermula, saya baru lagi pulang dari Australia.

"Jadi semua benda saya nak cuba, tapi saya tak sangka keterujaan saya itu akhirnya memudaratkan kesihatan saya," katanya yang ditemui baru-baru ini.






Jelas Farid, dek kerana asyik menjayakan babak aksi dari pagi, dia dan pelakon lain mula berasa penat sebelum berlakunya kemalangan itu.

"Bayangkan kami berlakon dari jam 8 pagi dan ada kalanya berlarutan sampai 8 pagi keesokannya. Jadi ketika saya menjayakan satu babak aksi kira-kira jam 5 pagi, saya ditendang di bahagian dada.

"Mula-mula memang saya rasa sakit, tapi saya kuatkan juga untuk habiskan penggambaran dan untuk tempoh beberapa hari itu, saya hanya makan ubat tahan sakit.

"Sehinggalah seminggu selepas itu, saya tak boleh bangun. Bila buat pemeriksaan x-ray, doktor kata tulang rusuk sebelah kiri patah.

Namun kerana terlalu lambat mendapatkan rawatan, keretakan itu sudah pun beransur pulih," katanya yang sebelum ini pernah mengalami keretakan tempurung lutut ketika menjalani penggambaran filem Dampak.

Tambah Farid, selepas kejadian tersebut, dia mula serik untuk berlakon filem aksi dan lebih gemar menerima tawaran filem bergenre romantik.

"Untuk filem aksi, saya akan lebih memilih. Tapi buat masa sekarang saya selepas berlakon filem bergenre romantik atau filem yang tidak memerlukan saya beraksi sangat. Lagipun usia saya bukan masih muda dan saya sudah ada keluarga, jadi saya kena jaga keselamatan diri saya juga," katanya.




Cadang sukatan baharu

Dalam pada itu, Farid berkata, pengalaman yang ditimbanya sepanjang berada di Australia membuatkan dia terfikir untuk mewujudkan subjek aksi lagak ngeri bagi mereka yang mahu terlibat dalam bidang seni.

Katanya, produksi filem atau drama juga seharusnya perlu lebih menghargai usaha dan keselamatan pelakon lagak ngeri.

"Macam di Australia, sebelum terjun, mereka akan ambil banyak perkiraan sebelum seorang pelakon boleh terjun. Berbeza di sini, kita masih terjun di atas kotak, di mana aksi itu sudah berpuluh tahun dilakukan.

"Jadi saya sudah suarakan kepada Professor A. Razak Mohaideen untuk mewujudkan satu subjek mengenai aksi lagak ngeri dan ini adalah sebahagian usaha kecil saya untuk pembangunan industri," akhirinya.
Previous Post Next Post