Konsert Minggu Kelapan #AF2014, How Rude! – Badrul



Mulanya saya fikir, pagi nanti sahaja saya buat review untuk konsert minggu yang kelapan. Bergolek di katil, otak saya asyik berfikir. Jam sudah pukul 5.10 pagi. Saya tidak mampu lagi menunggu. Bangun dari katil, buka laptop dan mula menaip. Perkataan pertama yang terlintas di fikiran saya, adalah 'How rude!'

Saya tidak kisah dia siapa. Walaupun konsultan terkenal dunia sekalipun, tetapi cara yang dibuat sangat tidak betul dan agak tidak berperikemanusiaan. Kalau tidak cukup hadiah untuk diberikan kepada semua pelajar lelaki, jangan bagi! Kalau tidak mampu untuk menaja, tidak perlu beriya-iya! Jangan gunakan 15 saat untuk popular dengan memalukan orang lain! Bayangkan anda jadi Firman di atas pentas, melihat teman-teman lain mendapat hadiah, tetapi tidak diri anda. Apakah perasaan anda ketika itu? Malu? Rasa diri kerdil? Rasa tidak dihargai? Dah masuk melawat tempat tinggal mereka, takkan tak tahu masih ada lima orang pelajar lelaki yang ada! Walaupun apa alasan yang akan diberikan, ianya satu perkara yang tidak patut berlaku! How rude!






Jom bercerita hal yang lebih penting! Pembukaan konsert minggu kelapan bertemakan pilihan media! Pertama sekali, saya nak tabik spring pada produksi Akademi Fantasia 2014! Melihat persembahan Aweera, Aliff Satar dan Nomad membuatkan saya menghembuskan nafas lega. Tidak penting dari rancangan realiti mana mereka dilahirkan. Yang penting adalah mereka ini merupakan sebahagian pelapis generasi penghibur akan datang!

Saya lihat sikap keterbukaan produksi ini membuktikan bahawa ada yang lebih penting daripada hanya mempromosikan produk sendiri. Pada mereka, kalau bagus, tiada salahnya bersama menaikkan taraf industri seni tempatan. Mungkin nanti dalam rancangan realiti di TV3 seperti Mentor akan muncul penyanyi-penyanyi kelahiran Akademi Fantasia menjadi artis jemputan. Ada kemungkinan! Kalau tujuan semuanya sama, demi satu industri yang ke hadapan!




Aman Kasih Latifah (Spider)

Lagu ini terlalu besar untuk Aman yang masih bersuara kebudak-budakan. Bukan sahaja dari segi teknik vokal, stamina nyanyian Aman juga tidak cukup kuat untuk menyampaikan lagu ini. Minggu kelapan ini adalah minggu suku akhir, tetapi persembahan Aman masih lagi seolah-olah di minggu pertama. Terlalu ketinggalan jika mahu dibandingkan dengan pelajar-pelajar lain yang masih ada di dalam Akademi. Saya tidak nampak Aman akan pergi jauh dalam industri nyanyian, tetapi pada masa yang sama saya amat berharap Aman dapat membuktikan bahawa kenyataan saya ini tidak benar sama sekali.
2 ½ bintang

Zarif – Romancinta (Mojo)

Dia memiliki gaya nyanyiannya yang tersendiri. Saya tidak begitu familiar dengan lagu ini tetapi Zarif membawakannya lunak di halwa telinga. Cuma, ada ketikanya Zarif kedengaran menjerit untuk cuba sampai pada key lagu. Benar pendapat Dato' Ramli MS. Zarif sepatutnya menurunkan setengah key pada lagu tersebut dan dia pasti dapat memberikan persembahan yang lebih baik. Sayang bila kita terlalu berfikir bahawa menyanyi dengan nada yang tinggi akan meninggalkan kesan yang lebih mendalam kepada pendengar. Sepatutnya mereka faham bahawa menyanyi dengan penuh kelunakan akan meninggalkan kesan yang lebih hebat!
3 ½ bintang

Nuha & Firman – Ceritera Cinta

Mereka mungkin pasangan yang 'janggal' tetapi persembahan mereka tetap mempunyai chemistery. Itu yang paling utama. Keistimewaan kedua-duanya adalah mereka mempunyai keunikan suara yang tersendiri terutamanya Nuha. Butiran lirik disebut tepat dan sampai. Pada awalnya Firman sedikit tenggelam dengan sebutan yang kurang jelas, tetapi apabila sampai ke perenggan yang memerlukan mereka berduet, suara Firman jelas mengiringi suara Nuha. Antara persembahan terbaik pada konsert ini.
4 ½ bintang

Ewal – Mahakarya Cinta (Faizal Tahir)

