Hasnol nekad kembali aktif



WALAUPUN pernah terguris hati suatu ketika dahulu, Hasnol nekad mahu kembali menyanyi dan bangkit dengan lagu-lagu baharu khas untuk peminatnya.

SEKITAR dua puluh tahun yang lalu, lagu Laguku Untukmu dendangan penyanyi Hasnol pernah merajai hati peminat muzik pop balada tanah air. Lagu yang mendapat sentuhan komposer terkenal Adnan Abu Hassan telah meletakkan nama Hasnol atau nama sebenarnya, Hasnol Hassan Arif sebaris dengan penyanyi-penyanyi popular era 1990-an yang lain.

Nama Hasnol terus menjadi sebutan selepas single keduanya, Sudi Katakan Sudi, ciptaan komposer yang sama dijulang sebagai Lagu Terbaik kategori pop rock pada Anugerah Juara Lagu edisi kelapan.






Selepas momen tersebut, kelibat anak jati kelahiran Kuala Lumpur itu bagaimanapun tiba-tiba hilang dari kanvas industri seni suara tempatan. Ekoran kehilangan pelantun lagu Gadis Sarawak itu, ada khabar angin mendakwa bahawa perselisihan faham dengan syarikat rakaman yang menaungi kariernya, Sony Music menjadi punca rajuk Hasnol.

Berpeluang bertemu Hasnol pada majlis sidang akhbar pengumuman showcase One Nite Only With Hasnol di Heritage Club & Lounge, Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini, penyanyi yang kini berusia 44 tahun itu tidak keberatan mengungkit kisah lalu. Akuinya, khabar angin yang tersebar dahulu ada benarnya. Dia sendiri merasa terkilan dengan perselisihan faham yang berlaku ketika itu.

Namun, masa dan keadaan sudah merawat segalanya. Tidak menyimpan dendam, Hasnol sudah lama melupakan garis hitam yang yang sudah berlaku.

“Memang saya kecewa dengan pengurusan dan syarikat rakaman lama tempat saya bernaung dahulu. Perselisihan faham memang berlaku tetapi untuk memanjangkan masalah, saya memutuskan untuk membawa diri dan memberi fokus kepada keluarga,” katanya sambil tersenyum.

Melanjutkan bicara, Hasnol mengakui keputusan yang pernah dibuat dahulu begitu meninggalkan kesan ke dalam hidupnya. Begitupun, ujarnya, dia masih aktif menerima jemputan menyanyi di majlis-majlis tertutup selain meneruskan pekerjaan tetapnya sebagai pereka grafik di sebuah syarikat di Kuala Lumpur.

“Bila hati sudah tawar, fokus pun berubah. Pada waktu itu, saya hanya berfikir untuk bekerja dan menyara keluarga.

“Lama juga saya menyepikan diri. Namun, jauh di lubuk hati, bidang seni tidak pernah saya lupakan. Justeru, apabila diberi peluang untuk mengadakan showcase di Heritage Club & Lounge, saya terus menerimanya tanpa berfikir panjang.

“Secara tidak langsung, saya nekad untuk kembali menyanyi setelah lama sepi daripada dunia hiburan,” ujar Hasnol yang menjadikan persembahan pada 6 Disember nanti sebagai platform untuk membuat kemunculan semula.

Sudah lebih sebulan diuruskan oleh HMP Production, Hasnol berharap agar showcase itu bakal mengimbau semula zaman kegemilangan karya-karya yang pernah didendangkan suatu ketika dahulu.




“Menerusi showcase itu nanti, pengunjung yang hadir pasti terimbau kembali kenangan lama menerusi rangkaian lagu yang akan dibawakan.

“Lagu-lagu seperti Laguku Untukmu dan Gadis Sarawak merupakan lagu wajib yang akan saya dendangkan. Selain itu, saya juga akan menyampaikan beberapa lagu saduran yang saya minati khas untuk penonton yang hadir,” kongsinya.

Tambah Hasnol, selepas menjayakan showcase tersebut, beliau bakal muncul dengan sebuah album kompilasi yang akan diikuti dengan album solo tidak lama lagi.

“Selepas menjayakan konsert ini, sebuah album kompilasi yang memuatkan lagu-lagu lama serta tiga buah lagu baharu bakal diterbitkan untuk mengubat rindu peminat.

“Antara lagu baharu tersebut adalah Tinggallah dan Perjalanan,” katanya yang turut memuatkan versi baharu Laguku Untukmu.

Showcase One Nite Only With Hasnol bakal berlangsung pada 6 Disember depan di Heritage Club & Lounge, Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada pukul 9 malam.

Tiket-tiket berharga RM70 hingga RM110 boleh dibeli dengan menghubungi talian 03-2688 9613 atau 019-339 1445.
Previous Post Next Post