Jalinan ukhwah Far East



BERUSIA lebih 10 tahun dalam industri ini bukanlah satu masa yang singkat buat pembabitan kumpulan nasyid, Far East.

Kehadiran mereka diketahui umum, tetapi tidak sepopular Rabbani, Raihan, Hijjaz mahupun In-team.

Bagaimanapun, itu bukanlah alasan utama Far East untuk mengalah dan berundur sebaliknya menunjukkan semangat perjuangan dalam industri nasyid.






Jika tidak, masakan Far East mampu menghasilkan sehingga enam album iaitu Far East (2002), Cinta Pertama (2005), Halawatul Iman: Menanti di Barzakh (2006), Eksplorasi (Kompilasi) (2008), Halawatul Iman II: Saat Lafaz Sakinah (2010) dan Kilauan Khazanah (2012) sejak ditubuhkan pada 2001.

Tidak cukup dengan itu, Far East kini tampil dengan buah tangan terbaharu, Aku Zikirkan Nama-Mu.

Ketua kumpulan Far East, Ahmad Fadzli Bakar memberitahu, bagi memastikan Far East kekal bertahan dalam industri, pihaknya akan terus menghasilkan lagu yang segar dan lirik berkualiti.

"Alhamdulillah, berkat doa dan sokongan yang cukup hebat daripada semua pihak.

"Jika tidak, kami tidak mampu untuk bertahan sehingga ke hari ini," katanya kepada Zass ketika ditemui selepas pelancaran album baharunya itu.

Tambahnya, kekuatan Far East terletak kepada jalinan ukhuwah yang terbentuk pada setiap ahli-ahlinya.

"Saya bersyukur, susah senang kami semua bersama-sama.

"Kami bukan sekadar rakan tetapi sudah dianggap sebagai keluarga. Ini adalah kekuatan kami," katanya.

Dalam tempoh 10 tahun bertapak dalam industri, Far East menimba banyak pengalaman dengan mengadakan pelbagai persembahan di dalam dan luar negara.

"Selain mengadakan persembahan di seluruh negara, kami turut berpeluang mengasah bakat sehingga ke luar negara seperti Singapura, Thailand, Indonesia, India dan lain-lain," katanya.

Selain Ahmad Fadzli, Far East turut dianggotai tiga ahli lain iaitu Azwan Ibrahim, Shairiman Badzri dan Nabil Ahmad.

Lahir album zikir

Bercerita lanjut mengenai buah tangan terbaharu mereka, Ahmad Fadzli memberitahu, Far East turut tidak ketinggalan dalam menghasilkan album yang berkonsepkan zikir.

Lebih menarik, album ketujuh Far East ini tidak hanya berkonsepkan zikir semata-mata sebaliknya ia turut diiringi dengan alunan doa, qasidah dan nasyid yang dinyanyikan dalam irama taranum, Melayu asli dan Tamil.

"Sejujurnya, kami tidak meniru gaya penasyid lain sebaliknya konsep ini adalah keinginan kami yang sudah lama terpendam. Kami sendiri juga tidak tahu, album ini akan berkonsepkan sebegini pada akhirnya.

"Lagipun, irama zikir sesuai untuk semua peringkat umur.

"Alunannya cukup menenangkan manakala melodinya pula bersifat catchy sesuai untuk seisi keluarga," katanya.

Album yang diterbitkan oleh Inteam Records dan diedarkan bersama Sony Music ini memuatkan 17 lagu yang dapat menarik tumpuan pendengar masa kini. Antaranya, ALLAH, Asma ALLAH, Doa Untuk Ayah, Ya Tawwab, Ya Latif, Doa Untuk Ibu, Istighfar, Syahadah, Laukana
Bainana (duet dengan Raqib Majid) dan Rahsia ALLAH.

Menariknya lagi, album ini membuat penampilan istimewa apabila berduet dengan Ustaz Rodzie dan Ustaz Don Daniyal melalui lagu Tazkirah 1, Tazkirah 2, Tazkirah 3 dan Tazkirah 4.




"Biarpun hanya memberi tazkirah pendek tetapi ia sangat bermakna pada setiap lagu," katanya.

Bukan itu saja, lebih istimewa, klip video bagi lagu Asma ALLAH diambil berlatar belakangkan penderitaan rakyat Palestin akibat daripada kekejaman tentera Zionis Israel.

"Kami merasakan lagu itu adalah yang paling sesuai untuk menceritakan bagaimana masyarakat Palestin meletakkan sepenuhnya kebergantungan hanya kepada ALLAH SWT.

"Sangat hebat dan semoga mereka terus dipelihara-NYA," katanya.

Sudah memasuki pasaran sejak minggu lalu, Ahmad Fadzli memberitahu, respons dari peminat sangat menggalakkan dan sehingga kini permintaan yang diterima sangat memberangsangkan.

"Kami sasarkan satu rumah satu album," akhirnya.
Previous Post Next Post