Jurey Bukan menentang kerajaan!


BELUM lagi bermula, pelbagai tuduhan dan dakwaan mula melingkar mengenai pelaksanaan kempen, 'Switch Off 14' yang digerakkan Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Malaysia (Gafim) ini.

Berkali-kali cuba menegaskan bahawa kempen ini bukanlah bersifat perjuangan peribadi mahupun kepentingan sesebuah persatuan, namun masih ada yang enggan menyatakan sokongan termasuk Persatuan Karyawan Malaysia dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM).

Tidak kurang juga yang menggunakan laman sosial dan Internet sebagai platform untuk menghentam dan memburukkan lagi keadaan sehingga memaksa Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) ini membuat laporan polis.

Walaupun sukar meraih kepercayaan daripada persatuan berkenaan, namun gerakan yang diusahakan Jurey Latiff Rosli, ini tetap mendapat sokongan daripada persatuan seni lain memandangkan Gafim dinaungi 10 persatuan seni lain.

Perkara ini dibuktikan dengan kehadiran lebih 300 peserta yang terdiri daripada golongan selebriti, kru produksi dan pengiklanan yang tampil menyokong.

Bertempat di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Jurey sekali lagi menekankan bahawa kempen 'Switch Off 14' bukanlah bertujuan menentang kerajaan sebaliknya menawarkan kerjasama agar nasib kumpulan krew penerbitan dan penggiat seni tempatan terbela.

"Ingin saya tekankan, ini bukan piket mahupun demonstrasi! Dalam perjumpaan yang bakal diadakan pada 11 November nanti, kita akan berkumpul dan berbincang dalam suasana yang santai.

"Malah, saya mengharapkan agar Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek, dapat meluangkan masa bersama-sama kita dalam mendengar 11 perkara yang bakal diketengahkan nanti serta mencari jalan penyelesaiannya.

"Saya menyeru agar seluruh warga industri datang dan mendengar apa yang akan dibincangkan pada hari berkenaan," katanya yang terharu dengan sambutan hangat yang diberikan.

Antara mereka yang hadir dalam memberi sokongan pelancaran 'Switch Off 14' ini termasuk Othman Hafsham, Zed Zaidi, Gibran Agi, Harun Salim Bachik, Fauziah Nawi, Norish Karman, Shahrolnizam, Kismah Johar, Shaharuddin Thamby dan Lan Zailan.


11 gesaan bakal diserah

Walaupun lokasi perjumpaan masih belum diputuskan, namun 11 gesaan terhadap kerajaan telah dikemukakan dalam sidang media ini.

Menurut Jurey, gesaan dan permintaan ini telah memandang kira kesemua aspek dan kepentingan industri serta keseluruhan pengamalnya.

"11 perkara itu termasuk mewujudkan akta industri kandungan kreatif, kerajaan diminta menekankan hak harta intelek yang adil dan munasabah, menaikkan kadar harga dengan menyelaraskan harga slot kandungan di stesen TV serta pengagihan slot TV yang lebih adil dengan menekankan 70 peratus kandungan tempatan.

"Selain itu, kami meminta agar penguatkuasaan polisi buatan Malaysia dan Padu Citra, menubuhkan satu badan atau pusat sehenti yang mengawal selia televisyen secara langsung serta melantik wakil industri yang dipersetujui pemain industri dalam peranan membuat dasar industri.

"Selebihnya, kerajaan diminta menyediakan slot TV khusus berbentuk patriotik, skim pengecualian cukai syarikat korporat yang menaja penerbitan program TV tempatan bagi pembelian peralatan teknikal, skim insurans khusus serta dana dan geran khusus untuk memajukan industri TV tempatan," katanya lagi.
Previous Post Next Post