Saya sedikit kecewa dengan persembahan Ewal. Ini bukanlah persembahan terbaik daripada Ewal. Banyak kali bait-bait lagu dinyanyikan terlalu cepat sehingga dia sendiri tidak cukup nafas untuk menyanyikan baris-baris seterusnya. Dia boleh melakukan lebih baik. Terkilan kerana saya mengharapkan Ewal dapat mengatasi persembahan beliau paada minggu lalu. Kecewa kerana lagu ini saya anggap makanan dia!
4 bintang

Nuha – Kisah Dongeng (Stacy)

Maaf cakap, saya cukup terganggu dengan kacamata Nuha. Kadangkala perkara sekecil ini boleh mengganggu konsentrasi dan ianya mengganggu konsentrasi saya untuk menikmati suara Nuha dengan lebih baik. Seumpamanya, seorang puteri yang dipakaikan dengan gaun indah, kemudian diletakkan tulang zaman batu sebagai penghias sanggul. Itu lah yang saya lihat Nuha di atas pentas. Tolong lah! Buangkan kacamata itu ke sungai dan pakaikan dia dengan contact-lens. Sudah minggu kelapan, tukarkan mereka semua menjadi bintang!
4 bintang

Aman & Nina (Ku Merindu)

Persembahan pertandingan bakat sekolah menengah! Noktah.
1 ½ bintang

Firman – She's Gone (Steel Heart)

Berdebar juga mahu mendengar Firman menyanyikan lagu Inggeris tetapi ternyata debaran saya meleset. Firman menyampaikannya dengan bagus. Walaupun saya terpaksa 'memasang' telinga sebaiknya, tetapi saya boleh mendengar sebutan liriknya dengan jelas. Saya tidak tahu terma yang paling tepat untuk digunakan tetapi Firman selalunya menyanyi ke dalam. Suaranya ditelan menyebabkan sebutannya kurang jelas. Bila dia mampu melontarkan suaranya ke hadapan, ketika itulah dia benar-benar membuktikan dia mampu menjadi juara Akademi Fantasia musim ini.
4 ½ bintang

Azwan – Cinta Nusantara (Sheqal)

Persembahan Azwan lengkap! Inilah elemen dirinya yang dicari selama ini. Dia adalah penyanyi lagu-lagu nusantara, bukan tradisional dan bukan pop. Pilihan media untuk Azwan sangat tepat bagi menyerlahkan keupayaan beliau. Buat pertama kalinya saya melihat Azwan selesa dengan persembahan beliau sendiri.
4 bintang

Nina – Rescue (Yuna)

Saya selalu bingung dengan Nina. Sekejap dia menyanyi seolah-olah bersama kawan-kawan di karaoke. Sekejap dia bersinar seperti bintang yang diperlukan di dalam industri. Nina memerlukan hala tuju yang betul untuk mencari lagu-lagu yang bersesuaian, bukan sahaja dengan kemampuan vokalnya tetapi juga dengan keinginan jiwanya. Saya rasa bila Nina bertemu dengan lagu yang tepat dengan vokal dan jiwanya, penyampaiannya jadi hebat dan persembahannya jadi mantap. Lagu Yuna ini juga tidak begitu familiar di pendengaran saya, tetapi saya terhibur dengan persembahan Nina. Dia nampak yakin dan komited.
3 ½ bintang

Zarif, Azwan & Ewal (Satu)

Mudah cakap, tiada chemistery dalam persembahan mereka bertiga. Sepatutnya mereka membantu antara satu sama lain dan bukannya berlawan. Pada satu ketika kerana asyik berlawanan, ada yang terlupa untuk masuk menyanyikan bahagian mereka. Saya melihat persembahan ini sedikit berterabur. Sayang, vokal yang bagus tidak diharmonikan dengan baik untuk memberikan persembahan yang sempurna.
2 ½ bintang

Saya harus berterima kasih kepada Kak Engku yang sentiasa meminta ruang untuk memberikan kritikan. Pening juga saya melihat Dollah Chantek membuat pusingan tangannya menandakan pengkritik harus menghabiskan kritikan mereka secepat mungkin. Saya rasa Dollah Chantek patut menunjukkan tanda tersebut kepada pengacara agar mereka mengurangkan sikit lawak jenaka dan memberikan ruang yang lebih kepada pengkritik untuk memberikan pandangan dan pendapat.

Pada saya, sangat rugi apabila menjemput seorang pengamal media senior seperti Roslen Fadzil tetapi tidak banyak ruang untuk beliau memberikan komentar sebagai manfaat kepada generasi penghibur baharu tanahair ini.

Seperti yang kita semua maklum, dua pelajar tersingkir pada konsert kelapan. Zarif dan Nina, kedua-duanya saya lihat mempunyai potensi. Adakah anda rasa perlu diadakan Afundi Masuk? Tepuk dada, tanya selera!

Yang Menulis
Badrul Hashim
Previous Post Next Post